Isu hamil luar nikah menjadi topik yang membimbangkan dan perlu dipandang secara serius apabila Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri melaporkan seramai 17,646 remaja tidak berkahwin ketika hamil dalam tempoh lima tahun lalu.
Ia merupakan satu jumlah yang agak besar serta membimbangkan dan tidak mustahil jumlah ini akan terus meningkat jika tiada solusi yang diambil untuk menyelesaikan isu ini.
Datuk Seri Nancy Shukri dalam kenyataan beliau juga berkata solusi untuk isu ini akan difokuskan kepada ibu bapa memandangkan golongan ibu bapa ini malu untuk mendedahkan jika berlaku kehamilan dalam kalangan anak remaja iaitu anak-anak mereka kerana bimbang dengan stigma masyarakat.
Ketua Wanita BERJASA, Dr Fadhilah juga berpendapat yang sama iaitu ibu bapa sepatutnya memainkan peranan yang penting dalam memastikan isu hamil luar nikah dalam kalangan anak remaja ini tidak berlaku lagi.
Apa Solusi Yang Terbaik Untuk Isu Hamil Luar Nikah?
Dr Fadhilah berpandangan bahawa ibu bapa yang beragama Islam diseru untuk melihat kembali isu pembinaan keluarga mereka dengan menjadikan ajaran Islam sebagai teras keluarga dan pendidikan anak-anak.
Pendedahan dan pendidikan mengenai batas-batas agama serta sentuhan selamat tidak sepatutnya difokuskan kepada anak-anak perempuan sahaja malahan perlu dilibatkan sekali anak-anak lelaki tentang adab-adab Islam dalam memelihara pandangan dan nafsu.
Anak-anak lelaki ini perlu dididik dengan mentaliti mereka adalah lelaki sejati dan berperanan menjadi pelindung kepada wanita yang terdekat dengan mereka.
Kandungan hiburan yang tidak bertapis dan mudah diakses juga menjadi faktor kepada melonjaknya isu ini sehingga mewujudkan budaya yang tidak sihat dalam kalangan anak remaja.
Pelbagai info, program, bahan bacaan, video dan filem-filem lucah amat mudah untuk diakses oleh semua pihak tanpa mengira lapisan umur mengundang kepada budaya pergaulan bebas sehingga mengundang kepada kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja.
Beliau berpendapat industri filem tempatan agar lebih sensitif terhadap kandungan filem yang dikhuatiri boleh mengundang kepada permasalahan ini.
Menjadikan seks sebagai tarikan tontonan kepada remaja tidak sepatutnya berlaku memandangkan Malaysia sekian lama mengangkat Islam sebagai agama persekutuan.
Bahan hiburan yang lucah sudah boleh didapatkan dengan mudah dan kerajaan diharapkan untuk bertindak serius dalam menapis kandungan yang tidak bermoral ini.
Fenomena kandungan lucah yang merata disebarkan ini nyata membimbangkan yang terbukti lebih 58 peratus aduan diterima serta disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membabitkan kesalahan berkait kandungan lucah pada tahun lepas.
Jika kerajaan boleh bertindak pantas menyekat kandungan media sosial yang mengkritik kerajaan, semestinya kerajaan boleh melakukan tindakan yang sama terhadap kadungan lucah ini.
Sekiranya kerajaan tidak serius bertindak mulai sekarang, hal ini dikhuatiri akan mengundang kerosakan dan kerugian kepada generasi akan datang.
Pemuda hari ini adalah pemimpin pada masa akan datang dan Malaysia memerlukan pemimpin yang beriman, berprinsip, berakhlak serta sejahtera dirinya untuk membawa negara ke mercu kemajuan.