LENGGENG – Pemuda BERJASA ataupun ANGKASA Nasional BERJASA ingin perjuangkan nasib orang Melayu untuk terus menjadi mandiri yang sebelum ini sering bergantung kepada pihak luar. Kebergantungan sekian lama oleh orang Melayu ini membawa kepada banyak kerugian hingga menjadikan orang Melayu itu lemah untuk berdikari.
Demikian merupakan ketegasan yang dilontarkan oleh Ketua Pemuda BERJASA, Mohd Azriq Rosman dalam sidang media di Lenggeng pada hari semalam. Beliau tegaskan tahun 2024 ini dijangka merupakan tahun yang penuh dengan cabaran untuk politik tanah air maka ANGKASA Nasional BERJASA ingin muncul dengan agenda baharu dalam meningkatkan taraf sosial orang Melayu.
Ketidakseimbangan dalam politik dan ekonomi untuk orang Melayu meletakkan anak-anak muda Melayu dalam penderitaan yang berpunca juga daripada kerakusan ahli-ahli politik. ANGKASA Nasional BERJASA menjangkakan cabaran ini tidak akan terhenti di sini sahaja kerana berkemungkinan akan lebih banyak anasir negatif yang menekan orang Melayu.
“Sudah bertahun nasib orang Melayu tidak terbela kerana telah lama ditekan oleh penjajah. Maka dengan ini Pemuda BERJASA atau ANGKASA Nasional BERJASA akan memfokuskan kepada tiga agenda untuk meningkatkan taraf hidup orang Melayu khususnya anak-anak muda”.
“Yang pertama, Pemuda BERJASA akan memfokuskan kepada pembangunan belia yang berimpak kepada komuniti. Kita mahu fokus kepada melahirkan pemuda-pemuda yang dapat memberikan impak positif kepada komuniti. Kedua, kami ingin melahirkan komuniti yang ada kemandirian untuk membantu nasib orang Melayu yang ditindas dan yang terakhir adalah kami ingin bertegas dalam mempertahankan isu yang berkaitan dengan kepentingan Melayu Islam selaras dengan perlembagaan”.
“Pemuda BERJASA berhasrat untuk mengurangkan kebergantungan kepada kapitalis terutamanya dalam soal sumber makanan dan ekonomi negara ini adalah satu dasar yang akan menerajui kami. Kami serius ingin melahirkan anak muda yang berwibawa dan berpotensi menyumbang kepada pembangunan negara menjelang 2030”, tegas beliau.
Ketika ditanyakan oleh wartawan tentang apa yang dimaksudkan untuk menjadikan orang Melayu itu mandiri, beliau menyatakan ia berkaitan dengan cara hidup orang Melayu itu sendiri. Kemandirian orang Melayu itu terbatas apabila kapitalis mula menguasai sektor pasaran dalam ekonomi negara sehingga membebankan orang Melayu. Beliau memberikan contoh melalui sindiket yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dalam menyembunyikan stok barang keperluan asas sepeti tepung dan gula.
“Kami ingin membangunkan masyarakat agar tidak bergantung kepada mereka. Sebenarnya nenek Melayu kita telah lama mewujudkan kitaran ekonomi secara mandiri tanpa bergantung kepada pasaran luar. Ini menimbulkan rasa kurang senang British yang melihat orang Melayu tidak mahu bergantung kepada mereka. Jadi kita ingin putuskan kebergantungan ini kerana kapitalis telah sekian lama menindas kita”, jawab beliau.
Dalam memberikan respon kepada wartawan lain yang menanyakan soalan tentang sama ada Pemuda BERJASA sudah pun mempunyai model untuk membangunkan projek kemandirian orang Melayu, beliau menjawab Pemuda BERJASA memang dalam perancangan untuk fokus dalam isu survival orang Melayu. Penyusunan sudah dibuat di komuniti untuk menggerakkan laman komuniti yang berasaskan wakaf.
“Projek laman komuniti yang berasaskan wakaf ini akan terdiri daripada beberapa projek tanaman dan ternakan seperti sayur-sayuran, ayam dan ikan. Kami juga ada beberapa ‘pilot project’ di Rembau, Batang Kali dan Kapar serta banyak lagi kawasan akan menjalankan projek ini. Kami mahu projek ini dapat membantu orang Melayu untuk keluar daripada tekanan kapitalis dan banyak model daripada sejarah lampau yang boleh diambil untuk membina kekuatan bangsa kita sendiri”.
“Atas sebab isu survival orang Melayu ini lah BERJASA di peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) telah menubuhkan Majlis Tindakan Keterjaminan Makanan BERJASA yang diketuai oleh mantan Pemuda BERJASA, Fahmi Bazlan”, tegas beliau di akhir sidang media tersebut.