Demi Malaysia Unggul – Presiden BERJASA

Presiden Berjasa Zamani Ibrahim

Malaysia Unggul 2040 lahir daripada Impian Nasional BERJASA 2040, sasaran untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang unggul dan bermaruah menjelang 2040.

Malaysia Unggul terbina atas 6 teras utama:
1) Identiti nasional & perpaduan
2) Perlembagaan & perundangan
3) Politik & kepimpinan
4) Ekonomi & sara hidup
5) Pendidikan & modal insan
6) Teknologi & alam sekitar

Teras 1: Identiti nasional & perpaduan

Rakyat Malaysia Unggul berpegang kepada satu identiti nasional yang membawa kepada perpaduan negara yang utuh. Rakyat menghayati sejarah negara dan pembentukan masyarakat majmuk daripada persetujuan semua kaum dalam pemeteraian kontrak sosial yang diterjemahkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan bukan semata-mata perundangan tetapi berfungsi untuk menyelesaikan masalah sosial, budaya dan politik demi menjaga perpaduan kaum di Malaysia.

Teras 2: Perlembagaan & Perundangan

Perlembagaan Persekutuan merupakan tunjang utama sistem perundangan dan tadbir urus negara dengan unsur-unsur penting yang membentuk jati diri watan. Penafsiran perlembagaan mengikut identiti nasional bukan mengikut cara dan acuan luar yang tidak sesuai dengan sosio kehidupan rakyat Malaysia Unggul. Sistem perundangan menzahirkan prinsip keadilan iaitu kesamarataan semua manusia di hadapan undang-undang tanpa mengira kaum, darjat, pangkat atau harta. Campur tangan atau keistimewaan pihak tertentu dalam perundangan yang mencabar keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang wajib dihapuskan.

Teras 3: Politik & kepimpinan

Menjelang 2040, landskap politik Malaysia Unggul menyaksikan amalan politik matang dan berintegriti tinggi. Barisan pemimpin negara mempunyai profesionalisme, integriti, kredibiliti dan berkebolehan dalam memberi khidmat kepada rakyat dengan membangunkan dasar negara berdasarkan satu falsafah peradaban untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang kuat, maju dan berdaulat. Sistem pemerintahan dan tadbir urus negara bertunjangkan prinsip dan nilai-nilai murni yang lahir daripada jati diri & identiti nasional bukan mengikut cara fikir penjajah.

Teras 4: Ekonomi & sara hidup

Malaysia Unggul memanfaatkan kekayaan sumber-sumber nasional dan membangunkan ekonomi sehingga berdiri di atas kaki sendiri dan bebas daripada bergantung kepada kuasa-kuasa besar. Ekonomi Malaysia Unggul yang kuat, maju dan mandiri meningkatkan pendapatan negara, menghapuskan jurang sosio-ekonomi dan mengawal kos sara hidup supaya tidak membebankan rakyat. Pembangunan ekonomi negara berasaskan pengetahuan dipacu oleh tenaga kerja tempatan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi serta pelaburan besar dalam penyelidikan & inovasi bagi meningkatkan nilai dan daya saing industri tempatan. Rakyat tidak perlu bimbang dengan kekurangan bekalan makanan atau peningkatan harga makanan kerana tahap sekuriti makanan Malaysia Unggul berada pada tahap yang optimum.

Teras 5: Pendidikan & modal insan

Menjelang 2040, Malaysia Unggul melahirkan modal insan yang bersatu, berintegriti dan berdaya saing. Dasar Pendidikan Kebangsaan berteraskan identiti dan jati diri watan menghapuskan sisa pengaruh penjajah dan tidak beri peluang kepada aliran pendidikan vernakular. Anak-anak watan mempelajari dan menghormati budaya dan adat resam semua kaum menggunakan medium komunikasi Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang membina kesatuan. Pendidikan negara tidak berorientasikan peperiksaan semata-mata tetapi bersifat holistk dan kompetitif dengan fokus kepada bidang akademik, teknikal, vokasional, industri kreatif dan kemahiran insaniah.

Teras 6: Teknologi & alam sekitar

Malaysia Unggul bukan sekadar pengguna teknologi tetapi pencipta teknologi baru. Penyelidikan dan teknologi berkembang pesat seiring pembangunan ekonomi dan pendidikan. Pemusatan dan pemanfaatan data raya dalam penggubalan dasar dan polisi negara bukan sekadar membantu merangka strategi ampuh dalam meningkatkan daya saing ekonomi negara malah meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan, penjagaan kesihatan serta pendidikan buat rakyat. Penggunaan dan pembangunan teknologi juga tidak tertumpu kepada pulangan materialistik sahaja tetapi berteraskan integriti dan kesedaran tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar.

Total
0
Shares
1 comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
Ketua Pemuda BERJASA Fahmi Bazlan

Belia Perlukan Bantuan Sokongan Segera – Fahmi Bazlan

Next Post
Ir Lukman Al Hakim BERJASA

Nga Kor Ming Rujuk Pihak Yang Salah – Ir Lukman

Related Posts