Bon Odori Asal Jepun Bukannya Di Malaysia Tetapi Dijadikan Tahun Melawat Selangor 2025

bon odori

SHAH ALAM – Festival Bon Odori ke-48 yang disambut sempena pesta kebudayaan musim panas Jepun mendapat sambutan apabila dikunjungi lebih 40,000 pengunjung pada 20 Julai yang lalu. Orang ramai mula membanjiri Kompleks Sukan Negara Shah Alam, dekat sini seawal jam 4 petang dengan berpakaian tradisional Jepun iaitu kimono, yukata dan hakama yang turut dikenakan rakyat tempatan untuk menyambut Festival Bon Odori ini.

Exco Kerajaan Tempatan & Pelancongan, Dato’ Ng Suee Lim berkata festival ini bukan sahaja menarik minat rakyat tempatan malahan turut menarik kehadiran pelancong asing terutamanya daripada Jepun dan Korea Selatan.

Beliau juga berpendapat pesta tahunan itu turut menjadi medan mempromosi negeri ini kepada pelancong sempena sambutan Tahun Melawat Selangor 2025.

“Kami percaya Festival Bon Odari ini memainkan peranan penting dalam menarik pelancong. Ini membantu kita mencapai matlamat untuk menarik lapan juta pelancong tahun depan.

“Kita gunakan segenap ruang dan peluang dalam usaha berkenaan. Selain itu penganjuran juga menunjukkan keterbukaan negeri dalam meraikan kepelbagaian budaya,” katanya pada sidang media.

Perancangan beliau untuk memasukkan festival Bon Odori ini di dalam Tahun Melawat Selangor pada 2025 menimbulkan kemusykilan kerana Bon Odori ini bukanlah berasal daripada negeri Selangor mahupun Malaysia.

Festival ini sebenarnya berasal daripada Jepun yang merupakan adat resam masyarakat Jepun yang beragama Buddha sebagai menghormati roh nenek moyang mereka. Roh berkenaan dikatakan akan melawat mazbah di rumah sebelum dihantar pulang semasa upacara pada akhir perayaan.

“Pada asalnya, merupakan upacara berehat untuk roh nenek moyang mereka, tarian Bon kemudiannya mula berkembang dan bertukar menjadi satu bentuk hiburan dan perayaan.

“Hari ini, ia telah berkembang menjadi pesta tempatan yang unik, perayaan musim panas yang ceria,” menurut artikel 2011 dalam Trends in Japan yang merupakan laman web yang dikendalikan oleh Kementerian Luar Jepun.

Namun demikian, fatwa Mufti Wilayah Persekutuan yang bertajuk Bayan Linas Siri Ke-254: Hukum Orang Islam Menyertai Perayaan Bon Odori menegaskan haram untuk orang Islam menyertai sebarang perayaan sekiranya dalam majlis berkenaan ada unsur-unsur yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas, mendedahkan aurat, meminum arak dan sebagainya, maka wajib bagi umat Islam menghindarkan diri dari terlibat dalam aktiviti berkenaan.

Bukan itu sahaja malahan umat Islam dinasihatkan agar tidak melibatkan diri dalam apa-apa perayaan golongan bukan Islam apatah lagi mengikuti ritual-ritual mereka yang bercanggah dengan prinsip Islam serta mengagungkan syiar agama mereka agar tidak membawa fitnah kepada agama Islam.

Selain itu, lebih elok sekiranya memasukkan sekali festival kebudayaan tempatan di dalam Tahun Melawat Selangor 2025 bagi menarik minat kedatangan pelancong luar ke Selangor.

Kerajaan negeri boleh mempertimbangkan program Hari Busana Melayu untuk masa akan datang sepertimana penganjuran Keretapi Sarong 2023 yang dianjurkan sempena Hari Malaysia.

Jika festival Bon Odori menampilkan acara menulis kaligrafi Jepun, festival menulis tulisan Jawi boleh juga dianjurkan yang seterusnya boleh memperkenalkan warisan budaya tempatan untuk menampilkan identiti nasional negara kita kepada pelancong luar.

Banyak lagi sebenarnya acara dan budaya tempatan yang boleh ditampilkan untuk Tahun Melawat Selangor namun ia bergantung sepenuhnya kepada “political will” kerajaan negeri itu sendiri.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
syarikat arak sekolah

Adakah Timbalan Menteri Pendidikan Sokong Syarikat Arak Sumbang Dana Ke Sekolah?

Next Post
kedah pulau pinang

Kedah Kumpul 20,000 Dokumen Untuk Kaitkan Sejarah Dengan Pulau Pinang

Related Posts