Malaysia sememangnya dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai tempat pelancongan yang menarik maka tidak hairan jika kedatangan pelancong luar negara ke Malaysia mencatatkan kehadiran yang tertinggi.
Hal ini dapat dibuktikan melalui laporan seasia.stats pada Disember yang lepas yang melaporkan bahawa Malaysia merekodkan 26 juta ketibaan pelancong antarabangsa dari Januari hingga November 2023.
Catatan ketibaan pelancong ini ke Malaysia untuk tahun 2024 iaitu tahun ini dijangka terus meningkat di kala program pelancongan rancak dianjurkan oleh kerajaan untuk memastikan Malaysia menjadi destinasi pilihan mereka.
Namun demikian, kerancakan dan keseronokan kita untuk menarik kemasukan pelancong asing ke Malaysia mungkin boleh mengundang padah jika tiada kawalan yang ketat untuk mengawal kemasukan mereka ini.
Rata-rata pelancong asing nyata memberikan jawapan yang positif terhadap Malaysia di laman sosial dengan mengatakan Malaysia merupakan destinasi yang sesuai untuk datang melancong.
Hal ini bersandarkan kepada faktor kefasihan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat Malaysia, ekonomi yang baik, suasana yang aman dan budaya yang menarik namun sebenarnya ada satu sisi yang tidak baik daripada pujian ini.
Sebahagian daripada mereka sebenarnya ada yang merancang untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi tempat tinggal mereka untuk bersara ataupun kata lainnya untuk “settle down” terus di sini.
Trend Pelancong Luar Yang Ingin Menetap Di Malaysia Bakal Merugikan Rakyat
Keinginan mereka untuk menetap di Malaysia terutamanya di bandar-bandar besar mungkin dilihat sebagai petanda yang positif untuk ekonomi negara.
Namun di sisi lain pula ia sebenarnya akan merugikan rakyat Malaysia kerana ia mungkin akan meningkatkan harga hartanah di Malaysia.
Kedatangan mereka ke sini untuk menetap akan membuatkan pemaju hartanah mungkin menaikkan harga rumah kerana tahu golongan ini mempunyai wang yang cukup untuk membeli rumah dengan harga yang mahal.
Pemaju pastinya akan berlumba-lumba membangunkan rumah yang berharga kayangan dengan harapan pelancong asing ini membeli rumah yang dibangunkan oleh mereka.
Rakyat Malaysia pula tidak akan mampu memilikinya dan memilih untuk menyewa rumah sahaja hingga akhir hayat mereka.
Adakah Malaysia ingin menjadi seperti negara jiran iaitu Indonesia yang mana masyarakat Bali kini sedang meratapi nasib mereka yang sukar untuk mendapatkan tanah akibat dimonopoli oleh pelancong Eropah terutamanya daripada Rusia.
Sebelum ini Malaysia sudah mempunyai program Malaysia My Second Home (MM2H) untuk menarik kedatangan pelancong asing ke Malaysia dan kini wujud pula trend pelancong asing yang ingin datang ke sini untuk menetap tanpa menyertai program tersebut.
Jika jumlah peserta MM2H dan pelancong asing yang datang ke Malaysia untuk menetap dicampurkan jumlahnya, hal ini pasti mencatatkan jumlah yang begitu ramai.
Selain daripada faktor tarikan pelancongan di Malaysia, mereka rata-ratanya tertarik dengan insentif daripada kerajaan yang mengecualikan cukai pendapatan luar negara atau “foreign source income” (FSI) hingga 31 Dsiember 2036 seperti yang dibentangkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025.
Bukan itu sahaja malahan mereka tidak akan dikenakan cukai harta pusaka dan cukai korporat yang rendah.
Kerajaan mungkin boleh memeriksa kembali insentif cukai ini kerana sepatutnya cukai yang tinggi perlu dikenakan kepada warga asing yang berniat untuk tinggal dalam tempoh yang lama di Malaysia.
Kerajaan Madani sekarang suka mengenakan cukai yang begitu banyak kepada rakyat Malaysia maka apa salahnya cukai yang tinggi turut dikenakan kepada kumpulan mereka ini yang selayaknya digelar sebagai “mahakaya”.