Kedah Kumpul 20,000 Dokumen Untuk Kaitkan Sejarah Dengan Pulau Pinang

kedah pulau pinang

ALOR SETAR – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan pasukan penyelidiknya mempunyai 20,000 dokumen asal dari luar negara yang menjelaskan hubungan Kedah dengan Pulau Pinang suatu ketika dahulu. Beliau berkata pihak mereka akan menggunakan hasil kajian tersebut untuk menentukan hala tuju baharu dalam hubungan antara sejarah Kedah dan Pulau Pinang ini bagi menyelesaikan pelbagai isu termasuk tuntutan pajakan dan pampasan bekalan air.

Katanya lagi, kerajaan negeri juga akan membentang dan mengumumkan dapatan kajian tersebut selewat-lewatnya Disember ini.

“Saya memperoleh banyak dokumen dan difahamkan 20,000 dokumen sejarah. Kebanyakannya tentang laporan daripada negeri-negeri Selat kepada kerajaan British pada masa itu.

“Saya pun sudah teliti sikit dokumen-dokumen yang berkaitan yang ada di British Library dan British National Archive yang akan menjadi sebahagian daripada rujukan kepada kajian-kajian sedang dilakukan oleh negeri Kedah,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, kumpulan penyelidik melakukan kajian ini bukan hanya untuk membolehkan tuntutan dibuat ke atas Pulau Pinang, sebaliknya ia juga dilaksanakan demi menjelaskan hubungan antara dua negeri.

“Bukan semberono tetapi berdasarkan fakta dan dokumen sejarah yang ada di sini (iaitu) di British Library dan British National Archive. Kebanyakannya adalah laporan pentadbiran negeri-negeri Selat dan ketika itu dihantar kepada House of Common dan Straits Settlement Office di London,” katanya.

Beliau berkata, dapatan kajian pasukan pengkaji terdiri daripada sejarawan dan pakar perundangan diharapkan dapat mengemukakan secara berfakta ilmiah berdasarkan hakikat sebenar kedudukan Kedah dan Pulau Pinang.

Sebelum ini juga, wujud satu gerakan yang mendesak beberapa nama tempat di Pulau Pinang seperti Georgetown dan Butterworth diubah namanya kepada nama tempatan seperti Tanjong Penaga dan Bagan.

SUMBER – Kosmo Online

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
bon odori

Bon Odori Asal Jepun Bukannya Di Malaysia Tetapi Dijadikan Tahun Melawat Selangor 2025

Next Post
syarikat arak taja sekolah

Banyak Lagi Syarikat Boleh Taja Sekolah Selain Syarikat Arak

Related Posts