Satu video di Tik Tok memaparkan tindakan biadab seorang lelaki warga China yang bertindak membasuh motorsikal miliknya menggunakan bendera Malaysia.
Melalui akaun Tik Tok milik mothershipsg yang berasal daripada Singapura itu, kejadian tersebut didapati berlaku di China.
Lebih tepatnya, kejadian tersebut berlaku di daerah Fujian, China berdasarkan warna nombor plat motorsikal itu yang berwarna hijau.
Pemilik asal video tersebut merupakan warganegara Malaysia yang berasal daripada Sabah bertindak untuk merakam kejadian tersebut bagi melaporkan tindakan biadab itu kepada pihak yang bertanggungjawab.
Rata-rata netizen yang melihat video tersebut menyatakan kekecaman terhadap tindakan lelaki itu dan memberi amaran kepadanya untuk tidak datang ke Malaysia.
Ada juga sebahagian netizen yang memberikan komen yang sinis dan menganggap kejadian itu sebagai satu tindakan yang lucu namun sedihnya netizen yang memberikan komen sedemikian adalah warga Malaysia sendiri.
Jalur Gemilang Sebagai Identiti Nasional Malaysia Sudah Tidak Lagi Dihormati
Kejadian yang menyedihkan sepatutnya menyedarkan rakyat Malaysia semua bahawa simbol identiti nasional sudah lagi tidak dihormati oleh orang luar.
Mereka sewenang-wenangnya menggunakan bendera Jalur Gemilang dengan cara yang tidak terhormat sama ada secara sengaja ataupun tidak sengaja.
Agak mustahil untuk lelaki ini tidak mengenali bendera Malaysia kerana Malaysia merupakan destinasi pelaburan terpenting untuk warga China sejak kebelakangan ini.
Buktinya, sudah ramai rakyat mereka yang membeli rumah di Malaysia terutamanya di kawasan Bukit Bintang, Kenny Hills dan Bangsar menurut laporan Financial Times.
Pemilikan rumah di Malaysia oleh warga China semakin meningkat sebanyak 42% pada suku pertama 2024.
Maka sebenarnya tiada alasan untuk lelaki ini tidak mengenali bendera Malaysia yang merupakan negara utama untuk destinasi pelaburan mereka.
Tindakan ini sebagai satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan dilihat sengaja ingin mencetuskan provokasi.
Warga China Ini Sepatutnya Belajar Hormat Negara Lain
Tidak kira dengan mana-mana negara sekalipun, warga China ini wajar untuk belajar menghormati negara lain.
Sudah lah Malaysia dan China sekarang ini masih belum reda dengan isu perebutan sempadan di Laut China Selatan, tindakan warga China ini hanya akan menambahkan minyak di dalam api yang membara sahaja.
Tindakan tidak bertanggungjawab ini akan mencetuskan masalah yang lebih besar lagi kerana tidak mustahil rakyat Malaysia akan menganggap warga China lain yang tinggal di Malaysia juga bersikap sedemikian iaitu memandang rendah negara orang lain.