BANGI – Syarikat p-hailing iaitu GrabFood Malaysia (GrabFood) telah mengumumkan perubahan kadar bayaran bagi penghantar makanan sehingga menimbulkan keresahan yang menyebabkan pendapatan mereka merosot.
Bagaimanapun, Grab Malaysia telah tampil dengan menyatakan bahawa struktur tambang penghantaran dan bonus baharu diperkenalkan mereka bertujuan memastikan rakan kongsi penghantar yang menjalankan perkhidmatan di syarikat berkenaan akan dibayar secara adil.
Dalam pada itu, perkara demikian mendapat reaksi pelbagai pihak termasuklah Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Abdul Rahim Zumrah yang berpendapat kerjaya sebagai penunggang p-hailing hanya sesuai dijadikan sebagai kerja sampingan atau untuk tempoh jangka masa pendek dan bukannya sebagai pekerjaan tetap.
Mengulas lanjut perkara itu, katanya, ia berisiko tinggi khususnya dari segi keselamatan pekerjaan untuk jangka masa panjang.
Menurutnya, tiga cabaran utama pekerja penghantar makanan ialah ketiadaan kemudahan seperti perubatan, caruman Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), kelestarian pekerjaan serta kesukaran untuk membuat yang lebih tinggi seperti pinjaman bank dan membeli rumah.
Maka apa yang dapat disimpulkan di sini ialah pekerjaan sebagai penghantar makanan ini adalah untuk jangka pendek sahaja. Cukup dibuat sebagai pekerjaan sambilan sahaja bukannya tetap.
SUMBER: Sinar Harian