Kepentingan & Cabaran Sekuriti Makanan Di Malaysia

sekuriti makanan di malaysia

Topik mengenai sekuriti makanan di Malaysia sudah banyak dibincangkan oleh media massa dan kerajaan terutamanya ketika berlaku penularan wabak COVID-19 sekitar tahun 2020.

Laporan yang didedahkan oleh media mengenai sekuriti makanan di Malaysia memperlihatkan Malaysia berada dalam keadaan genting dan kritikal malahan langsung tidak bersedia di kala wabak itu melanda.

Menurut Laporan Supply and Utilization Accounts Selected Agricultural Commodities yang dikeluarkan pada tahun 2019 menunjukkan kadar sara diri Malaysia dalam tanaman makanan (food crop) pada tahun 2018 dicatatkan hanya mencapai 61%.

Pada tahun 2022 ada menunjukkan peningkatan di dalam Global Food Security Index (GFSI) dengan mencatatkan kedudukan 41 daripada 48 pada 2020.

Walaubagaimanapun, Malaysia masih menghadapi kesukaran dan masalah dalam sekuriti makanan dan memerlukan usaha yang bersepadu untuk sekuriti makanan negara.

Apa Itu Sekuriti Makanan?

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian pada tahun 1974, sekuriti makanan merujuk kepada keadaan di mana semua rakyat mempunyai akses fizikal, sosial dan ekonomi yang mencukupi kepada makanan yang berkhasiat serta mencukupi.

Hal ini juga merujuk kepada makanan yang memenuhi keperluan diet dan pilihan makanan mereka untuk kehidupan yang sihat dan aktif.

Ahli ekonomi Barjoyai Bardai pula menyatakan bahawa sekuriti makanan boleh dilihat dari segi ketersediaan, kebolehcapaian, penggunaan dan kestabilan.

Ketersediaan fizikal ini bermakna makanan mesti tersedia dengan mudah manakala kebolehcapaian fizikal bermakna bukan sahaja makanan mesti ada kerana ia mesti juga boleh diakses.

Sekuriti makanan boleh dipecahkan kepada tiga komponen utama iaitu sekuriti makanan isi rumah yang mana semua ahli keluarga mempunyai akses yang mencukupi kepada makanan yang selamat dan berkhasiat.

Keluarga tersebut mesti mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk membeli makanan yang diperlukan serta pengetahuan untuk menyediakan makanan yang sesuai.

Sekuriti makanan nasional pula merujuk kepada sebuah negara perlu memastikan bahawa ia mampu memenuhi keperluan makanan rakyatnya yang melibatkan pengeluaran makanan dalam negara, perdagangan antarabangsa, stok simpanan makanan dan dasar makanan yang menyokong kestabilan makanan untuk seluruh negara.

Selain itu, sekuriti makanan global merangkumi jaringan perdagangan antrabangsa, kerjasama antarabangsa dalam bantuan makanan dan usaha global untuk menangani cabaran yang boleh mengancam pengeluaran dan ketersediaan makanan seperti perubahan iklim, bencana alam dan konflik antarabangsa.

Kepentingan Sekuriti Makanan Kepada Malaysia

Sekuriti makanan amat penting kepada Malaysia bagi memastikan jaminan kesejahteraan dan kesihatan kepada rakyat.

Rakyat Malaysia dapat mempunyai akses yang mencukupi kepada makanan yang sihat dan berkhasiat.

Makanan yang mencukupi dan berkhasiat adalah asas kepada kesihatan yang baik, mencegah penyakit kekurangan zat makanan, seperti malnutrisi dan anemia, serta membantu dalam mencegah penyakit kronik seperti obesiti, diabetes, dan penyakit jantung.

Sekuriti makanan yang kuat juga membantu menstabilkan harga makanan di pasaran domestik, mengurangkan inflasi makanan dan mengurangkan beban kos sara hidup bagi rakyat.

Apabila bekalan makanan adalah stabil dan mencukupi, turun naik harga makanan boleh dikawal dengan lebih baik, mengurangkan tekanan kepada rakyat.

Bukan itu sahaja malahan Malaysia boleh menjadi pemain utama dalam eksport makanan di peringkat serantau dan global jika negara berjaya meningkatkan sekuriti makanan melalui pengeluaran tempatan yang lebih baik.

Eksport produk makanan seperti minyak kelapa sawit, getah, koko, dan hasil laut menyumbang kepada pendapatan negara, sekaligus menjadikan Malaysia negara yang berdaya saing dalam industri makanan global.

Malaysia Masih Berdepan Dengan Cabaran Dalam Isu Ini

Malaysia masih berdepan dengan cabaran yang besar dalam memastikan sekuriti makanan terus terjaga dan selamat.

Laporan Berita Harian melaporkan bahawa Malaysia mengimport produk makanan bernilai RM75.6 bilion pada 2022 berbanding eskport bernilai RM44.6 bilion menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Hal menjadikan perdagangan produk makanan Malaysia berjumlah RM120.2 bilion tahun lalu, peningkatan sebanyak 31.8 peratus atau RM29 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Sekuriti makanan di Malaysia juga berdepan dengan cabaran dalam soal krisis buruh sektor pertanian apabila sektor ini masih bergantung kepada tenaga kerja asing untuk menjalankan operasi ladang dan pengeluaran makanan.

Walau bagaimanapun, pergantungan kepada pekerja asing ini berdepan dengan cabaran termasuk kos buruh yang meningkat dan sekatan terhadap pengambilan pekerja asing.

Pergolakan geopolitik yang semakin rancak berlaku sejak kebelakangan ini boleh menjejaskan Malaysia untuk mendapat bekalan makanan yang mencukupi.

Sebagai contoh, konflik di Timur Tengah atau Eropah boleh mempengaruhi harga dan bekalan makanan di peringkat global.

Kerajaan sepatutnya menggencarkan lagi usaha untuk memantapkan sekuriti makanannya kerana membawa banyak kepentingan bukan sahaja kepada negara malahan rakyat itu sendiri.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
gerakan pemisah

Wujudkah Gerakan Pemisah Atau Separatisme Di Malaysia?

Next Post

Nilai Ringgit Terus Mengukuh Tetapi Tetap Harga Barang Naik

Related Posts