Shah Alam — Parti BERJASA Malaysia menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap pengumuman terkini Kerajaan Madani berkaitan pelaksanaan langkah konsolidasi fiskal secara drastik yang dijadualkan bermula pada separuh kedua tahun 2025. Langkah tersebut termasuk peluasan cukai kepada 97% barangan, termasuk barangan asas pengguna, kenaikan tarif elektrik sehingga 14%, serta penghapusan pelbagai bentuk subsidi.
Meskipun kerajaan menyifatkan inisiatif ini sebagai sebahagian daripada usaha untuk merasionalisasi subsidi dan memperkukuh kedudukan fiskal negara, namun pendekatan tersebut bakal membawa kesan berantai yang membebankan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) yang kini bergelut dengan inflasi, gaji yang statik, dan peningkatan kos sara hidup.
Menurut Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan Mohd Sharif, peluasan cukai ke atas barangan asas seperti makanan, keperluan harian dan perkhidmatan penting dijangka melonjakkan Indeks Harga Pengguna (CPI), seterusnya mencetuskan inflasi tolakan kos (cost-push inflation) yang akan melemahkan kuasa beli isi rumah serta menurunkan permintaan dalam ekonomi domestik dan melemahkan ekonomi tempatan.
Beliau turut membangkitkan kesan domino terhadap sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), susulan penghapusan subsidi serta kenaikan tarif elektrik yang bakal meningkatkan kos operasi. Sebagai tunjang ekonomi negara, penyusutan margin keuntungan PKS berisiko menyebabkan pengurangan tenaga kerja dan kelewatan pelaburan, sekali gus meningkatkan kadar pengangguran.
Beliau turut memberi amaran bahawa rasionalisasi subsidi tanpa mekanisme gantian yang telus akan terus melebar jurang ketaksamaan antara golongan kaya dan miskin. Kesan ketidakseimbangan sosial dan ekonomi ini boleh mengakibatkan keresahan awam serta menggugat kestabilan negara dalam jangka panjang.
Beliau mempersoalkan ketelusan kerajaan dalam pengurusan dana awam dan menuntut penjelasan berhubung hasil penjimatan subsidi yang telah dilaksanakan sebelum ini. Tanpa reformasi menyeluruh terhadap sistem perolehan kerajaan, ketirisan dan pemborosan dijangka terus berlaku dan menggagalkan matlamat fiskal sebenar.
Sebagai alternatif, Mohd Hamdan mencadangkan beberapa langkah strategik, termasuk:
- Pendekatan Fasa Bertahap dan Data-Driven:
Rasionalisasi subsidi dan reformasi fiskal perlu dilaksanakan secara bertahap dengan impact modelling yang realistik dan berpaksikan data lapangan sebenar. Polisi drastik tanpa social cushioning hanya akan memundurkan kemajuan inklusif negara. - Reformasi Perolehan dan Pengurusan Dana Awam:
Audit bebas perlu dilaksanakan terhadap semua agensi kerajaan untuk membanteras pemborosan dan ketirisan. Penjimatan daripada pembaikan tadbir urus boleh menggantikan sebahagian besar keperluan pemotongan subsidi. - Cukai Kekayaan dan Windfall Tax yang Progresif:
Daripada membebankan rakyat biasa, kerajaan wajar mengenakan cukai lebih tinggi ke atas keuntungan luar biasa (windfall profits) syarikat gergasi dalam sektor tenaga, perbankan dan lain – lain yang mencatat keuntungan berbilion. - Pelaburan Produktif dan Inovatif, Bukan Penarikan Subsidi Semata-Mata:
Penekanan perlu diberi kepada pembangunan ekonomi nilai tinggi seperti digitalisasi, agro-teknologi, dan ekonomi hijau. Subsidi yang bersifat pembangunan dan produktif (productive subsidies) harus diperluas, bukan dihapuskan.
Beliau menegaskan bahawa parti Berjasa tidak menolak keperluan reformasi fiskal. Namun, langkah tersebut mesti berpandukan prinsip keadilan sosial, kelestarian ekonomi dan keberdayaan rakyat. “Jangan jadikan rakyat ‘kuda korban’ kepada ketidakcekapan masa lalu. Negara yang hebat ialah negara yang tidak membebankan rakyatnya demi memuaskan lembaran Excel dalam laporan ekonomi semata-mata,” tegas kenyataan itu.
Kesejahteraan rakyat adalah aset strategik negara, bukannya liabiliti fiskal.