Calon Dun Nilai: Wakil rakyat harus perjuangkan pembinaan sekolah kebangsaan

calon dun nilai
calon dun nilai

Oleh NSM

NILAI, 30 Julai – Calon BERJASA bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N10 Nilai, Ustaz Zamani Ibrahim, mempersoalkan keutamaan perancangan pendidikan di kawasan Nilai apabila pembinaan sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) baharu diteruskan sedangkan isu kekurangan kapasiti Sekolah Kebangsaan (SK) masih belum diselesaikan.

Ramai ibu bapa di Nilai sudah lama menantikan pembinaan Sekolah Kebangsaan baharu kerana pertumbuhan penduduk yang pesat. Ini sepatutnya menjadi keutamaan dalam perancangan pembangunan pendidikan di kawasan ini,” katanya semasa sesi ziarah pagi tadi.

Menurut beliau, sebagai wakil rakyat, keutamaan sepatutnya diberikan kepada projek yang memberi manfaat kepada jumlah penduduk yang lebih besar, khususnya keluarga di Nilai yang berdepan masalah kesesakan sekolah dan kekurangan tempat di Sekolah Kebangsaan.

Beliau mengulas projek pembinaan SJKT Ladang Labu Bahagian 4 yang dipindahkan ke kawasan pembangunan baharu di MVV City. Menurut laporan media, sekolah tersebut kini mempunyai sekitar 20 hingga 21 orang murid, manakala pihak kerajaan menjelaskan pemindahan dibuat bagi menggantikan bangunan lama yang uzur serta memenuhi keperluan masa depan.

Bagaimanapun, Ustaz Zamani berpendapat kerajaan sepatutnya menilai pilihan yang lebih berkesan dari sudut penggunaan sumber awam.

Jika bilangan murid yang terlibat amat kecil, kerajaan wajar mempertimbangkan sama ada murid-murid tersebut boleh ditempatkan di sekolah kebangsaan berhampiran, sementara peruntukan untuk pembinaan sekolah baharu disalurkan kepada projek Sekolah Kebangsaan yang amat diperlukan oleh penduduk Nilai,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa wakil rakyat kawasan itu tidak lebih agresif memperjuangkan pembinaan Sekolah Kebangsaan baharu memandangkan kawasan Nilai berkembang pesat dengan pembinaan ribuan unit rumah dan pertambahan penduduk setiap tahun.

Perancangan pendidikan perlu dibuat berdasarkan keperluan sebenar rakyat. Apabila kawasan berkembang pesat, kemudahan pendidikan juga mesti berkembang mengikut keperluan penduduk tanpa mengira kaum,” katanya yang merupakan bekas guru.

Tambah beliau, BERJASA menyokong pendidikan berkualiti untuk semua, namun setiap keputusan melibatkan dana awam perlu dibuat secara strategik, telus dan berasaskan analisis keperluan supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh seramai mungkin rakyat.

Persoalan yang perlu dijawab ialah apakah asas kajian keperluan yang digunakan sehingga pembinaan SJKT baharu diberikan keutamaan, sedangkan isu kekurangan kapasiti Sekolah Kebangsaan di Nilai masih menjadi rungutan ramai ibu bapa,” katanya.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
dun nilai

Calon DUN Nilai: Langkah Pertama BERJASA di Peti Undi Demi Penyatuan Ummah

Related Posts