Murahnya Harga Diri Wakil Rakyat, Mandat Rakyat Dikhianati – Ridhuan Tee

SETAKAT ini empat ahli Parlimen telah isytiharkan sokongan kepada PMX, atas alasan yang sama, memerlukan bantuan daripada Pusat untuk membantu rakyat dan membangunkan kawasannya.

Paling kelakar, ada wakil rakyat yang terus cakap, kalau PMX bagi RM30 juta, bagi tujuan bantuan dan pembangunan kawasannya, sokongan akan diberikan kepada kerajaan, ‘meninggalkan’ parti yang diwakilinya sebelum ini.

Begitulah murahnya wakil rakyat, yang dipilih oleh majoriti rakyat. Mereka ini tidak layak dinamakan wakil rakyat, tetapi wakil diri. Mandat rakyat dikhianati. Bukan semua rakyat kemarukkan bantuan tersebut.

Inilah bezanya antara wakil rakyat PAS dengan yang lain. Puluhan tahun, peruntukan wakil rakyat dinafikan, terutama negeri Kelantan dan Terengganu, rakyat tetap faham dan terus mengundi PAS. Kerana apa? Rakyat faham erti sebenar perjuangan. Perjuangan memerlukan pengorbanan. Sebab itu rakyat pilih wakil rakyat yang mampu mewakili dan suaranya. Jika tidak, jangan jadi wakil rakyat.

Sebab pengundi sedia maklum, ketika mereka mengambil keputusan memilih parti yang menjadi pilihannya, maka bersedialah menghadapi sebarang kemungkinan. Sekadar RM30 juta, dalam keadaan ekonomi sekarang dan duit yang begitu rendah nilainya, apakah sangat jenis pembangunan yang boleh dibawa.

Berbeza sungguh dengan wakil rakyat DAP, mereka tidak berkata apa-apa, puluhan tahun mereka menguasai bandar, menjadi pembangkang, kawasan yang diwakilinya tetap membangun. Buktinya, lihatlah bandar-bandar di Kuala Lumpur dan bandar seluruh negeri, terutama pantai barat, Sabah dan Sarawak. Sekarang ini, lagilah moncah, sebab mereka ultra kiasu telah menguasai kerajaan.

Kita tidak tahu, apakah selepas ini akan ada lagi katak yang akan ‘melompat’. Kita tunggu.

Kalaulah sekadar bantuan kewangan itu sebagai alasannya, ternyata teramat bodoh wakil rakyat tersebut.

Saya tidak fikir rakyat yang mengundi mereka, laparkan peruntukan tersebut, walaupun peruntukan tersebut selayaknya diberikan.

Sepatutnya, kita tidak fikir soal ‘melompat’ kerana ada isu lebih besar untuk dibincangkan masa kini seperti isu Palestin. Namun, apa nak buat, inilah akibatnya apabila kita mendapat pemimpin cap ayam seperti ini.

Jika semua faham apa erti Persekutuan, sudah tentu tidak timbul masalah. Kerajaan Pusat tahu tanggungjawab terhadap negeri, begitu juga negeri terhadap Pusat.

Kena ingat, setiap rakyat Malaysia diberi hak untuk mengundi dalam dua pilihan raya, iaitu dalam pilihan raya umum untuk memilih ahli Parlimen dan juga ketika pilihan raya negeri untuk memilih ahli dewan undangan negeri (ADUN).

Tetapi, mengapa kita perlu memilih dua wakil rakyat di peringkat Persekutuan dan peringkat negeri? Bukankah perkara ini boleh mengakibatkan pertindihan kuasa? Sudah tentu tidak, jika mereka faham makna sebenar fungsi Persekutuan dan negeri.

Malaysia merupakan sebuah Persekutuan yang terdiri daripada 11 buah negeri di Semenanjung Tanah Melayu (bukan Semenanjung Malaysia) serta Sabah dan Sarawak. Selaras dengan itu, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan membahagikan bidang kuasa untuk menggubal undang-undang bagi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, termasuk beberapa perkara yang diletakkan sebagai tanggungjawab bersama. Berikut adalah senarainya.

Senarai Persekutuan

Kerajaan Persekutuan diberi kuasa untuk menggubal undang-undang menerusi Parlimen bagi perkara-perkara berikut:

 Kewarganegaraan
 Hal ehwal luar negeri, pertahanan dan keselamatan dalam negeri
 Sistem keadilan sivil dan jenayah
 Jentera Kerajaan Persekutuan
 Kewangan, pertukangan, perdagangan dan perindustrian
 Perkapalan, pelayaran dan perikanan
 Perhubungan dan pengangkutan
 Kerja-kerja dan kuasa Persekutuan
 Pendidikan, kesihatan dan perubatan
 Buruh dan keselamatan sosial
 Tinjauan, siasatan dan penyelidikan bagi maksud Persekutuan
 Kebajikan orang asli
 Hari kelepasan (selain hari kelepasan negeri)
 Media dan penapisan
 Pekerjaan profesional (selain yang disebut satu persatu secara khusus)
 Pertubuhan tidak diperbadankan dan koperasi
 Pengawalan dan perlindungan daripada makhluk perosak pertanian serta pencegahan penyakit tumbuhan
 Pelancongan

Senarai Negeri

Bidang kuasa perundangan kerajaan negeri (menerusi Dewan Undangan Negeri masing-masing) termasuk:

 Hal ehwal agama Islam dan adat Melayu
 Hal ehwal tanah (termasuk Tanah Simpanan Melayu, tanah simpanan negeri, pemberian permit dan pajakan melombong)
 Pertanian dan perhutanan
 Kerajaan tempatan
 Kerja-kerja negeri dan air
 Jentera kerajaan negeri
 Hari kelepasan negeri
 Pewujudan kesalahan bagi undang-undang negeri
 Siasatan bagi maksud negeri
 Tanggung rugi bagi perkara dalam Senarai Negeri
 Penyu dan penangkapan ikan di sungai
 Rumah tumpangan dan rumah pemalaman
 Tanah perkuburan dan tempat pembakaran mayat
 Tempat kurungan binatang dan pencerobohan kerbau lembu
 Pasar dan pasar ria
 Pelesenan panggung, panggung wayang dan tempat hiburan awam (kecuali bagi Wilayah Persekutuan)

Senarai Bersama

Senarai Bersama memberi kuasa kepada Kerajaan Persekutuan dan juga kerajaan negeri untuk menggubal undang-undang bagi beberapa perkara. Sekiranya wujud percanggahan, maka undang-undang Persekutuan hendaklah mengatasi undang-undang negeri tersebut, seperti yang tertera dalam Perkara 75.

Senarai Bersama adalah meliputi:

 Kebajikan masyarakat
 Biasiswa
 Perlindungan binatang liar dan burung liar serta Taman Negara.
 Penternakan, perkhidmatan veterinar dan pencegahan penganiayaan binatang
 Perancangan bandar dan desa
 Kuturayauan dan penjaja dari tempat ke tempat
 Kesihatan awam, kebersihan dan pencegahan penyakit
 Saliran dan pengairan
 Pemulihan tanah lombong dan tanah yang telah terhakis
 Langkah keselamatan kebakaran
 Kebudayaan dan sukan
 Perumahan dan amanah pemajuan
 Bekalan dan perkhidmatan air (tertakluk kepada Senarai Persekutuan)
 Pemeliharaan warisan

Hak Istimewa Sabah Dan Sarawak

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan beberapa hak istimewa kepada Sabah dan Sarawak yang tidak dinikmati oleh negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu.

Misalnya, Perkara 76 membenarkan Kerajaan Persekutuan untuk menyeragamkan undang-undang yang melibatkan bidang kuasa kerajaan negeri, seperti hal ehwal tanah, pertanian, perhutanan dan kerajaan tempatan. Tetapi, Sabah dan Sarawak tidak tertakluk kepada peruntukan ini.

Anak negeri Sabah dan Sarawak juga diberi hak keistimewaan yang dinikmati oleh orang Melayu di Semenanjung di bawah Perkara 153. Sebarang pindaan Perlembagaan yang melibatkan hak Sabah dan Sarawak perlu mendapat persetujuan Yang di-Pertua Negeri masing-masing, seperti yang tertera dalam Perkara 161E(2).

Sabah dan Sarawak juga mempunyai kuasa imigresen bagi negeri mereka serta Mahkamah Tinggi yang berasingan serta mahkamah anak negeri untuk menghakimi hal-hal berkaitan adat istiadat mereka.

Semua perkara ini termaktub dalam Perkara 18 dan 20 Sarawak dan Sabah, ketika pembentukan Malaysia 1963.

Pada Disember 2021, Parlimen juga telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai rakan setara Semenanjung Tanah Melayu.

Malah, pada awal tahun ini, Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan PMX telah menyerahkan kuasa meluluskan projek pembangunan bernilai sehingga RM50 juta kepada kerajaan Sabah dan Sarawak.

Begitulah istimewanya hubungan Persekutuan, antara Kerajaan Pusat dan negeri. Persoalannya, kenapa wujud ada kerajaan negeri atau wakil rakyat dianaktirikan? Jawapannya mudah, kerana kita mendapat pemimpin atau wakil rakyat sekadar cap ayam. Pemimpin sebegini hanya fikirkan soal diri dan parti yang diwakili, bukannya rakyat secara keseluruhan.

Berkali-kali telah saya nyatakan bahawa, selepas pilihan raya, kita telah terpilih, maka ketika itu kita bukan lagi ahli politik kepunyaan parti tertentu, tetapi kita adalah wakil rakyat, kita sudah mewakili rakyat seluruh kawasan dan negeri, tanpa melihat ideologi politik dan latar belakang. Dalam peringat Kerajaan Pusat, kita adalah negarawan, kepunyaan semua, kepunyaan rakyat. Kenapa masih tidak faham perkara mudah sebegini?

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Sumber: Ismaweb

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kempen 11 Minit Untukmu Palestin Solidariti Kemenangan

Next Post

operasi Darat Janji Kemenangan Mutlak Pejuang Palestin

Related Posts