Mutu sebenar pembangunan sesuatu bangsa bergantung pada mutu pembangunan diri perseorangan dan masyarakat bangsa tersebut serta kesan yang ditinggalkan pada masyarakat lain dan alam persekitarannya. Kesan ini bukan sahaja terbatas kepada hasil-hasil fizikal semata-mata, malah lebih utama lagi, harus meliputi akhlak dan moral manusia seluruhnya.
Kecemerlangan sains, teknologi dan ekonomi yang dimiliki oleh bangsa Barat, telah menjadikan mereka bongkak dan mendakwa bahawa bentuk pembangunan mereka adalah yang terunggul dan lebih hebat daripada apa sahaja yang pernah dialami oleh manusia.
Dengan cara menguasai dan mengawal pengurusan dan dasar lembaga-lembaga kewangan dan perniagaan antarabangsa seperti IMF, World Bank, WTO, UN, UNESCO, Barat sentiasa memaksakan faham dan kehendaknya kepada seluruh umat manusia. Meskipun Barat kerap berbicara tentang pentingnya menghormati hak-hak asasi manusia dan negara lain, namun Barat lazimnya mengamalkan sikap yang sama sekali berlawanan terutama terhadap orang perseorangan, kumpulan atau negara yang berbeza dengan mereka dan yang enggan meneladani mereka.
Akibat pemaksaan Barat ini, dan sebilangan besar pemimpin-pemimpin negara yang baru merdeka, yang berpendidikan Barat, dasar-dasar yang mendalangi perencanaan dan pelaksanaan pembangunan kita merupakan lanjutan daripada apa yang telah dilalui oleh Barat, meskipun terdapat usaha-usaha untuk menyerap dan menyesuaikan dengan suasana tempatan. Acuan dan contoh pembangunan Barat yang cukup berpengaruh pada masa ini, telah menafikan banyak asas keagamaan akibat dari dasar-dasar ilmu dan pengalaman keagamaan mereka sendiri.
Kita bukan hendak menolak semua perkara yang datang dari Barat. Terdapat banyak kebaikan yang boleh kita contohi seperti sikap orang Barat yang menghargai ilmu, menepati masa, berdisiplin dan suka menolong orang lain. Yang penting dan lebih utama, umat Islam perlu bersikap kritis dalam menerima ilmu, falsafah, sains dan teknologi dari Barat. Hal ini kerana, semua itu tidak bersifat neutral, melainkan terkait dengan pandangan alam (worldview) sekular yang mendasarinya. Ilmu, sains dan teknologi tidak bebas nilai sebab semua itu disusun mengikut cara pandang manusia yang pastinya memiliki pandangan alam yang berbeza dengan kita sebagai umat Islam.
Pelbagai pihak telah lama mencadangkan agar kita merumus falsafah kita sendiri mengenai pembangunan. Kesedaran ini lahir dari keinsafan mendalam tentang asas-asas kehidupan kita yang lebih syumul, luhur dan murni berdasarkan hidayah yang benar lagi abadi daripada Allah Ta’ala. Keinsafan ini berpunca juga dari pengetahuan bahawa faham-faham dan kaedah pembangunan selama ini terlalu banyak mengikut telunjuk dan acuan Barat yang kita semua setuju tidak begitu lengkap dan dasar-dasarnya tidak sesuai dengan agama, budaya dan sejarah kita. Sejarah dengan jelas memperlihatkan bahawa dasar pembangunan yang diamalkan dalam dunia Barat bukan sahaja bercanggah dengan ajaran agama dan kebudayaan kita malah merosakkan insan dan alam.
Untuk merumus falsafah dan konsep yang tepat mengenai pembangunan, kita harus terlebih dahulu menjawab dua perkara asasi berikut seperti apa erti pembangunan yang sebenar yang mahu kita perjuangkan dan apakah sifat manusia dan bentuk masyarakat yang kita mahu ?
Erti Pembangunan Sebenar Yang Mahu Diperjuangkan
Istilah pembangunan tidak terdapat dalam bahasa Melayu dan Indonesia lama walaupun perkataan bangun dan bangunan telah lama kedapatan dan digunapakai. Dalam kamus Melayu – Indonesia moden, istilah pembangunan banyak digunakan selepas Perang Dunia Kedua, dan khususnya selepas kemerdekaan.
Secara rasminya, perkataan pembangunan adalah dari perkataan bangun dan membangun, yang bererti membangkitkan seseorang atau sesuatu dari tidur; membina, membuat, mendirikan; membuat supaya maju dan berkembang; dan membuat supaya wujud, timbul atau datang sesuatu perasaan. (Kamus Dewan, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986).
Penggunaan istilah ini dalam perbicaraan dan penulisan, lebih menekankan makna-makna yang bersifat kebendaan. Justeru, apabila kerajaan menyatakan kepada rakyat bahawa ia telah banyak membawa pembangunan, yang dimaksudkannya dan yang difahami rakyat adalah pembinaan bangunan, jalanraya serta kemudahan-kemudahan awam serta penggalakan kegiatan ekonomi dan kemasyarakatan.
Umat Islam perlu menyedari bahawa pembangunan manusia yang didominasi Barat saat ini, hanyalah bertujuan dan dinilai berdasarkan pencapaian dan kesenangan hidup di dunia ini sahaja. Indeks Pembangunan Insan (IPI) yang dirumus oleh PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) telah memilih penunjuk-penunjuk yang telah dicapai dengan baiknya oleh sebilangan besar negara-negara Barat. Kaedah ini merupakan satu helah bagi memantapkan rancangan penjajahan baru (neo-colonialism) di mana keunggulan pembangunan negara-negara Barat dalam beberapa bidang diiktiraf sebagai model pembangunan sebenar yang terbaik di dunia.
Justeru, setiap negara dan bangsa di dunia harus mengikuti falsafah, ukuran, makna dan kaedah pembangunan ini jika mahu dianggap maju dan membangun.
Malangnya, IPI hanya mengambil kira tiga perkara bagi menetapkan indeksnya, iaitu umur yang panjang, pencapaian pendidikan (pendidikan formal dan kadar literasi) dan kadar kehidupan mengikut Keluaran Hasil Kasar Negara per kapita yang sebenar (real GDP per capita). Pada tahun 1998, 25 negara yang mencapai IPI paling tinggi adalah negara-negara Eropah dan Amerika Utara, kecuali Jepun, Israel, Barbados dan Hong Kong.
Insan ditanggapi sebagai suatu hidupan yang punya badan dan fikiran tanpa ruh, dan sebagai ahli kepada jenis haiwan yang termaju (most evolved species). Dia tidak punya matlamat melainkan untuk hidup dan berkembang-biak dalam suatu persaingan sengit dengan makhluk lain termasuklah sesama insan. Akhirnya, insan, haiwan dan tumbuh-tumbuhan sama-sama akan musnah, binasa begitu sahaja tanpa mas’uliah atau tanggungjawab di Hari Akhirat.
Pembangunan yang sebenar mengisyaratkan suatu kegiatan penting dan terancang yang menghasilkan kebaikan, dari keadaan buruk kepada baik, dari keadaan baik kepada yang lebih baik dan yang mengekalkan keadaan baik tersebut. Lawannya adalah keburukan, penyelewengan, kejahatan yang harus ditentang dengan segala upaya kita sebagai orang perseorangan dan sebagai negara.
Dalam perbincangan di berbagai forum antarabangsa, Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, telah mengusulkan agar dunia Islam menggantikan istilah pembangunan dengan pengislahan yang memberi makna kebaikan dari semua segi, dalam semua jenis kegiatan manusia.
Pengislahan berasal daripada perkataan Arab “islah” (إصلح) yang bermaksud perbuatan ke atas seseorang atau sesuatu yang membuatnya baik, betul, teratur, adil dan sesuai dengan segala nilai yang tinggi. Sesuatu tindakan sama ada maju ke depan atau mundur ke belakang, bertambah atau berkurang adalah pengislahan jika ianya menghasilkan kebaikan dan keadilan dalam pelbagai segi. Pengislahan juga memberi maksud meruntuhkan (seperti meruntuhkan kezaliman) dan menghapuskan (seperti menghapuskan kejahilan) yang merupakan intisari pembangunan sebenar yang tidak terdapat dalam jaringan makna istilah pembangunan.
Lawan kepada pengislahan adalah fasad (dari perkataan Arab “فسد”) yang bermakna kerosakan, kezaliman, penyelewengan, kemerosotan, pembaziran, kekacauan dan sebagainya, dari pelbagai sudut kegiatan manusia. Jika yang diamalkan itu membuahkan kerosakan kepada diri, masyarakat dan alam sekitar secara sengaja atau tidak, ia adalah fasad yang harus ditolak kerana penyelewengan dari pembangunan sebenar. (Al-Quran, Surah Al-Baqarah ayat 11-13)
Al-Quran sentiasa menghubungkan kegiatan yang sebenarnya membangun (amal soleh) dengan iman yang benar. Malah, amal soleh hanya boleh lahir dari jiwa yang beriman.
Pada akhirnya, semua perancangan pengislahan haruslah memiliki matlamat (tujuan) untuk kesejahteraan dan kebahagiaan insan. Bagi umat Islam, tujuan hidup amat jelas, hasanah fi al-dunya wa fi al- akhirah, sejahtera di dunia dan di akhirat.
Sebagai satu peradaban agung yang masih diakui kewujudannya, dunia Islam khususnya sepatutnya berusaha menyusun konsep pembangunannya sendiri, yang khas, bersandar kepada ajaran wahyu Allah, dan menyerap unsur-unsur positif dari berbagai peradaban lain.
Sifat Manusia dan Bentuk Masyarakat Yang Kita Mahu
Demi mencapai pembangunan yang bakal menjamin kebahagiaan duniawi dan ukhrawi, dasar dan rancangan pembangunan negara mesti banyak melabur dalam bidang pendidikan insan agar mereka menjadi insan beradab – manusia baik dan terpelajar serta mampu berperanan dalam masyarakat.
Manusia yang baik atau manusia yang beradab adalah manusia yang mengenal Tuhannya, mengenal dan mencintai Nabinya, menjadikan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai uswah hasanah, menghormati para ulama sebagai pewaris Nabi, memahami dan meletakkan ilmu pada tempatnya yang terhormat – faham mana ilmu yang fardhu ain, dan mana yang fardhu kifayah; mana ilmu yang bermanfaat dan mana ilmu yang merosak dan memahami serta mampu menjalankan tugasnya sebagai khalifatullah fil ardh dengan baik.
Masyarakat beradab menurut Islam adalah masyarakat yang memuliakan orang yang berilmu, orang yang soleh, orang yang bertaqwa; bukan orang yang ada kuasa, banyak harta, keturunan bangsawan, paras rupawan dan banyak pengikut. Dalam masyarakat yang beradab, darjat orang yang berilmu dan soleh dibezakan dari darjat para penghibur. Allah telah membezakan martabat manusia sesuai dengan keilmuan, keimanan dan ketaqwaannya. Inilah adab dalam konsep Islam.
Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang mampu mengembangkan masyarakat yang beradab seperti di atas.
Persiapan ilmu sangat penting bagi setiap individu sebagai jalan mengenal Allah dan beribadah kepadaNya agar menjadi insan beradab. Para pemimpin haruslah bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam menanam dan menyuburkan budaya ilmu yang benar berasaskan pandangan alam Islam. Jika tidak, yang akan disemai dan disuburkan adalah budaya yang membuahkan budaya pintar dan mahir tapi hampa dari segi keilmuan sebenar, keadilan dan keihsanan.
Usaha penyuburan budaya ilmu juga memerlukan keberanian. Jika tidak, yang akan subur hanya unsur-unsur kompromi mengenai perkara-perkara yang tidak patut dikompromi, perubahan pada dasar dan institusi yang tidak patut berubah. Manusia berilmu yang penakut akan sentiasa menjustifikasi kebatilan, kezaliman dan kefasadan dengan penjelasan-penjelasan yang zahirnya kelihatan benar dan rasional, dibantu pelbagai fakta yang boleh mengelirukan orang awam.
Di bawah ini, dikisahkan bagaimana penanaman budaya ilmu dalam bangsa Jepun telah membawa Jepun ke mercu kecemerlangan yang mengkagumkan.
Budaya Ilmu di Jepun
Pada abad ke-19, masyarakat Jepun dikenal sebagai masyarakat yang dahagakan ilmu. Budaya ini telah membangkitkan Jepun menjadi kekuatan dunia dalam bidang sains, teknologi dan ekonomi yang mengkagumkan pada masa-masa berikutnya. Orang Amerika Syarikat hairan bagaimana bangsa yang dikalahkan teruk dalam Perang Dunia Kedua itu mampu mengalahkan Amerika Syarikat dan sebahagian besar dunia Barat dalam bidang yang disebutkan di atas. Prof. Ezra Vogel dari Harvard University telah membuat kajian menyeluruh untuk memahami fenomena ini. Beliau merumuskan bahawa satu faktor yang boleh menjelaskan kejayaan Jepun adalah berkat kepekaan pemimpin, institusi dan rakyat Jepun terhadap ilmu dan maklumat serta kesungguhan mereka menggunakan ilmu untuk faedah mereka.
Masyarakat Jepun telah meletakkan nilai tinggi terhadap ilmu sebagai penentu maruah seseorang, keluarga dan negara. Semangat ghairah untuk memperoleh pendidikan terbaik bermula pada awal Zaman Meiji (1860-1880). Pada akhir tahun 1888, hampir 30,000 pelajar menuntut berada di 90 buah sekolah swasta di Tokyo dan 80% adalah pelajar luar bandar. Pelajar miskin dibiayai oleh sistem biasiswa pemberian tuan tanah dan hartawan. Ada yang bekerja part time sebagai pembantu rumah, penghantar suratkhabar, pembantu guru dan penterjemah. Dengan bangganya, mereka melaungkan slogan “Jangan hina kami, kelak kami mungkin jadi menteri!”.
Pendidikan di Jepun adalah jalan terpenting untuk mendaki tangga kejayaan. Para remaja dan pelajar disajikan dengan kisah kejayaan dari timur dan barat. Contoh buku Yukichi Fukuzawa berjudul Galakan Pelajaran pada tahun 1882 terjual sebanyak 600,000 naskhah. Buku ini antara lain menyatakan:
“Manusia tidak dilahirkan mulia atau hina, kaya atau miskin tetapi dilahirkan sama seperti orang lain. Sesiapa yang gigih belajar dan menguasai ilmu dengan baik akan menjadi mulia dan kaya, tetapi mereka yang jahil akan menjadi papa dan hina”.
Motivasi untuk pelajar terkandung dalam buku teks pendidikan moral atau akhlak sekolah rendah, yang kemudian terbawa ke peringkat individu, keluarga dan masyarakat.
Jepun hanya satu contoh bagaimana bangsa kecil mampu bangkit dengan menjadikan budaya ilmu asasnya. Bom atom yang menghancurkan kota-kotanya terbukti tidak mampu menghentikan kebangkitan bangsa Jepun dalam dunia sains dan ilmu pengetahuan.
Di bawah ini pula adalah kisah seorang wanita nusantara yang hidup di zaman anak-anak perempuan tidak bersekolah. Cuba lihat sendiri insan yang dididik dengan ilmu yang benar. Hasilnya sangat mengkagumkan.
Rahmah El-Yunusiah – Wanita yang Mendahului Zaman
Rahmah berasal dari keluarga yang kuat beragama. Ayah beliau, Sheikh Muhammad Yunus adalah seorang qadhi dan datuk beliau, Sheikh Imadudin adalah seorang ulama terkenal Minangkabau.
Rahmah tidak pernah belajar secara formal tetapi beliau mendapat pendidikan awal dari ayahnya dan kemudian mendapat bimbingan langsung dari abang-abangnya apabila ayahnya meninggal dunia.
Rahmah mampu menulis Arab dan Latin hasil tunjuk ajar dari abang-abang beliau. Beliau juga menuntut ilmu agama dari sejumlah ulama terkenal Minangkabau. Rahmah juga mempelajari ilmu kesihatan, perbidanan, memasak, menjahit dan menenun.
Rahmah mendirikan Madrasah Diniyah School Puteri pada tahun 1923 ketika beliau berusia 23 tahun. Bilangan pelajar ketika itu berjumlah 71 orang dan sebahagian besar terdiri dari ibu-ibu muda. Rahmah pernah datang dua kali ke Malaysia untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi menampung keperluan madrasahnya semasa gempa bumi melanda dan merosakkan bangunan madrasah beliau.
Ketika berlaku tragedi keretapi pada masa pemerintahan Jepun, madrasah beliau telah diubahsuai untuk menjadi pusat merawat mangsa tragedi. Rahmah juga telah berjaya menyelamatkan ramai wanita Indonesia yang diculik oleh tentera Jepun untuk dijadikan pelacur.
Ketika masa sukar melanda masyarakatnya, Rahmah telah berusaha untuk mengumpul beras dan menjahit pakaian untuk keperluan mereka.
Pada tahun 1955, beberapa orang pemimpin tertinggi Universiti Al-Azhar Mesir telah datang menziarahi Rahmah dan kagum melihat madrasah beliau. Rahmah berucap dalam bahasa Arab semasa acara sambutan sehingga tetamu-tetamu dari Mesir tu terkejut dengan kefasihan beliau.
Pada tahun 1957, Rahmah telah diundang ke Mesir dan beliau diberikan gelaran kehormatan Sheikhah dan menjadi wanita pertama mendapat gelaran tersebut. Kisah Rahmah ini telah menginspirasi Universiti Al-Azhar untuk membuka Kulliyatul Lil Banat – fakulti khusus untuk wanita pada tahun 1962.
Rahmah terus berbakti kepada masyarakat beliau sehinggalah beliau meninggal pada bulan Februari tahun 1969 ketika berumur 69 tahun.
Moga contoh-contoh yang dikisahkan di atas dapat memotivasi kita dalam membangunkan budaya ilmu yang benar dalam usaha membangun negara Malaysia menjadi negara yang kuat, maju dan berdaulat.
Datin Asmahan Zaidon
Bendahari
Wanita BERJASA Malaysia