Oleh NAAK
KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim, menggesa pemimpin dan Ahli Parlimen Melayu-Islam yang mempunyai kuasa di Dewan Rakyat supaya membuktikan keseriusan mereka membawa agenda Melayu-Islam.
Menurutnya, kekuatan sokongan kerajaan di Dewan Rakyat yang mencecah 148 Ahli Parlimen sepatutnya memberikan ruang yang cukup untuk membuktikan bahawa isu berkaitan kepentingan Melayu dan Islam bukan sekadar bahan retorik politik.
Beliau berkata, masyarakat Melayu kini tidak lagi hanya mahu mendengar slogan seperti ‘Demi Melayu’, sebaliknya mahu melihat tindakan yang jelas dan mempunyai kesan kepada kedudukan mereka.
“Orang Melayu bukan lagi hanya bergantung dengan slogan ‘Demi Melayu’. Orang Melayu mahu melihat bukti.
“Dengan kekuatan 148 kerusi, tiada lagi alasan. Buktikan dengan tiga perkara ini,” katanya menerusi satu kenyataan.
Zamani berkata, tiga perkara yang perlu diberikan perhatian ialah memperkukuh kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa perlembagaan, memastikan jawatan Perdana Menteri dipegang orang Melayu serta mewujudkan agensi khusus bagi mengurus dan membangunkan Tanah Rizab Melayu.
Menurutnya, tuntutan tersebut bukan sekadar soal identiti politik, sebaliknya berkait dengan pelaksanaan tanggungjawab pemimpin yang mempunyai kuasa membuat keputusan di peringkat Persekutuan.
Beliau berkata, agenda Melayu-Islam perlu diterjemahkan melalui dasar, perundangan dan institusi yang mampu melindungi kepentingan jangka panjang orang Melayu.
“Bukan sekadar retorik yang tidak membawa apa-apa makna selain kelangsungan politik masing-masing,” katanya.
Zamani turut menegaskan bahawa pemimpin Melayu-Islam tidak seharusnya membiarkan isu berkaitan kedudukan Melayu dan Islam terus menjadi bahan perebutan politik setiap kali pilihan raya.
Kenyataan itu dibuat ketika isu keresahan masyarakat Melayu-Islam kembali menjadi perhatian selepas Ketua Pemuda PKR, Kamil Munim, berkata kebimbangan sebenar berkaitan hak Melayu dan Islam perlu ditangani dengan keyakinan, bukannya diserahkan kepada pesaing politik. (Free Malaysia Today)
Dalam konteks itu, Zamani berpandangan bahawa pemimpin yang kini berada dalam kerajaan perlu mengambil peluang untuk membuktikan pendirian mereka melalui tindakan ketika mempunyai kuasa dan kedudukan di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, kekuatan politik tidak seharusnya hanya digunakan untuk mempertahankan kerajaan, tetapi turut dimanfaatkan bagi memperjuangkan dasar yang diyakini memberi manfaat kepada masyarakat Melayu dan Islam yang merupakan bangsa tonggak di negara ini.
“Mohon buat tiga perkara ini dulu,” katanya.
Zamani berkata, BERJASA melihat isu Melayu-Islam perlu dibawa secara matang, berprinsip dan berteraskan kepentingan negara, bukan sekadar dijadikan modal untuk meraih sokongan ketika pilihan raya.
Menurutnya, ukuran sebenar kesungguhan pemimpin ialah keberanian mereka menterjemahkan pendirian kepada dasar dan tindakan apabila peluang serta kuasa sudah berada di tangan.