Lepasan SPM Tidak Mahu Sambung Belajar: Apa Kata Anak Muda?

Bangi – Isu yang diutarakan oleh akhbar arus perdana mengenai kecenderungan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mencetuskan kebimbangan masyarakat hatta kerajaan sekalipun.

Satu kajian daripada Strategik Forward Malaysia Research Centre, berhubung trend pelajar lepasan SPM yang tidak mahu menyambung pengajian di peringkat tinggi berterusan akan menyebabkan negara kehilangan 70 peratus tenaga mahir dalam pasaran.

Hal ini merupakan satu perkara yang membimbangkan kerana ia bakal merencatkan usaha Malaysia mencapai negara yang berpendapatan tinggi menjelang 2026 seperti yang diperkatakan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada 15 Februari 2023.

Antara faktor yang mendorong mereka tidak mahu menyambung pengajian adalah disebabkan oleh desakan ekonomi sama ada ingin terus mendapatkan duit dengan segera ataupun keluarga yang tidak berkemampuan untuk membiayai perbelanjaan pendidikan mereka.

Apa Kata Anak Muda?

Gelombang BERJASA cuba mendapatkan respon daripada beberapa anak muda mengenai isu yang dibangkitkan sejak kebelakangan ini.

Najmi Aiman, graduan lepasan Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS) yang kini bekerja sebagai pegawai media di sebuah syarikat swasta berkata punca utama mereka ingin terus bekerja daripada menyambung pengajian kerana ingin mendapatkan wang.

Beliau berpendapat ia didorong oleh tempoh pengajian yang lama iaitu memakan masa 3 sehingga 4 tahun maka kos pengajian juga menjadi mahal.

“Tidak dinafikan adanya kenaikan gaji tetapi kenaikan gaji tidaklah banyak, setahun RM 100-200 sahaja kenaikan gaji. Itupun ikut prestasi pekerjaan mereka”.

“Cumanya saya rasakan mereka tidak berminat untuk sambung pengajian adalah disebabkan oleh faktor kewangan. Cuba bayangkan selepas tamat pengajian mereka terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan kenaikan gaji dan gaji yang diperoleh mereka pula setaraf dengan gaji lepasan SPM”.

“Mesti akan timbul ketidakpuashatian dan terus merujuk pada bos, minta dinaikkan gaji. Tetapi bos tidak endah dan beritahu padanya bahawa gajinya berdasarkan kelulusan dia”, tegas beliau.

Namun bagi beliau apa-apa pun yang berlaku beliau menasihatkan kepada anak-anak muda lepasan SPM agar terus menyambung pengajian kerana masalah kewangan ini boleh diselesaikan dengan pelbagai cara seperti melakukan kerja separuh masa atau memulakan perniagaan sendiri untuk mendapatkan wang saku tambahan.

Rakannya iaitu Umar Hazim juga berkongsi pandangan yang sama dalam isu ini. Beliau berpendapat isu kewangan dan ekonomi sememangnya menjadi penghalang terbesar anak muda untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

Beliau yang kini masih menuntut pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS) dalam bidang pengajian multimedia berpendapat isunya perlu dilihat dari sudut dua aspek iaitu ketidakmampuan oleh mereka untuk membayar yuran pengajian dan mereka merasakan universiti ini hanya melambatkan proses bagi mereka untuk bekerja dan mendapatkan duit.

“Bagi saya isu pelajar sekolah tidak menyambung pelajar ke peringkat universiti disebabkan mahu bekerja bagi menyara keluarga ini makin tidak asing di Malaysia. Mereka lebih gemar untuk terus bekerja daripada sambung belajar”.

“Isu ini jika dibiarkan lama secara berlarutan akan merencatkan perancangan negara untuk menuju ke arah negara maju pada 2035. Jadi saya ingin mencadangkan kepada kerajaan agar memperbanyakkan bantuan yuran serta bantuan sara hidup kepada mereka dalam tempoh pembelajaran”, saran beliau.

Tambahnya lagi, kerajaan perlu mengenalpasti bakal mahasiswa yang fakir miskin bagi membantu mereka untuk menyara keluarga mereka dalam tempoh mereka melanjutkan pelajaran mereka di peringkat universiti.

Punca Utama Masalah Kewangan

Rata-rata respon yang diterima oleh Gelombang BERJASA dalam isu kecenderungan pelajar untuk terus bekerja selepas SPM adalah disebabkan oleh tekanan ekonomi.

Meletakkan kesalahan kepada mereka secara seratus peratus adalah sesuatu yang tidak adil kerana ia perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas.

Kenaikan kos sara hidup, kos sewa yang mahal dan harga peranti elektronik yang tinggi adalah salah satu faktor yang membantut niat mereka untuk melanjutkan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

Gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengesan 30,000 bekas calon SPM yang gagal menghadiri peperiksaan telah menunjukkan negara kita benar-benar mengalami krisis pendidikan bermula di sekolah lagi bukannya selepas alam persekolahan.

Rakyat semestinya mengharapkan ada solusi daripada kerajaan untuk mengatasi masalah ini terutamanya dalam melibatkan masalah ekonomi untuk membantu anak-anak muda yang mahu mengejar cita-cita ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kunjungan Parti PUTRA Ke Pejabat BERJASA

Next Post

Anda Kerajaan Atau Pembangkang?

Related Posts