BANGI – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bantah dan tidak bersetuju dengan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan ke atas enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) atas kesalahan membunuh Pegawai Kaet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lalu. SUHAKAM bantah keputusan hukuman tersebut kerana berpandangan bahawa hukuman mati bukan penyelesaian yang adil ataupun berkesan.
“Atas dasar itu, SUHAKAM meminta kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan hukuman mati dan berusaha ke arah sistem keadilan lebih saksama dan berperikemanusiaan untuk semua.
“Gantung sampai mati adalah hukuman yang tidak boleh diubah dan tidak memungkinkan berlakunya pemulihan sekiranya ada kesilapan kehakiman.
“Ia juga bertentangan dengan gerakan global ke arah pemansuhan hukuman mati yang diakui banyak negara sebagai tidak berperikemanusiaan dan melanggar hak asasi manusia,” kata suruhanjaya itu, semalam.
Tambah SUHAKAM lagi, keputusan mahkamah rayuan itu menandakan detik hitam dan menyedihkan dalam sejarah kehakiman Malaysia.
Kefahaman SUHAKAM dalam kes ini amat cetek kerana dilihat lebih mementingkan nyawa pesalah dan banduan berbanding nyawa mangsa yang terkorban. Apakah SUHAKAM tidak memikirkan penderitaan perasaan dan emosi yang dialami oleh keluarga Zulfarhan selama menunggu hukuman dijatuhkan kepada pesalah?
Pendapat SUHAKAM juga agak idealis apabila mengatakan banduan boleh dipulihkan kerana cara itu boleh membawa perubahan kepada pesalah menjadi masyarakat yang lebih bertanggungjawab.
Pendapat itu hanya sekadar teori sahaja tanpa melihat keberkesanannya lagi. Hal ini jelas SUHAKAM dilihat lebih banyak berteori semata-mata.
SUHAKAM sepatutnya sedar bahawa hak asasi dan keselamatan masyarakat majoriti rakyat Malaysia diutamakan, bukannya penjenayah-penjenayah.
SUHAKAM juga perlu melihat contoh di United Kingdom (UK) apabila sejak dari pemansuhan hukuman mati di negara itu, jenayah membunuh telah meningkat secara mendadak dan mengundang pelbagai masalah lain pula.
Selain itu, kerajaan juga sebelum ini sering menyebut bahawa hutang negara berada pada kadar yang kritikal, lalu pelbagai potongan dibuat kepada peruntukan untuk pelbagai sektor terutamanya pendidikan dan kesihatan. Maka, rentetan dari keadaan terdesak sebegini, kerajaan sepatutnya menyalurkan kewangan negara bagi perkara-perkara yang bermanfaat dan berbaloi, berbanding untuk digunakan untuk menyara hidup para pelaku jenayah serius.
Jika hukuman mati dimansuhkan, maka kehidupan penjenayah serius ini perlu ditangguh sepanjang hayat mereka di dalam penjara. Kos bagi menyara hidup seorang banduan adalah RM41 sehari. Justeru, jika dibuat pengiraan bagi banduan akhir seramai 1,281 orang selama 30 tahun, maka kosnya adalah RM575 juta.
Oleh hal yang demikian, hukuman gantung sampai mati kepada 6 orang pesalah ini perlu dikekalkan dan SUHAKAM patut sedar tidak semua idea yang dirasakan betul adalah adil untuk semua.