Sumber Nadir Bumi Malaysia: Malaysia Ada Potensi Bangunkan Jenama Kereta Elektrik Sendiri

Sebelum ini penulis ada menerangkan secara ringkas mengenai sumber nadir bumi di Malaysia dan menerangkan serba sedikit tentang tiga unsur nadir bumi yang ada di Malaysia iaitu Praseodymium, Neodymium dan Dysprosium.

Namun tahukah anda bahawa salah satu unsur nadir bumi yang terdapat di Malaysia ini sebenarnya dapat menghasilkan komponen untuk kereta elektrik.

Jika ini benar, hal ini tidak mustahil untuk melihat Malaysia mampu menghasilkan jenama kereta elektrik sendiri seterusnya menjadi negara Asia Tenggara pertama untuk mengeluarkan kereta elektrik jenama tempatan.

Malaysia Mampu Bangunkan Kereta Elektrik Seperti Tesla Dan BYD

Di dalam artikel Gelombang Berjasa sebelum ini ada memetik pendapat daripada Pengarah Pusat Kelestarian Mineral dan Teknologi Pemulihan Sumber Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Yusri Mohd Yunus berkata Malaysia memiliki tiga unsur (NR-REE).

Tiga unsur NR-REE itu ialah Praseodymium, Neodymium dan Dysprosium banyak terdapat di Terengganu, Kelantan, Perak, Pahang serta Kedah yang merupakan elemen utama dalam penghasilan magnet berkuasa tinggi bagi menghasilkan motor elektrik kereta hibrid/elektrik.

Hal ini bermaksud Malaysia sebenarnya mampu membangunkan kereta elektrik sendiri setanding dengan jenama antarabangsa lain seperti Tesla daripada Amerika Syarikat dan BYD daripada China dengan menggunakan Proton dan Perodua untuk menghasilkan kereta elektrik ini.

Selaras dengan fokus global yang ingin beralih kepada tenaga yang lebih bersih, penghasilan produk yang bersifat mesra alam seperti kereta elektrik boleh dipertimbangkan oleh Malaysia.

Penerimaan pengguna terhadap kereta elektrik di Malaysia sedang meningkat namun masih ada cabaran dari segi kesedaran dan persepsi mengenai EV seperti kebimbangan mengenai jarak pemanduan dan kos penyelenggaraan.

Perkara ini boleh diatasi dengan syarikat pengeluar kereta elektrik tempatan iaitu Proton dan Perodua menetapkan harga yang kompetitif. Ini boleh dicapai melalui pengurangan kos pengeluaran, insentif kerajaan, dan skala ekonomi yang besar.

Sumber Nadir Bumi Untuk Hasilkan Kereta Elektrik Sudah Ada, Apa Kerajaan Perlu Buat Sekarang?

Penulis sudah menerangkan mengenai potensi yang besar untuk Malaysia menghasilkan jenama kereta elektrik sendiri dengan menggunakan hasil sumber nadir bumi yang ada.

Kini topik perbincangan tertumpu pula kepada langkah yang boleh diambil oleh kerajaan untuk merealisasikan idea dan perancangan ini.

Pertama sekali kerajaan perlu memfokuskan kepada penguasaan teknologi dengan menguasai teknologi bateri, motor elektrik dan dan sistem pengurusan tenaga.

Hal ini memerlukan Malaysia menubuhkan pusat kajian dan pembangunan (R&D) yang memfokuskan kepada teknologi automotif dan elektrifikasi namun ia memerlukan kos yang begitu besar maka kerajaan perlu ‘berkorban’ untuk melakukannya.

Walaubagaimanapun, Malaysia telah memulakan langkah dalam bidang ini melalui institusi seperti Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) tetapi usaha ini perlu dipertingkatkan lagi.

Selain itu, Malaysia perlu memperluas rangkaian stesen pengecasan di seluruh negara untuk menyokong pengguna kereta elektrik. Hal ini demikian kerana infrastruktur pengecasan yang luas dan mudah diakses adalah kritikal untuk kejayaan kereta elektrik.

Kerjasama dengan syarikat automotif dan teknologi global juga perlu dilakukan kerana ia dapat mempercepatkan pembangunan kereta elektrik di Malaysia. Misalnya, penglibatan dalam usaha sama (joint venture) dengan syarikat kereta elektrik global atau teknologi bateri boleh memberi manfaat besar.

Malaysia mempunyai potensi untuk menghasilkan kereta elektrik, tetapi ia memerlukan usaha bersepadu dari semua pihak – kerajaan, industri, akademia, dan pengguna.

Walaupun menghasilkan kereta elektrik yang setanding dengan Tesla memerlukan masa dan sumber yang besar, dengan strategi yang betul dan pelaburan yang mencukupi, Malaysia boleh menjadi pemain penting dalam industri kereta elektrik di rantau ini.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Bagaimana Dasar Gaji Progresif Dilaksanakan Di Malaysia?

Next Post

Kekalkan identiti Negara Malaysia, Jangan Cemari Dengan Unsur Asing

Related Posts