KUALA LUMPUR – Kira-kira 12.9% rakyat Malaysia sanggup menahan diri daripada mendapatkan rawatan perubatan atas sebab faktor kewangan yang tidak mengizinkan tahun lalu. Kajian yang memfokuskan kepada ketidakmampuan rakyat untuk menanggung kos perubatan ini dilaporkan oleh Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kerajaan (NHMS) 2023.
Dalam tinjauan tersebut mengatakan bahawa 12.9% responden melaporkan bahawa mereka mengelak untuk mendapatkan rawatan kerana kos rawatan terlalu mahal, tidak mampu dibeli atau kerana kekurangan wang.
Bukan itu sahaja malahan laporan itu juga menyatakan bahawa terdapat banyak aduan orang ramai mengenai kesesakan dan masa menunggu yang lama di hospital awam.
Hal ini selari dengan laporan pada Mac tahun lepas yang melaporkan bahawa begitu mahalnya kos untuk kembali sihat.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, memilih rawatan alternatif menjadi kebiasaan di Malaysia terutama membabitkan wanita namun ia sebenarnya mengundang risiko kepada pesakit.
“Pesakit terbabit juga membahayakan diri sendiri, sebagai contohnya memakan ubat tak betul atau terdedah keracunan serta kesan sampingan. Selain itu mereka terdedah ditipu apabila ada perawat alternatif ini mengenakan caj mahal tetapi tidak mujarab,” katanya.
Katanya, kerajaan perlu menyediakan sistem dan kakitangan yang mesra pesakit dengan menawarkan rawatan pada kos berpatutan.
Kesukaran untuk mendapatkan akses kesihatan yang baik sudah mula dirasai oleh rakyat Malaysia apabila mereka sanggup menolak rawatan di hospital dengan mencari kaedah alternatif akibat desakan ekonomi yang makin menghimpit mereka.
Hal ini terus mengingatkan kepada tindakan kerajaan yang menarik kembali Skim Perubatan MADANI di beberapa daerah atas sebab yang kurang jelas sedangkan masih ramai rakyat yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan akses kesihatan yang baik.