Penguatkuasaan Pelitup Muka Perakuan MS SIRIM Tambah Derita Rakyat – Ir Lukman Al Hakim

Ir Lukman Al Hakim BERJASA

Bangi – Meskipun kerajaan menangguhkan penguatkuasaan perakuan dan penandaan MS SIRIM bagi pelitup muka bukan perubatan, golongan kurang mampu tetap akan terkesan apabila ia dikuatkuasakan kelak.

Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim berkata, dengan kemelesetan ekonomi pasca COVID-19 dan kenaikan harga barang menjelang perayaan Aidilfitri, berita pelitup muka dengan kelulusan SIRIM ini sudah pasti amat menyesakkan dada dan menambah derita seluruh rakyat.

“Sudah tentulah, jika benar arahan ini dikuatkuasakan dan semua penjual terpaksa patuh, tentulah harga ‘face mask’ akan melambung naik.

“Akibatnya, fenomena ini pasti akan membebankan golongan yang kurang mampu terutamanya keluarga yang memiliki anak dan tanggungan yang ramai.

“Persoalannya, kenapa sekarang? Setelah kita berperang dengan pandemik COVID-19 masuk tahun ketiga?” soalnya menerusi kenyataan dimuatnaik di Facebook beliau hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan pihaknya mewartakan produk pelitup muka itu berkuatkuasa 4 April lalu, sekali gus mewajibkan pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan membuat permohonan perakuan dan penandaan MS SIRIM pada kotak atau bungkusan yang mudah dilihat pengguna.

Menurutnya, penandaan MS SIRIM hendaklah diperoleh pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd, iaitu pihak berkuasa yang dilantik kementerian.

Pewartaan itu dibuat dalam Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan), bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Menurut kementerian itu, tindakan penguatkuasaan boleh diambil sekiranya berlaku ketidakpatuhan oleh pengilang dan pengimport.

Syarikat yang tidak mematuhi arahan boleh didenda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM500,000.

Bagi individu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi selama tempoh lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, kerajaan menangguhkan penguatkuasaan itu ke 1 Januari 2023 selepas mengambil kira maklum balas daripada orang awam dan memberi peluang kepada pihak industri dan pengguna untuk membuat penyesuaian sebelum pewartaan itu dilaksanakan.

Mengkritik cadangan itu, Muhammad Lukman berpendapat kerajaan sepatutnya menguatkuasakan perkara yang lebih mustahak.

“Bukankah penguatkuasaan pemakaian ‘face mask’ yang masih longgar ini perlu diberikan fokus terlebih dahulu?

“Bukankah SOP penjarakan sosial terutama di tempat awam, bazaar Ramadan, pusat membeli-belah dan dalam pengangkutan awam lebih kritikal untuk diutamakan?,” soalnya.

Tegasnya, ketetapan yang baru hendak dikuatkuasakan setelah hampir tiga tahun negara bergelut dengan pandemik COVID-19 hanya akan membuatkan orang ramai yang tidak mampu berasa takut untuk keluar.

“Mereka yang tidak mampu akan terus memakai ‘face mask’ yang lama, yang dibasuh berkali-kali sehingga lusuh sambil mengira wang saku yang tinggal untuk membeli juadah berbuka puasa.

“Malah untuk keluar membeli juadah berbuka pun mereka amat takut, kerana boleh jadi mereka akan terpaksa berbuka puasa dalam penjara!,” katanya.

Sumber – Ismaweb

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
Ir Lukman Al Hakim BERJASA

Tahniah PETRONAS, Syarikat Terbaik Untuk Bekerja Bagi Tahun 2022 – Ir Lukman Al Hakim

Next Post
Ir Lukman Al Hakim BERJASA

Kerajaan vs Ibu Bapa – Ir Lukman Al Hakim

Related Posts