Bangi – Lantikan politik ke syarikat berkaitan kerajaan (GLC) masih lagi diteruskan sedangkan negara kita sebenarnya masih lagi mempunyai tokoh-tokoh korporat yang berkelayakan untuk menerajuinya.
Ketua Pemuda BERJASA, Zamani Ibrahim menegaskan kerajaan sepatutnya melantik ahli profesional yang berintegriti dan berpengalaman agar dana daripada GLC ini mampu diurus dan ditadbir dengan baik.
“Kita perlui sedar bahawa GLC ini merupakan khazanah negara yang diperuntukkan khusus demi membantu dan memelihara hak-hak rakyat”.
“Golongan profesional dan tokoh korporat sepatutnya diberikan peluang untuk menerajui GLC atas faktor kepakaran dan pengalaman mereka dalam bidang korporat”, jelas beliau.
Beliau menganggap lantikan ahli politik di dalam GLC seakan-akan menghantar lanun masuk ke dalam lubuk emas kerana mereka hanya akan memikirkan bagaimana untuk menggunakan kesempatan dan peluang demi survival politik mereka.
Hal ini dapat dilihat melalui beberapa kes pecah amanah yang pernah dilakukan oleh beberapa ahli politik di dalam GLC utama negara. Ini tidak mustahil akan berlaku lagi jika amalan melantik ahli politik ke dalam GLC masih diteruskan sehingga kini.
“Kita selalu dengar sesebuah GLC itu tidak mampu menyalurkan peruntukan wang untuk beberapa program tertentu. Atas sebab apa? Semestinya ia berlaku akibat penyelewangan dana yang banyak oleh tangan-tangan yang rakus ini”.
“Ataupun jika tetap ingin melantik ahli politik ke dalam GLC atas dasar hubungan yang rapat dengan kerajaan, maka eloklah lantik mereka yang mempunyai merit yang kukuh iaitu bijak mentadbir, berpengalaman dan bebas rasuah”, tegas beliau.
Baru-baru ini, bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkuatkuasa bulan Jumaat lalu.
Perkara itu telah disahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi di dalam laman sosial Facebooknya.
Sebelum ini juga, kerajaan bertindak melantik semula Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sebagai Pengerusi FELCRA yang berkuatkuasa 1 Mac lalu.
Selain daripada Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, beberapa ahli politik lain yang dilantik ke dalam GLC antaranya Noor Amin Ahmad yang dilantik ke dalam Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Cik sebagai Pengerusi MyCreative dan Ahmad Sabki Yusof sebagai Pengerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).