polemik kemiskinan warga emas perlu ditangani segera

Seawal pukul 9 pagi, Roseli Katim yang mesra disapa “Pak Long” itu sudah berada di gerainya yang terletak di Taman Jasmin, Kajang dan memulakan rutin mengopek buah kelapa muda.

Meskipun usia sudah mencecah 66 tahun, beliau kelihatan begitu tangkas menguruskan perniagaan menjual air kelapa muda, yang biasanya berakhir pada pukul 5 petang, demi kelangsungan hidup. 

Hidup sebatang kara, tidak mempunyai anak mahupun isteri, beliau sebelum ini pernah bekerja di kilang elektronik selepas bersara sebagai anggota tentera pada tahun 1992.

“Beginilah setiap hari menjual air kelapa. Bukan selalu ada pelanggan. Kadang-kadang hendak jual 10 biji kelapa pun susah tambah pula kalau hari hujan, lagilah tiada pelanggan,”  kata Pak Long kepada Bernama. 

Mungkin ada yang menganggap apa yang Pak Long lakukan ini mudah, kupas kelapa, keluarkan air dan sudah boleh jual.

“Namun hakikatnya, pekerjaan ini memerlukan kudrat yang sangat kuat selain terpaksa  menahan bahang terik matahari yang sekali gus memberi cabaran besar kepada warga emas seperti Pak Long yang berniaga di tepi jalan. 

Apatah lagi, tahap kesihatannya tidak lagi seperti semasa memulakan perniagaan air kelapa 10 tahun lepas selain kehidupannya semakin sukar apabila dia disahkan menghidap penyakit jantung sejak empat tahun lepas dan memerlukannya menjalani rawatan setiap enam bulan sekali di Hospital Kajang.

Tidak dapat menahan sebak ketika berkongsi ceritanya kepada penulis yang menemuinya di gerai, hasil jualan tidak menentu yang diperolehi lelaki ini perlu dikongsi dengan pembantu yang terpaksa diambil bekerja untuk membantunya, ekoran kerap tidak sihat dan diserang sakit jantung. 

Hasil jualan air kelapanya, RM5 untuk sebiji kelapa muda pendapatannya tidak menentu, dalam lingkungan RM1,500 sebulan. 

“Kerap juga sekarang rasa sakit. Bila sakit, susah hendak bernafas, sakit sangat di bahagian dada dan saya akan terus ke hospital, sudah tidak boleh teruskan berniaga. Walaupun macam itu, saya sudah tidak ada pendapatan lain lagi dan memang bergantung hidup jual air kelapa ini sahaja,” katanya yang sudah beberapa kali diserang sakit jantung ketika sedang berniaga.

MEMBIMBANGKAN

Kehidupan perit meniti usia emas bagi meneruskan kelangsungan hidup turut dialami pemandu e-hailing, Azmi Hamid (bukan nama sebenar) apabila masih perlu bekerja pada usia 60 tahun kerana perlu menanggung anak yang masih kecil dan bersekolah antara usia 17 hingga lima tahun.

“Empat orang anak saya dengan bekas isteri semua sudah besar, berumur 30-an dan sudah mendirikan rumah tangga. Saya yang menjaga mereka sejak kecil sehingga mereka dewasa selepas berpisah dengan isteri pertama. 

“Melalui perkahwinan kedua, saya mendapat empat orang anak, masih kecil dan terpaksa bekerja bagi menampung keluarga baharu ini. Kenalah reda dan setiap hari saya berdoa dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus bekerja menyara anak-anak,” kata Azmi yang pernah bekerja sebagai tukang masak dan kini membawa grab lebih lapan jam sehari.

Hakikatnya, bukan sahaja Roseli mahupun Azmi yang terpaksa bekerja pada usia ‘warga emas’ demi kelangsungan hidup dan menyara keluarga kerana sudah banyak laporan media mengenai kehidupan golongan tua yang terpaksa melalui keadaan sama.

Walhal, dalam usia sebegitu sewajarnya menjadi tempoh ‘rehat’ untuk mereka setelah sekian lama bekerja keras, namun realitinya tidak semua yang bernasib baik, dan situasi ini perlu ditangani segera memandangkan hanya berbaki tujuh tahun sahaja lagi sebelum Malaysia menjadi negara menua. 

Pastinya, keadaan ini yang berisiko menggugat kesejahteraan hari tua tidak boleh dipandang sambil lewa apatah lagi pendedahan Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) sebelum ini bahawa jumlah tenaga buruh yang mempunyai caruman KWSP masih rendah amat membimbangkan.

Pengerusinya, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir sebelum ini dipetik berkata, lebih tujuh juta atau kira-kira 44 peratus daripada 16.7 juta tenaga buruh di negara ini tiada caruman KWSP mahupun Skim Pencen Perkhidmatan Awam dan majoritnya dalam kalangan adalah pekerja tidak formal termasuk pekerja bebas dan golongan bekerja sendiri. 

Apatah lagi, hanya 56 peratus sahaja yang mendapat perlindungan tersebut dan kadarnya dikatakan lebih rendah berbanding purata global yang berada pada tahap 68 peratus dan keadaan ini menurut pakar berisiko mendepankan negara kepada ‘tsunami’ warga emas apabila ada terpaksa hidup melarat. 

Mengajukan isu ini kepada pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Zumilah Zainalaludin, beliau berkata, polemik kemiskinan dalam kalangan warga emas di Malaysia memerlukan pertimbangan serius semua pihak dan bukannya hanya terletak pada bahu kerajaan semata-mata. 

Analisa beliau menerusi data mikro Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2019 mendapati, dalam kalangan 5,197 warga emas, sekitar 31.2 peratus berada dalam isi rumah miskin. Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2022 bagi satu keluarga ialah RM2,589 manakala bagi PGK miskin tegar adalah sebanyak RM1,198.

KESIHATAN MENTAL

Mengulas lanjut isu ini, Zumilah berkata, terdapat beberapa faktor yang merisikokan warga emas hidup dalam kemiskinan, antaranya, tidak mempunyai jaminan kewangan untuk usia tua, sama ada simpanan tidak mencukupi atau tiada pendapatan, berhadapan dengan kos rawatan yang tinggi serta masih perlu menyara keluarga.

“Selain itu, terdapat juga kes anak tidak boleh menjaga ibu bapa mereka yang sudah tua dan miskin kerana mereka pun miskin. Ini realiti yang berlaku sekarang dan kita tidak boleh menuduh mereka tidak mahu menjaga orang tua semata-mata.” 

“Bayangkan, jika pasangan yang mempunyai lima orang anak, tinggal di rumah tiga bilik, ruangan yang sempit, kereta pun hanya lima tempat duduk, dan menjaga ibu bapa yang tinggal bersama. Ditambah pula jika orang tuanya menghidap penyakit demensia, yang memerlukan kos penjagaan yang tinggi seperti lampin pakai buang, ubat-ubatan dan sebagainya. Ini bukan calang-calang cabaran untuk pengurusan kewangan keluarga seperti ini” katanya. 

Situasi ini hakikatnya tidak hanya menggugat kesejahteraan warga emas, namun Zumilah berpandangan, faktor persekitaran tersebut turut berisiko memberi tekanan kepada anak-anak yang menjaga orang tua mereka sehingga menjurus ke arah mewujudkan pelbagai masalah sosial di dalam masyarakat berkaitan dengan kesejahteraan penjaga warga emas.

Ini dapat dilihat apabila pelbagai laporan media berkaitan dengan kes melibatkan penderaan malah pembunuhan dalam kalangan warga emas yang dilakukan oleh ahli keluarga terdekat semakin ketara dan kerana itu Zumilah melihat keperluan kajian mendalam dilakukan mengenainya yang mungkin berkait rapat dengan soal kemiskinan yang memerlukan program intervensi segera.

Selain itu, masalah gelandangan dalam kalangan warga emas juga turut membimbangkan, malah kajian beliau meliputi warga emas di luar bandar mendapati, situasi kerentanan berganda (multiple vulnerabilities) banyak berlaku dalam kalangan golongan berkenaan. Mereka bukan sahaja rentan kerana usia, tetapi juga rentan kerana miskin, tinggal sendirian/gelandangan, menghidapi pelbagai penyakit dan sebagainya.

“Justeru, kemiskinan dalam kalangan warga emas memerlukan santunan bukan sahaja segera malah lebih awal melalui pelbagai strategi jaminan kewangan warga emas seperti skim pekerjaan warga emas, program usahawan senior, program mikro kredit warga emas dan program komuniti menyokong,” katanya. 

Langkah ini dilihat penting bagi menjamin dan memastikan kesejahteraan warga emas Malaysia adalah pada tahap sepatutnya selain perlu terus aktif sepertimana yang disasarkan oleh Dasar Warga Emas Negara.

WUJUDKAN PELUANG

Bagi warga emas di bandar, pastinya lebih mencabar terutamanya mereka yang tidak mempunyai rumah, tidak memiliki keluarga, berpenyakit dan akhirnya terpaksa menjadi gelandangan.

Situasi yang mengancam kesejahteraan warga emas ini memerlukan komitmen semua pihak dalam menjayakan ketersediaan menuju negara menua dan tidak boleh dibahukan hanya pada kerajaan sahaja untuk memastikan kehidupan berkualiti buat mereka. 

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) misalnya sehingga Ogos 2023  memperuntukkan sebanyak RM569,748,840 kepada seramai 143,499 penerima bantuan warga emas.

Justeru, Zumilah berkata, adalah penting kerajaan melaksanakan pelbagai pendekatan selain bantuan tunai bagi membolehkan warga emas menjalani kehidupan sihat, aktif dan proaktif.

Pelbagai program perlu diwujudkan kepada golongan warga emas untuk membolehkan mereka menjana pendapatan. — fotoBERNAMA

Biarpun begitu, Malaysia ketika ini dilihat masih belum lagi memiliki kaedah terbaik menghadapi fasa menua terutamanya berkaitan dengan jaminan kewangan warga emas, dan kerana itu beliau melihat ada keperluan skim pekerjaan khas kepada warga emas diwujudkan bagi membantu golongan ini menjana pendapatan mengikut tempoh bersesuaian dengan tahap kesihatan serta kecergasan mereka.

“Di Jepun misalnya, ramai pekerja yang menyantuni penumpang di lapangan terbang adalah warga emas dengan tugas-tugas ringan seperti memberikan borang, menunjuk arah dan memberikan sapaan mesra selamat datang. Jadi begitu juga dengan kita yang boleh memberikan golongan ini bekerja dalam tempoh empat hingga lima jam dengan jenis-jenis kerjaya yang bersesuaian dengan mereka untuk kelangsungan hidup, terutamanya golongan berpendapatan rendah pada usia muda mereka. Pekerjaan seperti pengawal keselamatan di kawasan berisiko rendah, di pusat kutipan tol, pekerja am lapangan terbang dan di terminal pengangkutan awam, sekali gus membolehkan mereka mendapat gaji untuk menyara kehidupan,” katanya.

Selain itu, pemberian skim mikro kredit dengan syarat pembiayaan dilonggarkan perlu dipertimbangkan bagi membolehkan golongan itu mempunyai perniagaan mikro sekali gus dapat membantu mereka bergerak aktif dan bersosial bagi menangani masalah kesepian dalam kalangan warga emas. 

Menurutnya, 90 peratus warga emas di negara ini boleh berdikari serta berusaha untuk menguruskan kehidupan tua mereka dengan baik sementara hanya 10 peratus sahaja yang memerlukan bantuan daripada JKM bagi kes pesakit yang terlantar.

Golongan ini untuk kekal aktif penting memandangkan masalah kesepian menjadi antara pembunuh utama warga emas apatah lagi apabila semakin ramai yang bersendirian tanpa ditemani anak-anak atau ahli keluarga disebabkan oleh pelbagai faktor.

RISIKO KERENTANAN DAN PESAKIT KEDUA

Sementara itu, Profesor Madya Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga Fakulti Ekologi Manusia, Dr Rahimah Ibrahim berkata isi rumah yang menjaga warga emas iaitu ibu bapa mereka ini turut menghadapi risiko kerentanan.

“Ini kerana mereka perlu berdepan dengan tanggungan perbelanjaan penjagaan jangka panjang ibu bapa lebih-lebih lagi jika mereka menghidapi penyakit kronik.

“Kita juga dapati isi rumah dengan warga emas ini kebiasaannya ialah isi rumah yang berpendapatan rendah, namun mungkin tidak layak untuk menerima bantuan kerana ada isi rumah yang bekerja, ” katanya.

Dr Rahimah Ibrahim.–fotoBERNAMA

Selain itu Rahimah berkata kebanyakan penjaga juga tidak bersedia untuk menjaga warga emas disebabkan kurang pengetahuan dan persediaan kewangan. Ada anak-anak yang terpaksa mengurangkan komitmen kerja, mengambil cuti atau langsung berhenti kerja untuk menjaga ibu bapa.

“Apabila saya bertemu penjaga ini (anak-anak yang menjaga warga emas ini) mereka menyatakan tidak bersedia terutama bila ibu bapa yang menghidap penyakit kronik atau penyakit kognitif seperti demensia.

“Bila jadi begitu (demensia) bukan sahaja perkhidmatan rawatan perubatan, pembelian ubat, kos rawatan hospital, peralatan lain juga perlu dibeli jika pesakit dibawa balik ke rumah dari hospital seperti katil, tiub, makanan pesakit iaitu susu.

“Kesemua perbelanjaan ini adalah tidak terjangka menyebabkan mereka mengeluarkan wang yang banyak untuk membiayai urusan itu,” katanya.

Selain itu Rahimah berkata kelompok yang menjaga warga emas seperti ini juga berisiko menjadi pesakit kedua kerana mereka merupakan individu yang sakit selepas itu disebabkan tekanan, tidak cukup wang, tidak mendapat sokongan sepenuhnya dari ahli keluarga (adik-beradik lain yang tidak menjaga warga emas), tekanan fizikal yang membawa kepada tahap kesihatan merosot.

Justeru pakar itu berkata dalam menghadapi negara menua tidak lama lagi kerajaan perlu memperkasa aspek perkhidmatan penjagaan terhadap warga emas.

“Aspek perumahan misalnya sudah tiba masanya pemaju menyediakan tapak khas bagi sesuatu perumahan yang bakal dibangunkan untuk golongan warga emas seperti membina pusat jagaan orang tua. Bila mahu bina rumah hanya tabika yang difikirkan dan kita mahu berdekatan supaya ia memudahkan pergerakan kita untuk ambil anak.

“Sebenarnya pusat jagaan warga emas juga perlu ada dalam pelan pembangunan perumahan itu. Bukan hanya tabika, surau, sekolah sahaja yang perlu berdekatan tetapi “daycare” warga emas ini juga perlu dibina bagi memudahkan golongan yang bekerjaya menghantar ibu bapa mereka sewaktu tempoh bekerja,” katanya.

Selain itu Rahimah berkata pembinaan taman rekreasi juga perlu mencakupi semua peringkat umur agar warga emas juga memperoleh manfaat dan dapat melakukan aktiviti.

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

Kredit: BERNAMA

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Projek KXP Tiada Dalam Bajet 2024, Sanusi Minta Pertimbangan Semula

Next Post

Solidariti Palestin: Semak Dahulu Organisasi Yang Menyalurkan Bantuan – PDRM

Related Posts