Apakah Itu Sumber Nadir Bumi & Manfaatnya Di Malaysia?

Banyak negara kini sedang mula memfokuskan kepada peralihan tenaga baru yang lebih bersih dan mesra alam sekitar maka tidak hairan sumber nadir bumi atau nama lainnya Rare Earth Element (REE) mula diteroka secara meluas.

Malaysia juga tidak terlepas dalam mencari inisiatif untuk menghasilkan tenaga baharu apabila kerajaan mengumumkan sudah wujudnya langkah daripada Nuklear Malaysia yang sedang meneliti potensi kerjasama dengan beberapa syarikat swasta dan universiti tempatan melalui Perkongsian Awam-Swasta (PPP).

Kerjasama ini dibuat bagi membangunkan penyelidikan dan kepakaran dalam bidang pengekstrakan nadir bumi.

Namun demikian, semestinya ramai pihak yang masih belum mengetahui mengenai REE yang sedang diperkatakan di dalam artikel ini. Pendedahan mengenai topik ini masih umum dan wajar dimaklumkan secara meluas mengenainya dan potensinya terutamanya di Malaysia.

Sumber Nadir Bumi Di Malaysia Bernilai Tinggi

Selaras dengan namanya disebut sebagai Rare Earth Element, ia merupakan unsur-unsur yang jarang ditemui ataupun hanya mempunyai peratusan kecil sahaja di bumi.

Wujud beberapa tanggapan salah yang mengatakan sumber REE di Malaysia bersifat amat bahaya dan mengandungi bahan radioaktif yang tinggi sedangkan rizab sumber REE di Malaysia ini berasaskan tanah liat hasil peluluhawaan. Maka ia selamat dan langsung tidak membahayakan.

Selain itu, sumber REE yang dimiliki oleh Malaysia amat bernilai tinggi seperti yang dimaklumkan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) .

Katanya, Malaysia memiliki sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang dianggarkan berjumlah 15.2 juta tan dengan nilai pasaran semasa boleh mencecah sehingga RM747.2 bilion bersamaan dengan AS$182 bilion.

Taburan sumber NR-REE ini membabitkan beberapa negeri seperti Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Hasil dapatan dan carian yang diperoleh, Kedah dikatakan memiliki sumber NR-REE bernilai RM60 bilion, Negeri Sembilan bernilai RM30 bilion, Kelantan bernilai RM125 bilion, Pahang dengan nilai RM80 bilion dan Perak dengan potensi nilai RM90.5 bilion. Melaka dan Johor masih belum melaporkan nilai NR-REE yang ada di negeri masing-masing.

Menurut Pengarah Pusat Kelestarian Mineral dan Teknologi Pemulihan Sumber Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Yusri Mohd Yunus berkata Malaysia memiliki tiga unsur (NR-REE).

Tiga unsur NR-REE itu ialah Praseodymium, Neodymium dan Dysprosium banyak terdapat di Terengganu, Kelantan, Perak, Pahang serta Kedah yang merupakan elemen utama dalam penghasilan magnet berkuasa tinggi bagi menghasilkan motor elektrik kereta hibrid/elektrik, turbin angin, perkakasan elektrik rumah dan industri, skrin serta pembesar suara telefon bimbit.

Menariknya, peralihan kepada tenaga hijau mustahil untuk dilaksanakan tanpa tiga unsur ini.

Malaysia Mempunyai Manfaat Yang Besar Jika Mampu Menguasasi Sumber NR-REE Ini

Malaysia mempunyai potensi yang besar jika mampu memanfaatkan sumber NR-REE ini secara sepenuhnya.

Menurut Reuters, China merupakan pengeluar utama REE di dunia dengan menguasai sekitar 80% daripada pengeluaran global. Ini memberikan China pengaruh yang signifikan dalam pasaran nadir bumi dunia.

Namun demikian, tidak mustahil Malaysia mampu setanding dengan China apatah lagi Malaysia mempunyai tiga unsur iaitu Praseodymium, Neodymium dan Dysprosium.

Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, tiga unsur nadir bumi yang ada di Malaysia ini boleh menghasilkan motor elektrik bagi kereta hibrid/elektrik ataupun nama lainnya ialah electrical vehicle (EV).

Dikala Elon Musk telah mengumumkan penarikan rancangan untuk membuka kilang pembuatan kereta Tesla di rantau Asia Tenggara, Malaysia boleh bertindak memasuki pasaran EV dengan menghasilkan alat komponen EV ataupun jenama EV tempatan jika mempunyai modal dan kepakaran teknologi yang tinggi. Hal ini boleh menjadikan Malaysia sebagai negara Asia Tenggara pertama mempelopori pasaran EV jika mampu bertindak awal untuk menghasilkannya.

Bukan itu sahaja malahan jenama EV tempatan dapat mengurangkan kebergantungan kepada jenama EV daripada China yang dilihat makin menguasai pasaran Asia mahupun dunia. Ini masanya untuk Malaysia menawarkan jenama tempatan kepada rakyat Malaysia.

Selain itu, Malaysia juga mampu menghasilkan jenama alat perkakas elektrik rumah dan telefon bimbit sendiri dengan menggunakan sumber NR-REE yang sedia ada di Malaysia.

Industri elektronik ini sudah lama dikuasai oleh negara Jepun, Korea Selatan, China dan Amerika Syarikat maka Malaysia boleh cuba memasuki industri ini dengan menawarkan produk yang lebih mampu milik.

Mungkin untuk menembusin pasaran dunia agak mencabar kerana sudah sekian lama dikuasai oleh syarikat elektronik multinasional gergasi namun Malaysia boleh memfokuskan kepada pasaran serantau ataupun Asia sahaja.

Agak rugi bagi Malaysia jika tidak memanfaatkan potensi ini di masa hadapan. Malaysia sebenarnya tidak mempunyai masalah tenaga buruh kerana sudah ramai rakyat Malaysia menceburi bidang kejuruteraan malahan sehingga kini bidang kejuruteraan masih menerima kemasukan pelajar yang ramai di universiti.

Malaysia hanya memerlukan “political will” daripada ahli politik sahaja untuk merealisasikan perancangan ini.

Segala perancangan ini bukan sahaja mampu menjadikan Malaysia sebagai adi kuasa di rantau, malahan mampu meningkatkan kualiti pendidikan TVET dan menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Olimpik Malaysia: Pegawai Sukan ‘Dinosour’, Integriti Dan Pelapisan Atlet Hiasi Topik Sukan Olimpik Malaysia

Next Post

Warga China Di Malaysia ‘Borong’ Rumah, Punca Harga Rumah Naik?

Related Posts