SHAH ALAM – Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan Mohd Sharif menyokong tindakan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Salleh untuk memboikot pasar raya KK Mart yang telah bertindak biadab terhadap sensitiviti agama Islam. Tindakan Dr. Akmal Salleh tersebut wajar disokong oleh semua pemimpin dan rakyat yang beragama Islam untuk dijadikan sebagai peringatan dan amaran kepada mana-mana pihak yang cuba bermain api dengan isu ini.
Dalam masa yang sama juga, beliau menyelar Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nabil Halimi di atas kenyataan beliau yang menyelar Dr. Akmal Salleh kononnya individu yang bertanggungjawab terhadap serangan bom molotov di premis KK Mart. Nabil Halimi dilihat lebih suka mencari salah rakan sendiri daripada bersolidariti bersama beliau dalam isu penghinaan kalimah Allah ini.
“AMK patut berasa malu kerana mengambil tindakan pengecut dalam hal ini. AMK seakan-akan ingin melepaskan diri dengan terus menyalahkan orang lain. Apakah AMK telah lupa tanggungjawab kepada agama dan alpa dalam mengingati bahawa Islam diletakkan di tempat yang tertinggi di dalam perlembagaan?”, soal beliau.
Tegas beliau lagi, AMK sepatutnya tidak wajar menghalang mana-mana pihak yang bertindak mempertahankan kesucian kalimah Allah jika mereka tidak mahu menyertai solidariti ini sekalipun.
Terdahulu, berlakunya dua kejadian serangan molotov cocktail di cawangan KKM Mart di Pahang dan Bidor yang akhirnya mengundang kecaman kepada Dr. Akmal Salleh selaku tertuduh yang menyebabkan isu ini menjadi semakin besar. Serangan melibatkan molotov cocktail itu masih lagi di dalam siasatan polis.