Laporan Financial Times melaporkan pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh di Malaysia yang menyebabkan ramai warga China datang ke Malaysia terutamanya golongan kaya untuk menikmati limpahan ekonomi itu.
Susulan daripada kekayaan ekonomi Malaysia ini juga, The Straits Times melaporkan ramai warga China di Malaysia ingin membeli rumah di Malaysia terutamanya di kawasan Bukit Bintang, Bangsar, dan Kenny Hills.
Peningkatan Sebanyak 42% Oleh Warga China Yang Membeli Rumah Di Malaysia
Pembeli daripada China yang ingin membeli rumah di Malaysia meningkat sebanyak 42% pada suku pertama 2024 berbanding suku sebelumnya seperti yang dilaporkan oleh beberapa firma tempatan.
Juwai IQI yang merupakan firma hartanah melaporkan bahawa peningkatan ini menyumbang kepada pertambahan pembelian rumah oleh pembeli China yang kini merupakan segmen terbesar pembeli asing di Malaysia.
Kelembapan ekonomi China tidak menghalang mereka untuk melabur dalam hartanah Malaysia terutamanya selepas pelancaran semula visa Malaysia My Second Home (MM2H) pada bulan Jun yang mewajibkan pembelian hartanah sebagai syarat untuk mendapatkan visa.
Dalam laporan Financial Times itu juga, rakyat China juga semakin ramai memilih Malaysia untuk melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi Malaysia yang mana akhirnya keluarga pelajar ini cenderung untuk membeli rumah di Malaysia.
Adakah Warga China Yang Datang Ke Malaysia Menjadi Punca Kenaikan Harga Rumah?
Skim visa Malaysia My Second Home (MM2H) yang mewajibkan pembelian hartanah pada harga RM1 juta ke atas sebagai syarat untuk mendapatkan visa sering dikatakan sebagai salah satu faktor kenaikan harga rumah namun masih tiada bukti kukuh ke atas dakwaan itu.
Namun demikian, hal ini tidak menolak kemungkinan pemaju hartanah di Malaysia lebih mengutamakan untuk membangunkan rumah mewah dengan harapan akan adanya pembeli kaya terutamanya daripada warga asing membelinya.
Pembinaan rumah mewah untuk mensasarkan “market segment” golongan kaya daripada luar ini dilihat juga tidak berjaya kerana rumah yang dibina oleh mereka juga ada yang tidak terjual.
Berdasarkan Laporan Pasaran Harta Tanah bagi separuh penggal ketiga 2019 yang dikeluarkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) mendedahkan bahawa terdapat 31,092 unit kediaman yang telah siap dibina tetapi tidak terjual bagi tempoh masa itu dengan jumlah nilai keseluruhan adalah RM18.96 bilion.
Oleh hal yang demikian, hal ini dapat dilihat hartanah dan rumah di Malaysia tidak mustahil semakin lama akan dikuasai oleh warga asing manakala warga tempatan hanya mampu melihat sahaja dan tidak mampu memiliki rumah di tanah air sendiri.