Kementerian komunikasi menegeluarkan notis palsu serta menjalankan tindakan pengusiran paksa secara tidak sah terhadap syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB). Menurut kenyataan rasmi MKLSB, bahawa mereka telah diusir secara paksa dari premis Menara KL dalam satu operasi yang dijalankan oleh beberapa agensi kerajaan termasuk Kementerian Komunikasi, PDRM, DBKL dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.
Dalam satu kenyataan media yang tegas dan terbuka, Pengarah Urusan MKLSB, Dato’ Abdul Hamid Shaikh, menyifatkan operasi tersebut sebagai satu tindakan yang melanggar proses undang-undang memandangkan dua kes berkaitan syarikat itu masih dalam perbicaraan di mahkamah. MKLSB turut menolak dakwaan bahawa penutupan operasi adalah untuk kerja penyelenggaraan, sambil menyatakan bahawa tindakan tersebut adalah bertujuan untuk “pengusiran paksa”.
Dalam kenyataan yang sama, syarikat turut membidas Kementerian Komunikasi di bawah pimpinan YB Datuk Fahmi Fadzil kerana didakwa menyalahgunakan kuasa dan agensi kerajaan untuk kepentingan individu dan syarikat tertentu. MKLSB mendakwa terdapat cubaan memadam berita sebenar dari media sosial yang tidak menyebelahi pihak kerajaan melalui campur tangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
MKLSB turut menyangkal dakwaan bahawa peralihan konsesi dilakukan kerana kegagalan dalam pengurusan. Sebaliknya, mereka mendakwa telah mencapai 100% kemajuan kerja dan mematuhi sepenuhnya segala obligasi kontrak berdasarkan laporan rasmi daripada Kementerian Komunikasi sendiri.
Amatlah mengecewakan apabila kerajaan sanggup menindas syarikat yang telah memenuhi semua obligasi kontrak tanpa sebarang masalah, semata-mata untuk memberi laluan kepada pihak berkepentingan. Dimanakah keadilan dalam pengurusan aset strategik negara serta ketelusan dalam pemilihan syarikat konsesi. Adakah syarikat yang telah memenuhi tanggungjawabnya boleh diketepikan sebegitu sahaja?