Kajian yang dibuat oleh Merdeka Center melaporkan bahawa hampir dua pertiga rakyat Malaysia kini mempunyai pandangan yang positif terhadap rakyat China melalui hubungan Malaysia dengan China.
Kajian ini mendedahkan hubungan Malaysia dengan China dianggap semakin baik dengan sokongan hubungan ini menunjukkan peningkatan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan.
Hasil kajian ini menunjukkan sokongan terhadap China dalam kalangan etnik Melayu melonjak daripada hanya 28 peratus pada tahun 2022 kepada 73 peratus pada tahun 2024.
Responden kajian ini dalam kalangan etnik Cina menunjukkan sokongan tertinggi terhadap hubungan Malaysia dengan China dengan 97 peratus daripada mereka memberikan pandangan positif.
Hal ini disusuli dengan responden Bumiputera Islam sebanyak 87 peratus, Bumiputera bukan Islam (85 peratus), etnik India (80 peratus) dan Melayu (78 peratus).
Tinjauan kajian yang dibuat antara 17 Mei hingga 10 Jun 2024 melibatkan 1,225 responden berumur 18 tahun ke atas dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak berdasarkan 52 peratus Melayu, 29 peratus Cina, 7 peratus India, 6 peratus Bumiputera Islam dan 6 peratus Bumiputera bukan Islam.
Rata-rata responden percaya pelaburan China memberi manfaat besar kepada negara namun adakah benar orang Melayu mula memandang positif terhadap kehadiran warga China di sini hasil hubungan Malaysia-China yang begitu erat?
Hubungan Diplomatik Malaysia Dengan China Memang Baik Tetapi Rakyat Malaysia Masih Ragu-Ragu
Memang tidak dinafikan hubungan diplomatik Malaysia dengan China memang begitu erat saban tahun dan telah mendatangkan limpahan ekonomi kepada Malaysia.
Hal ini dapat dilihat melalui Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan bandar pintar untuk pusat data di Johor yang diyakini oleh kerajaan bahawa ia akan memberikan petanda positif untuk ekonomi negara.
Namun begitu, Gelombang BERJASA melihat sebahagian besar rakyat Malaysia melahirkan perasaan kurang senang dengan kehadiran rakyat China yang begitu ramai di Malaysia.
Mereka tiada masalah dengan pelaburan yang dibawa oleh China ke Malaysia malahan mereka mengalu-alukan lagi tetapi ia menjadi masalah apabila rakyat China mula mengambil kesempatan dengan ingin tinggal di sini dalam tempoh yang lama.
Rakyat Malaysia malahan memberikan reaksi yang tidak menyenangkan dengan aksi rakyat China yang mengibarkan bendera China di Teluk Intan.
Bukan itu sahaja malahan laporan berita yang melaporkan warga China yang ingin membeli rumah di Malaysia meningkat sebanyak 42% pada suku pertama tahun 2024 telah mendapat kritikan yang begitu ramai di laman media sosial.
Hal ini tidak ditambah lagi dengan program Malaysia My Second Home (MM2H) yang memberikan peluang kepada rakyat China untuk menetap di Malaysia dengan syarat melakukan pembelian hartanah untuk mendapatkan visa.
Di kala rakyat Malaysia kini sukar untuk membeli rumah pertama mereka, warga China dengan mudah membeli rumah di Malaysia untuk tinggal dalam tempoh yang lama.
Maka persoalannya adakah benar rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu memang benar positif dengan rakyat China?
Gelombang BERJASA melihat sentimen penolakan jelas dilakukan oleh orang Melayu untuk tidak menerima rakyat China datang ke Malaysia dalam jumlah yang ramai apatah lagi melibatkan Malaysia yang dipilih oleh China untuk menjadi tuan rumah bagi sambutan Tahun Baharu China pada 2025 nanti.