Teresa Kok Usah Pertikai Halal JAKIM

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok tidak sepatutnya mempertikaikan cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal JAKIM.

Dakwaan beliau yang mengatakan langkah itu akan membebankan peniaga dan bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara dilihat tidak tepat dan kurang cerdik kenyataannya.

Pengesahan sijil halal JAKIM terhadap sesebuah kedai yang menjual produk makanan dibuat adalah bagi dijadikan panduan kepada pelanggan yang beragama Islam untuk membeli makanan dengan penuh yakin tanpa rasa ragu-ragu.

Malahan JAKIM baharu sahaja mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.

Teresa Kok dilihat seakan lebih sudu daripada kuah kerana beliau hanya berhujah peniaga akan berasa terbeban dan membataskan pilihan pengguna dalam membeli.

Beliau sepatutnya tahu bahawa penetapan halal JAKIM terhadap premis makanan bukan sahaja merujuk kepada penyediaan bahan masakan sahaja malahan kebersihan juga dititikberatkan untuk melayakkan premis itu mendapat halal JAKIM.

Maka tidak ada istilah mengehadkan pilihan pengguna malahan ia lebih selamat kepada pengguna untuk membeli.

Permohonan Sijil Halal JAKIM Oleh Syarikat Bukan Islam Makin Meningkat

JAKIM pada tahun lepas mendedahkan hampir 72 peratus atau 165,026 daripada keseluruhan 229,204 produk yang mempunyai sijil halal di negara ini dimiliki oleh syarikat bukan Islam, hanya 37,466 bumiputera memiliki sijil tersebut.

Angka tersebut adalah untuk tempoh dari tahun 2021 hingga 10 April 2023 dan untuk rekod berakhir pada 31 Disember 2022 pula, sebanyak 7,742 syarikat menjadi pemegang pensijilan halal Malaysia dengan 59 peratus daripadanya adalah syarikat bukan bumiputera.

Hal ini menunjukkan bahawa syarikat bukan Islam melihat industri halal di Malaysia amat besar potensinya memandangkan kuasa beli Bumiputera dan orang Islam di Malaysia dilihat amat memberangsangkan.

Kuasa beli seramai 22.85 juta bumiputera terus mencatat angka memberangsangkan apabila mereka berbelanja kira-kira RM109 bilion setiap bulan pada tahun lalu, paling tinggi berbanding kaum lain di negara ini. 

Sesebuah syarikat yang memiliki sijil halal pasti akan memperoleh manfaat yang besar kerana berjaya membeli kepercayaan pelanggan yang beragama Islam.

Dalam sisi yang lain pula, angka di atas menunjukkan bahawa usahawan bumiputera Islam kurang berminat mendapatkan sijil penting berkenaan.

Hal ini kerana sebahagian usahawan Islam meyakini nama orang Melayu selaku pembuat produk atau tukang masaknya beragama Islam sudah cukup sebagai bukti makanan atau produk yang dikeluarkan mereka halal.

Mempunyai sijil halal bukan sahaja bermakna sesuatu produk bebas unsur-unsur yang diharamkan seperti khinzir atau alkohol, ia juga bermaksud produk anda lebih terjamin dari segi kualiti, keselamatan dan kebersihan.

Oleh hal yang demikian, cadangan JAKIM untuk mewajibkan setiap premis yang tidak menghidangkan alkohol dan babi khususnya milik orang Islam untuk memiliki sijil halal sepatutnya disokong memandang adanya peniaga yang mengambil ringan soal ini.

Sijil halal dapat memberi kredibiliti kepada jenama apabila pengguna tidak perlu ragu-ragu bukan sahaja terhadap bahan yang digunakan tetapi juga terhadap kualiti dan proses pembuatan makanan atau produk terbabit.

Halal Milik Malaysia Jadi Rujukan Antarabangsa

Teresa Kok sepatutnya tahu kini sudah banyak negara luar menyediakan pelancongan halal bagi menarik lebih ramai pelancong daripada negara Islam.

Malah, menurut Jabatan Standard Malaysia (JSM), piawaian Malaysia iaitu Malaysian Standards (MS) berkaitan halal, sentiasa menjadi penanda aras dan rujukan kepada negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah mengatakan bahawa ramai pemimpin antarabangsa seperti China, Jepun, Korea Selatan, Vietnam dan Laos memohon bantuan Malaysia di dalam melatih dan membuka laluan kepada pewujudan rangkaian produk halal di negara mereka.

Hal ini menunjukkan bahawa dunia mengiktiraf ketelitian dan ekosistem yang Malaysia wujudkan dalam industri halal.

Dakwaan Teresa Kok bahawa cadangan mewajibkan premis makanan untuk memohon sijil halal JAKIM akan menjadi gelak ketawa negara luar dilihat tidak betul memandangkan kini sudah banyak negara luar menjadikan Malaysia sebagai contoh dalam industri halal dunia.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Mengapa Laut China Selatan Menjadi Rebutan?

Next Post

Apa Itu DNS Yang Ingin Dilaksanakan Di Malaysia?

Related Posts