Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di Dewan Rakyat mengesahkan kad pengenalan akan menjadi kaedah pilihan bagi pelaksanaan penyasaran subsidi RON95.
Beliau berkata kaedah ini dipilih kerana ia berkesan dalam mengawal peningkatan kadar inflasi apabila penyasaran subsidi RON95 ini dilaksanakan berbanding dengan kaedah bayaran balik secara tunai yang dilihat lebih berkesan oleh pakar ekonomi.
Merujuk kepada pemerintahan Perdana Menteri terdahulu iaitu Datuk Seri Najib Razak yang mengapungkan harga minyak RON97 dan melaksanakan cukai GST, inflasi menjadi tidak terkawan dan membawa kepada naiknya harga barang.
Walaubagaimanapun, kaedah menggunakan kad pengenalan untuk menapis pembeli RON95 yang benar-benar layak boleh dipersoalkan memandangkan kad pengenalan milik individu menyimpan privasi data yang begitu penting.
Pelaksanaan Subsidi RON95 Mencabar Apabila Gunakan Kaedah Guna Kad Pengenalan
Mungkin penggunaan kad pengenalan untuk membeli petrol RON95 ini sebagai satu langkah untuk mengelakkan warga asing daripada menyalahgunakan subsidi RON95 seperti yang sering berlaku di Johor.
Namun begitu, langkah penggunaan kad pengenalan ini boleh diperdebatkan jika melihat kepada ciri-ciri yang ada pada kad pengenalan itu sendiri.
Penggunaan kad pengenalan untuk pembayaran memerlukan akses kepada data peribadi yang sensitif.
Jika terdapat risiko kecurian data, maklumat pengguna berpotensi disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab seterusnya mengundang kepada jenayah penyelewengan data yang serius.
Selain itu, kaedah menggunakan kad pengenalan untuk pembayaran petrol memerlukan pengubahsuaian sistem di stesen minyak dan pembangunan perisian khas.
Sistem pengecaman kad pengenalan juga perlu bersambung dengan pangkalan data yang menyokong pengesahan identiti dan rekod pembayaran.
Hal ini pasti melibatkan kos yang tinggi dan masa yang banyak untuk melatih petugas serta memasang teknologi yang diperlukan.
Bukan itu sahaja malahan jika kad pengenalan pengguna hilang atau rosak, pengguna mungkin menghadapi kesukaran untuk membuat pembayaran petrol lebih-lebih lagi jika kad pengenalan adalah satu-satunya kaedah pembayaran yang diterima untuk subsidi minyak.
Kad Subsidi Minyak Adalah Alternatif Yang Lebih Praktikal
Beberapa alternatif yang mungkin lebih mudah untuk dilaksanakan dalam jangka masa pendek bagi menggantikan kaedah pembayaran menggunakan kad pengenalan.
Antara cadangan yang boleh dipertimbangkan ialah penggunaan e-dompet yang berpaut kepada kad pengenalan.
Hal ini membolehkan pengguna membuat pembayaran melalui aplikasi yang dihubungkan terus dengan kad pengenalan mereka tanpa perlu membawa kad fizikal.
Kad subsidi minyak berasingan juga boleh diperkenalkan yang sama seperti di beberapa negara lain yang menggunakan kad khas untuk mendapatkan subsidi minyak.
Kad ini boleh dihubungkan dengan kad pengenalan tetapi berfungsi berasingan untuk tujuan keselamatan dan kemudahan.
Langkah kerajaan untuk menjaga subsidi RON95 daripada disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab adalah langkah yang terpuji namun cadangan menggunakan kad pengenalan untuk membayar RON95 boleh diperhalusi kembali oleh kerajaan.