Ramai Rakyat Malaysia Mudah Jatuh Miskin

miskin

KUALA LUMPUR – Malaysia sudah mengecapi pembangunan yang begitu pesat dan amat serius untuk menjadi sebuah negara maju. Kemajuan di dalam ekonomi ini amat memberangsangkan dan hasilnya ramai rakyat Malaysia yang berjaya keluar daripada kancah kemiskinan. Mereka tidak lagi dikenali sebagai orang miskin malahan sudah mampu untuk tinggal di bandar dengan gaya hidup yang sederhana.

Berbeza dengan tahun 1970, waktu itu hampir separuh rakyat Malaysia tergolong sebagai miskin namun kini peratusan isi rumah telah turun kepada 6.2 peratus. Kadar kemiskinan yang dicatatkan hanya satu digit sahaja dan catatan ini dilihat sebagai satu yang positif.

Namun demikian, kerancakan ekonomi yang dinikmati sekarang ini gagal dicapai oleh semua rakyat Malaysia secara sama rata. Masih ada lagi kelompok yang ketinggalan dan tidak merasai limpahan kekayaan ekonomi yang ada.

Ahli ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid berkata kepada Ekonomi Rakyat bahawa walaupun kadar kemiskinan telah turun dengan signifikan kepada 6.2 peratus ketika ini, kemiskinan sebenarnya masih wujud dengan ketara jika diperhatikan dengan lebih mendalam lebih-lebih lagi di negeri Pahang, Kelantan dan Sabah.

Tegas beliau, kemiskinan kini bukan hanya sekitar soal pendapatan sahaja kerana mereka yang menetap di bandar besar seperti Kuala Lumpur contohnya turut merasai kemiskinan dengan terma miskin bandar walaupun pendapatan yang diperoleh adalah besar jika dilihat dengan mata kasar.

Beliau berkata hakikatnya ramai isi rumah di Malaysia yang ‘atas pagar’ atau erti kata lainnya mudah untuk jatuh miskin.

“…di negara-negara maju tak pakai dah pendapatan garis kemiskinan ini. Mereka tengok separuh daripada pendapatan median (di Malaysia: RM3,100). Bawah RM3,100 ada lebih kurang 16% rakyat Malaysia yang hidup dalam kemiskinan relatif… Kalau seseorang itu hilang RM500, kadar kemiskinan di Malaysia akan naik daripada 6.2% kepada 16%. Ini bermaksud ramai rakyat Malaysia yang berisiko tinggi untuk jatuh miskin.” 

Hal ini jelas menunjukkan bahawa data satu digit itu bukan satu kebanggan yang wajar dicanang oleh kerajaan kerana keadaan ini amat ‘fragile‘. Jika kerajaan leka dalam menguruskan ekonomi, tidak mustahil akan lebih ramai rakyat hidup dalam kemiskinan yang lebih teruk lagi.

Kerajaan perlu melihat isu ini secara serius kerana kemiskinan juga boleh memberikan kesan yang jauh lebih buruk lagi kepada rakyat seperti kepayahan untuk mendapatkan akses pendidikan yang berkualiti, pemakanan yang cukup nutrisi dan peluang mobiliti sosial yang terhad.

Ketiga-tiga perkara ini adalah keperluan dan pendidikan merupakan kunci utama kepada jalan untuk keluar daripada kemiskinan. Jika jalan utama sudah tertutup mereka, bagaimana untuk mereka keluar daripada ujian kemiskinan ini?

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
maha kaya

Ada Apa Dengan Maha Kaya?

Next Post
SPM 2023

‘Top 20’ Sekolah SPM Terbaik 2023 Didominasi Sekolah Kebangsaan

Related Posts