Laut China Selatan (LCS) merupakan kawasan strategik yang menjadi rebutan banyak negara kerana kepentingan ekonomi, geopolitik, dan sumber semula jadi yang terkandung di kawasan tersebut.
Kawasan laut luas yang dikelilingi kebanyakan negara rantau Asia Tenggara ini menjadi ‘kegilaan’ banyak negara sehingga menyaksikan beberapa siri ketegangan di kawasan tersebut.
Antara siri ketegangan yang terawal melibatkan perebutan wilayah maritim Laut China Selatan ialah Pertempuran Kepulauan Paracel pada tahun 1974 yang melibatkan China dengan Vietnam Selatan.
Vietnam Selatan sebenarnya telah pun menguasai sebahagian Kepulauan Paracel sejak tahun 1950-an lagi namun pada Januari 1974 tentera China telah bertindak melancarkan serangan untuk mengambil alih kawalan kepulauan tersebut daripada tangan Vietnam Selatan.
Pertempuran tersebut menyaksikan China menguasai keseluruhan Kepulauan Paracel dan terus memegang kawalan ke atas wilayah ini walaupun Vietnam sehingga kini terus menuntut hak terhadap wilayah ini.
Banyak lagi siri pertempuran yang berlaku antara negara di rantau maritim ini antaranya insiden Johnson South Reef pada 1988, pertempuran Mischief Reef (1995), insiden Scarborough Shoal (2012), ketegangan Second Thomas Shoal (2014 – kini), insiden Benham Rise (2017), Konfrontasi Natuna (2016) dan insiden Vanguard Bank (2019).
Persamaan dalam semua insiden ketegangan itu ialah keterlibatan China yang konsisten melakukan provokasi bersama negara Asia Tenggara seperti Vietnam, Filipina dan Indonesia.
Semestinya timbul persoalan oleh ramai pihak tentang apakah faktor-faktor yang menjadikan Laut China Selatan ini menjadi rebutan banyak negara sehingga mengundang kepada krisis bersenjata.
Faktor-Faktor Rantau Maritim Ini Menjadi Rebutan
Laut China Selatan menjadi rebutan banyak negara kerana ia terletak di antara negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Filipina, Vietnam, Brunei, dan Indonesia, serta China.
Kawasan ini menghubungkan Lautan Pasifik dan Lautan Hindi, menjadikannya salah satu laluan perdagangan laut terpenting di dunia.
Fakta menariknya ialah 40% perdagangan global melalui kawasan ini setiap tahun, termasuk laluan minyak dan gas dari Timur Tengah ke Asia Timur yang bermakna kawalan terhadap laluan ini bermaksud penguasaan ke atas ekonomi global.
Laluan strategik perdagangan ini juga didapati membawa lebih AS$3 trilion (RM14 trilion) dalam nilai barangan setahun dan menghubungkan negara kuasa ekonomi Asia dengan pasaran Eropah, Afrika dan benua Amerika.
Laut China Selatan juga dipercayai mengandungi simpanan minyak dan gas asli yang besar. Kajian oleh EIA (Energy Information Administration) menganggarkan kawasan ini mungkin mempunyai lebih dari 11 bilion tong minyak dan 190 trilion kaki padu gas asli.
Menurut kajian China National Offshore Oil Company (CNOOC), laut itu juga dipercayai menyimpan hingga 125 bilion tong rizab minyak dan 500 trilion kaki padu (tcf) gas asli, manakala Agensi Maklumat Tenaga AS menganggarkan ia menyimpan 190 tcf gas asli serta 11 bilion tong minyak simpanan dengan kebanyakannya di sepanjang margin.
Selain itu, China juga melihat wilayah lautan ini sebagai kawasan strategik untuk keselamatan dan pengaruhnya di rantau Asia Pasifik.
China telah pun membina pulau buatan dan kemudahan ketenteraan di kawasan yang dipertikaikan yang menimbulkan kebimbangan negara jiran dan kuasa luar seperti Amerika Syarikat.
Amerika Syarikat pula sering menjalankan operasi “kebebasan navigasi” di wilayah yang tegang itu untuk mencabar tuntutan China dan memastikan laluan perdagangan antarabangsa bebas daripada kawalan unilateral.
China Tuntut Laut China Selatan Untuk Luaskan Kuasanya
Selaras dengan projek mega China iaitu One Belt One Road (OBOR), China mahu menguasai Laut China Selatan untuk memastikan impiannya tercapai dengan jayanya.
Laluan darat melalui projek kereta api di Laos, Kemboja dan Malaysia sudah pun hampir lengkap disiapkan dan kini mereka mahukan wilayah lautan pula untuk membolehkan mereka menguasai dua laluan iaitu darat dan laut.
Bukan setakat ingin meluaskan kekuasannya malahan Laut China Selatan merupakan kawasan strategik dari segi ketenteraan.
Kawalan ke atas kawasan ini memberi China kelebihan ketenteraan membolehkannya mengawal laluan perdagangan penting dan menghalang campur tangan kuasa luar, terutama Amerika Syarikat.
Dalam usaha menguatkan lagi kedudukan ketenteraan China di wilayah tersebut, China telah membina pulau buatan dan kemudahan ketenteraan seperti landasan terbang, pengkalan radar, dan pelabuhan tentera di terumbu yang dipertikaikan.
Hal ini memberi China akses ketenteraan yang lebih baik dan kemampuan untuk meningkatkan lagi kuasa di rantau ini.
China sehingga kini sedaya upaya menuntut ampir seluruh kawasan LCS melalui tuntutan berdasarkan “Nine-Dash Line” yang dikemukakan tetapi ini tidak diiktiraf oleh undang-undang antarabangsa.
Negara-negara ASEAN seperti Filipina dan Vietnam juga mempunyai tuntutan berdasarkan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) menurut Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) yang menyebabkan konflik ini terus berpanjangan sehingga mengundang negara kuasa besar dunia lain seperti Amerika Syarikat turut serta masuk campur.