Penularan video yang memaparkan Jalur Gemilang diturunkan sebelum diganti dengan bendera Sabah dan Sarawak nyata mengundang perdebatan orang ramai sehingga menimbulkan tanda tanya adakah wujud gerakan pemisah di Malaysia.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata hasil siasatan awal mendapati insiden itu berlaku di Melbourne, Australia pada 16 September tahun ini.
Tarikh 16 September itu dilihat sengaja dipilih oleh pihak pelaku insiden kerana tarikh tersebut merupakan tarikh pembentukan Malaysia hasil persepakatan antara Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak.
Insiden ini jelas merupakan satu tindakan provokasi yang dibuat oleh pelaku kononnya ingin menghasut agar Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia seperti yang Singapura lakukan sebelum ini.
Apa Itu Gerakan Pemisah?
Insiden ini dilihat sama seakan dengan modus operandi gerakan pemisah atau juga dikenali sebagai gerakan separatis yang mana gerakan politik ini berusaha untuk memisahkan diri daripada sesebuah negara dan entiti politik untuk membentuk negara yang merdeka atau memiliki autonomi yang lebih luas.
Gerakan pemisah biasanya wujud apabila sesebuah kumpulan etnik, budaya, agama atau politik merasakan bahawa mereka tidak diwakili atau tertindas oleh kerajaan pusat dan percaya bahawa pembentukan negara sendiri atau pengasingan kuasa akan lebih baik untuk mereka.
Semua justifikasi yang diterangkan di atas ini tidak relevan ingin digunakan oleh pihak-pihak yang mahu “mewujudkan” gerakan pemisah di Malaysia kerana tiada satu kaum pun dipinggirkan oleh kerajaan.
Dalam konteks Sabah dan Sarawak, memang diakui wujudnya pengabaian oleh kerajaan pusat terhadap Perjanjian Malaysia 1963 ataupun Malaysia Agreement 1963 (MA63) namun kini kerajaan di bawah pemerintahan Datuk Seri Anwar Ibrahim mula giat menyemak kembali peruntukan yang ditetapkan di dalam MA63 untuk Sabah dan Sarawak.
Buktinya, Sarawak diberikan hak untuk menubuhkan syarikat cari gali minyaknya sendiri iaitu Petros dan PETRONAS diminta untuk memberikan kawasan cari gali gas yang dimiliki oleh PETRONAS di Sarawak kepada Petros.
Ini susulan lima undang-undang yang meletakkan industri minyak dan gas di bawah bidang kuasa Sarawak ialah Kanun Tanah, Ordinan Perlombongan Minyak 1958, Ordinan Pengagihan Gas 2016, Perlembagaan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
MA63 Sebagai Penentu Kesejahteraan Malaysia
Hal ini diakui MA63 merupakan kunci kerukunan kepada pembentukan Malaysia daripada dahulu hingga kini.
Kerajaan dilihat begitu komited dalam menghormati hak Sabah dan Sarawak melalui MA63 dengan kini telah pun membuka perbincangan baharu melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) beberapa hari yang lalu.
Sepatutnya tidak wujud dakwaan yang mengatakan Sabah dan Sarawak dipinggirkan oleh kerajaan persekutuan Malaysia hingga menuntut pembebasan untuk kedua buah negeri ini berpisah daripada Malaysia.
MA63 wajar dihormati oleh semua pihak termasuk rakyat Malaysia sendiri dan pihak yang cuba bermain provokosi dengan menghasut agar Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia wajar ditangkap dan didakwa oleh pihak berkuasa.