Filipina Tuntut Perairan Sabah Melalui Akta Baharu

filipina tuntut perairan sabah

Selepas Vietnam yang berani menuntut sempadan perairan Malaysia, krisis antara negara Asia Tenggara dilihat semakin memanas apabila Filipina tuntut perairan Sabah melalui dua undang-undang baharu iaitu Akta Zon Maritim Filipina (Akta Republik 12064) dan Akta Laluan Laut Kepulauan Filipina (RA 12065) yang ditandatangani Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr lima hari lalu.

Dua undang-undang maritim baharu itu dilihat sebagai usaha Filipina untuk memperkukuh tuntutan Manila ke atas kawalan Laut China Selatan yang masih dipertikaikan hingga kini.

Menjadi pertikaian yang serius di sini ialah Akta Laluan Laut Kepulauan Filipina telah menggariskan untuk mengawal selia laluan laut di Selat Balabak yang bersempadanan dengan Kudat dan Pulau Banggi di utara Sabah serta kawasan maritim Laut Sulawesi atau Laut Sulu di Pantai Timur Sabah.

Kerajaan Malaysia perlu bertindak untuk mendapatkan maklum balas daripada Filipina sama ada pihak berkuasa Filipina akan masuk ke dalam laluan laut wilayah Sabah atau tidak.

Filipina dilihat memang serius dalam menuntut sempadan laut dari Sabah yang mana pada Julai lalu Manila menuntut pelantar benua dilanjutkan di wilayah Palawan Barat di Laut China Selatan.

Namun tuntutan itu pantas ditolak oleh Malaysia yang terus menyerahkan nota diplomatik kepada Filipina.

Mengapa Filipina Tuntut Sabah Daripada Dahulu Hingga Kini?

Bukan sesuatu yang tersembunyi apabila membicarakan soal tuntutan Filipina terhadap Sabah yang sudah lama digerakkan oleh Filipina daripada dahulu hingga kini.

Tuntutan Filipina terhadap Sabah berakar daripada sejarah yang panjang melibatkan isu politik, undang-undang dan sejarah kolonial.

Kesultanan Sulu sebelum ini memang pernah memberikan hak pentadbiran Sabah kepada British melalui satu perjanjian namun terjemahan dan interpretasi terma dalam perjanjian menjadi titik perselisihan.

Satu versi bahasa Inggeris mentafsirkan perjanjian itu sebagai “pemindahan” hak selama-lamanya, sementara versi Sulu dalam bahasa Tausug menganggapnya sebagai “pajakan” atau sewaan yang boleh dibatalkan.

Berdasarkan tafsiran “pajakan,” Filipina mendakwa bahawa Sabah bukanlah milik British secara mutlak tetapi masih di bawah kedaulatan Kesultanan Sulu.

Pada tahun 1963, ketika Malaysia hendak dibentuk dengan penyertaan Sabah, kerajaan Filipina mengemukakan tuntutan bahawa Sabah adalah sebahagian dari wilayah mereka.

Tuntutan ini dikemukakan melalui PBB dan menjadi isu di peringkat antarabangsa namun Presiden Filipina waktu, Diosdado Macapagal tidak berputus asa mengambil pendekatan diplomatik dengan mengemukakan tuntutan ini bagi mempertahankan apa yang dikatakan sebagai hak kedaulatan Filipina ke atas Sabah bersandarkan kepada hak Kesultanan Sulu.

Walau bagaimanapun, satu pungutan suara yang diadakan oleh Suruhanjaya Cobbold menunjukkan bahawa majoriti rakyat Sabah ingin menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Hasil ini menyebabkan Sabah diakui sebagai sebahagian Malaysia pada tahun 1963 dan terus menolak tuduhan dan dakwaan yang mengatakan Sabah dijajah oleh Persekutuan Tanah Melayu untuk memaksa Sabah membina sebuah negara yang bernama Malaysia.

Tuntutan ini diteruskan melalui perlembagaan Filipina pada 1960-an telah merangkumi Sabah sebagai sebahagian daripada wilayah Filipina walaupun Sabah sudah menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Perlembagaan Filipina yang merangkumi Sabah ini diteruskan dalam perlembagaan 1987, di mana wilayah Filipina termasuk mana-mana kawasan yang “secara sah milik” Filipina merujuk kepada Sabah sebagai wilayah yang masih dipertikaikan.

Tindakan ini memperlihatkan komitmen kerajaan Filipina dalam mempertahankan tuntutan ke atas Sabah.

Hal ini tidak termasuk lagi dengan “kemunculan” kembali pihak waris Kesultanan Sulu yang mahu menuntut kembali Sabah kononnya sebagai hak milik mereka sehingga membawa tuntutan ini ke Mahkamah Agung Perancis namun ditolak tuntutan tersebut oleh pihak mahkamah.

Hal ini menunjukkan bahawa Malaysia berdepan dengan pelbagai ancaman daripada negara lain bukan sahaja China malahan negara serantau seperti Vietnam dan Filipina juga mahu mencemarkan kedaulatan negara.

Rakyat Malaysia terutamanya daripada Sabah perlu berganding bahu bersama kerajaan persekutuan dalam mempertahankan segala hak kedaulatan yang telah sekian lama diperjuangkan oleh Malaysia.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
harga barang naik

Kerajaan Akui Punca Harga Barang Naik Disebabkan Cukai Naik

Next Post
subsidi ron95

Subsidi RON95: Adakah Selamat Bayar Petrol Guna Kad Pengenalan?

Related Posts