Shah Alam – Cadangan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mencadangkan subjek keusahawanan dijadikan subjek teras di peringkat sekolah menengah dalam usaha mewujudkan ‘bangsa usahawan’ dalam kalangan belia hanyalah solusi jangka pendek dan tidak menyeluruh.
Kerajaan perlu melihat lebih ke hadapan dan lebih holistik apabila melibatkan tenaga kerja terutama tenaga kerja tempatan.
Ketua Pemudi BERJASA, Nor Azliza Rajiain ketika dihubungi oleh Gelombang BERJASA berkata, tenaga mahir amat diperlukan dalam memacu sumber tenaga kerja sekiranya negara ingin menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.
“Kita faham bahawa anak muda pada hari ini dilihat lebih cenderung untuk bekerja dikilang dan menjadi pemandu e hailing. Kecenderungan untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi makin berkurangan atas faktor ekonomi dan pendapatan yang akan diterima selepas tamat pengajian”.
“Jadi apabila kerajaan ingin menawarkan subjek keusahawanan sebagai subjek teras di sekolah untuk menyelesaikan isu ini, ia hanya solusi jangka pendek semata-mata”.
“Saya berpendapat lebih baik untuk pihak kerajaan melalui beberapa kementerian perlu duduk semeja dan memikirkan solusi yang wajar diambil bagi menangani isu ini”, jelas beliau.
Dalam masa yang sama, beliau menggesa agar pihak kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi untuk mengkaji semula jangkamasa pengajian bagi kursus tertentu selain mengurangkan silibus yang membincangkan tentang teori yang tidak bersesuaian dengan industri.
Peluang pekerjaan yang memenuhi kehendak industri juga perlu diperluaskan serta tawaran skim bantuan kepada majikan yang menyerap masuk pelajar latihan industri ditempat mereka boleh dijadikan inisiatif tambahan bagi mengatasi isu ini.
Terdahulu, statistik merekodkan hanya 40 peratus daripada 500,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian ke Tingkatan Enam, institusi pengajian tinggi (IPT) dan sertai Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) setiap tahun.
Jumlah itu menunjukkan bahawa sekitar 300,000 daripada mereka yang tidak melanjutkan pelajaran mungkin bekerja dalam sektor kilang atau ‘e-hailing’, sekali gus memenuhi kelompok golongan B40 di negara ini.