Shah Alam – Hasrat UMNO mempersembah permohonan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memberi pertimbangan pengampunan kepada bekas Presiden parti itu Datuk Seri Najib Tun Razak jelas mendapat reaksi yang pelbagai daripada pemerhati politik.
Naib Presiden BERJASA, Ir Lukman Al Hakim jelas dalam kenyataannya bahawa beliau tidak bersetuju dengan pernancangan parti UMNO tersebut bagi pihak Datuk Seri Najib Tun Razak kerana ia boleh dipertikaikan secara teknikal jika mengikut prosedur yang sedia ada.
Hal ini demikian kerana Datuk Seri Najib dipenjara pada 23 Ogos 2022 dan pernah memohon pengampunan pada 2 September 2022. Ini bermakna, mengikut Peraturan-Peraturan Penjara 2000, beliau hanya boleh meminta semula pengampunan pada 23 Ogos 2025.
“Kalau pun isu teknikal ini selesai, hakikatnya motif UMNO untuk meminta pengampunan bagi pemimpin tertinggi negara yang telah terbukti bersalah itu sangat lemah, tidak berprinsip dan bakal memburukkan lagi imej parti di mata rakyat Malaysia”.
“Mengikut rekod, keputusan terhadap Datuk Seri Najib mendapat konsensus semua hakim dan semasa rayuan dibuat dan kelima-lima hakim juga mendapati tidak ada kecacatan dalam keputusan tersebut dan mengekalkan hukuman. Ia adalah keputusan yang mantap dan tidak berbelah bagi tanpa sebarang keraguan”, jelas beliau.
Beliau sempat membangkitkan persoalan mengapa perlu diusulkan pengampunan untuk pihak yang bersalah.
“Apa asas pengampunan terhadap perompak terbesar dalam sejarah negara ini? Mengapa UMNO yang berada dalam kerajaan yang memperjuangkan integriti kini ingin membebaskan perompak?yang telah terbukti bersalah?”
“Sepatutnya UMNO fokus untuk memperbaiki imej dan gerak kerja parti selepas kalah teruk dalam PRU15 yang lalu, dan ketiadaaan Datuk Seri Najib sebagai beban sebelum ini seharusnya mempercepatkan proses transformasi ini”, tegas beliau.
Justeru, beliau berpendapat sepatutnya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menunggu kes beliau selesai dahulu sebelum memimpin parti UMNO dan menentukan halatuju yang kelihatan amat canggung.
UMNO sebenarnya perlu keluarkan Ahmad Zahid, bukan memasukkan semula Najib ke dalam parti dengan cara membebaskannya.
Terdahulu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya telah mengikuti semua prosedur perundangan sedia ada sebelum membuat rayuan kepada Lembaga Pengampunan untuk memberi pertimbangan itu bagi membebaskan mantan Perdana Menteri itu.
Dalam masa yang sama juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu tidak seharusnya berbangkit kerana sesiapa sahaja dibenar mengemukakan permohonan bagi memperoleh pengampunan dan semua pihak perlu mematuhi peraturan serta syarat yang ditetapkan.