Hari Malaysia merupakan persitiwa penting dalam sejarah negara yang menandakan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.
Hari Malaysia ini disambut bagi memperingati gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara (sekarang Sabah), Sarawak dan Singapura untuk membentuk sebuah negara baharu bernama Malaysia.
Sejarah peristiwa ini menarik untuk diteliti dengan lebih dalam memandangkan ia melibatkan ramai pihak dan wilayah sebelum terbentuknya sebuah negara Malaysia yang kita kenali hari ini.
Malahan pembentukan Malaysia ini turut mendapat tentangan yang hebat daripada daripada negara serantau seperti Filipina dan Indonesia atas alasan pembentukan ini sebagai satu bentuk penjajahan baharu.
Sejarah Hari Malaysia 1963
Selepas kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, pemimpin negara termasuk Tunku Abdul Rahman yang merupakan Perdana Menteri Tanah Melayu waktu itu telah mengemukakan idea untuk membentuk sebuah persekutuan yang lebih besar.
Tujuan utamanya adalah untuk menggabungkan wilayah-wilayah di bawah pentadbiran British seperti Sabah, Sarawak dan Singapura bersama-sama dengan Persekutuan Tanah Melayu.
Idea ini dilihat sebagai cara untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan politik serta memperkukuh kedudukan strategik wilayah-wilayah ini dalam menghadapi ancaman komunis di Asia Tenggara.
Fakta ini diperkukuhkan dengan senario politik Singapura waktu itu yang memperlihatkan pengaruh komunis mula menyusup masuk ke dalam parti pimpinan Lee Kuan Yew iaitu Parti Tindakan Rakyat (PAP) maka Lee Kuan Yew amat memerlukan Malaysia untuk mengekang komunis di Singapura.
Pada 27 Mei 1961, Tunku Abdul Rahman mencadangkan pembentukan persekutuan ini dalam satu uicapan di Singapura.
Selepas beberapa rundingan dan perjanjian, termasuk Suruhanjaya Cobbold yang menjalankan kajian tentang pandangan penduduk Sabah dan Sarawak dan keputusan undian menunjukkan majoriti penduduk menyokong pembentukan Malaysia.
Namun demikian, proses pembentukan Malaysia tidak berlaku tanpa cabaran kerana Indonesia di bawah pemerintahan Presiden Sukarno dan Filipina di bawah Presiden Diosdado Macapagal telah menentang penubuhan Malaysia.
Presiden Sukarno melihta pembentukan Malaysia sebagai satu bentuk “neokolonisme” oleh pihak British yang beliau anggap ia sebagai strategi untuk mengekalkan pengaruh Barat di Asia Tenggara.
Hal ini akhirnya telah mencetuskan apa yang dikenali sebagai Konfrontasi Malaysia-Indonesia atau “Ganyang Malaysia”.
Filipina pula melihat ini sebagai satu bentuk penjajahan terhadap Sabah yang mereka dakwa sebagai hak milik Filipina dengan menggunakan hujah ia bekas jajahan Kesultanan Sulu.
Selain itu juga, terdapat kebimbangan daripada kalangan pemimpin tempatan di Sabah dan Sarawak mengenai perlindungan hak-hak autonomi mereka dalam persekutuan baharu.
Dalam memastikan kesepakatan antara satu sama lain, beberapa perjanjian penting dimeterai termasuk Perjanjian Malaysia 1963 yang memastikan hak-hak khas bagi Sabah dan Sarawak seperti kawalan ke atas imigresen dan agama serta pengagihan hasil sumber semula jadi yang adil.
Perjanjian Malaysia 1963 Membentuk Malaysia
Setelah rundingan yang panjang, Malaysia secara rasmi ditubuhkan pada 16 September 1963 melalui pemeteraian Perjanjian Malaysia 1963 ataupun dipanggil sebagai Malaysia Agreement 1963 (MA63).
Antara intipati dan isi kandungan ialah Sabah dan Sarawak diberikan hak-hak khas yang berbeza daripada negeri.
Hak-hak ini yang juga dikenali sebagai Perkara 20 (Sabah) dan Perkara 18 (Sarawak) merangkumi beberapa bidang utama seperti imigresen yang mana Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa autonomi dalam soal imigresen.
Hal ini bermaksud, orang dari Semenanjung Malaysia perlu mendapatkan permit atau pas khas untuk memasuki kedua-dua negeri ini.
Dalam soal agama pula, tidak seperti Tanah Melayu yang menetapkan Islam sebagai agama rasmi, Sabah dan Sarawak tidak diwajibkan untuk menjadikan Islam sebagai agama rasmi mereka, dan kebebasan beragama diiktiraf sepenuhnya.
Walaupun bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan Malaysia, Sabah dan Sarawak diberi kebebasan untuk terus menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi mereka untuk tempoh tertentu.
Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa yang lebih luas dalam mengurus hal ehwal negeri, termasuk perkara berkaitan tanah, sumber asli, dan pelaksanaan undang-undang dan mereka berhak ke atas sumber asli mereka, terutamanya hasil petroleum dan gas, dengan sebahagian besar hasil daripada sumber ini disalurkan kepada kerajaan negeri.
MA63 turut mengiktiraf Perkara 153 dalam Perlembagaan Malaysia yang melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak (Bumiputera).
Hal ini termasuk hak-hak dalam bidang pendidikan, ekonomi, dan perkhidmatan awam yang diperluas untuk merangkumi penduduk Bumiputera di Sabah dan Sarawak.
Pemeteraian MA63 yang akhirnya telah membentuk Malaysia ini telah diraikan dengan begitu meriah oleh warga Malaysia melalui Hari Malaysia.
Hari Hari Malaysia disambut dengan pelbagai acara seperti perarakan, persembahan kebudayaan, dan aktiviti kemasyarakatan di seluruh negara dan memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk merenung kembali sejarah penubuhan negara serta menanamkan semangat perpaduan dan kebanggaan sebagai warganegara.
Penubuhan Malaysia adalah lebih daripada sekadar penggabungan wilayah kerana ia adalah simbol perjalanan negara menuju kemajuan dan kesejahteraan bersama, serta menandakan semangat perpaduan yang menjadi teras kejayaan Malaysia hingga ke hari ini.