Putrajaya: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Kemaman, Terengganu pada 2 Disember ini.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 18 November dan 28 November.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Menara SPR, di sini bagi membincangkan tarikh penting berkaitan PRK Parlimen Kemaman.
PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ia selepas pihak pempetisyen Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.
Pada 3 Oktober lepas, PAS memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kemaman yang membatalkan kemenangan parti itu.
“PRK Parlimen Kemaman, Terengganu memerlukan peruntukan RM 3.5 juta,” kata Abdul Ghani.
Menurutnya seorang pegawai pengurus pilihan raya yang dibantu tujuh penolong pegawai pengurus dan 2,102 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK Parlimen Kemaman.