SHAH ALAM – Naratif kemenangan dan pembebasan Palestin diterjemah dalam 11 Minit Untukmu Palestin yang berlangsung di Bangunan Wisma MBSA Shah Alam semalam.
Kejayaan kempen itu yang juga berlangsung serentak di seluruh Malaysia, menunjukkan solidariti dan kebersamaan rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin yang terlibat dalam perang Palestin-Israel kini.
Demikian menurut Nor Raihan Izzati binti Che Zahir, Ahli Jawatankuasa Wanita Berjasa Shah Alam yang mejelaskan kempen 11 minit bergelap di rumah sebagai tanda bersama-sama merasai penderitaan rakyat Palestin yang disekat hak mereka.
“Masyarakat Malaysia turut serta dalam kempen ini dengan berkumpul di rumah atau tempat masing-masing, dan menutup lampu pada jam 9 malam seterusnya berdoa, bermunajat dan membaca doa Qunut Nazilah selama 11 minit kemudian bersama-sama membuka lampu,” katanya.
Berjasa turut bersama menjayakan kempen anjuran Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) itu.
“Sepanjang perang Palestin-Israel yang sudah melebihi 30 hari, rakyat Palestin khususnya di Gaza dinafikan hak mereka, akses kepada air bersih, elektrik, kesihatan, dan hak untuk hidup aman sebagai seorang manusia,” menurut Muhd Farhan Muhd Fadhil, Ketua Operasi Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP).
“Sebagai seorang insan khususnya umat Islam kita harus menyokong keteguhan rakyat Gaza untuk terus tinggal disitu (da’im sumud) dengan memberikan sokongan moral, kewangan dan paling penting doa,” katanya.
Beliau mengharapkan solidariti ini sebagai satu tekanan dan isyarat kepada Barat dan sekutunya yang seluruh dunia mengutuk perbuatan kejam dan zalim Israel ke atas penduduk Palestin.
Turut menyambut kempen ini ialah Menara Kuantan, Dataran Drawbridge, Flat 100 Sungai Pinang dan komuniti Taman Melewar, Taman Sri Gombak, PPR Batu dan PPR Setapak Jaya.