Tragedi yang meragut lima nyawa di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) akibat tayar lori pecah bukan lagi insiden terpencil. Ia adalah simptom penyakit kronik dalam sistem pengangkutan negara, yang telah lama diketahui umum tetapi gagal ditangani secara berani dan sistematik oleh kerajaan — khususnya oleh Menteri Pengangkutan.
Kes tayar lori pecah telah berulang tahun demi tahun, seakan menjadi acara musibah wajib menjelang musim perayaan. Namun tiada reformasi konkrit, hanya kenyataan basi dan siasatan tanpa hasil. Realitinya, nyawa rakyat terus menjadi korban di lebuh raya, dan kerajaan masih belum mampu menunjukkan keazaman politik untuk menyelesaikan masalah ini dari akar umbi.
Lebih mengejutkan, punca kepada sebahagian masalah ini datang daripada kewujudan kartel penyewaan tayar lori yang wujud hanya untuk lulus pemeriksaan PUSPAKOM. Lori-lori ini menyewa tayar yang masih elok hanya untuk sesi pemeriksaan, tetapi menukar kembali kepada tayar usang dan haus selepas itu untuk menjimatkan kos. Amalan ini adalah satu penghinaan terhadap kedaulatan sistem keselamatan jalan raya, dan jelas menunjukkan kegagalan penguatkuasaan oleh agensi berkaitan.
Kementerian Pengangkutan mesti bertanggungjawab sepenuhnya. Jika Menteri hari ini tidak berani melawan kartel, tidak berani menggubal polisi yang lebih ketat, dan tidak berani meletakkan keselamatan rakyat sebagai keutamaan, maka beliau tiada tempat dalam kerajaan yang kononnya mengangkat slogan “Madani”. Nyawa rakyat bukan bahan eksperimen atau statistik politik.
Ini bukan sekadar isu teknikal. Ini adalah soal kedaulatan nyawa rakyat Malaysia. Kegagalan untuk bertindak adalah satu pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan oleh rakyat.