Dakwaan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok yang menyalahkan aplikasi ChatGPT yang menyalahtafsir terjemahannya mengenai sijil halal nyata menampakkan bahawa masih ada ahli politik yang tidak tahu mengenai kepentingan bahasa Melayu.
Terjemahan itu jelasnya tidak menggambarkan secara keseluruhan kenyataannya mengenai sijil halal JAKIM dan hanya dipetik secara terus daripada media berbahasa Mandarin.
Di sini terdapat dua isu yang sepatutnya diberikan perhatian penuh iaitu gagalnya untuk seorang Ahli Parlimen dalam kabinet kerajaan tentang kepentingan menguasai bahasa Melayu dan kesan wujudnya akhbar atau media tempatan yang menggunakan bahasa selain daripada bahasa Melayu.
Mungkin wujud pihak yang cuba membela beliau dengan mengatakan beliau hanya memberi respon dalam bahasa Mandarin kerana ditanya oleh media berbahasa Mandarin namun beliau yang merupakan ahli politik perlu faham tentang pentingnya memartabatkan bahasa Melayu.
Bahasa Melayu adalah identiti nasional kepada Malaysia maka wajar ia diangkat ke martabat yang lebih tinggi.
Besar Kepentingan Bahasa Melayu Kepada Negara
Selain daripada berperanan sebagai lambang identiti nasional, bahasa Melayu juga bertindak sebagai alat perpaduan nasional yang menyatukan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang.
Memang benar Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang bangsa namun sewajarnya bahasa Melayu terus diperkasakan dan mampu dikuasai oleh semua kaum tidak kira dalam urusan rasmi atau bukan rasmi.
Penggunaan bahasa yang sama iaitu bahasa Melayu oleh semua kaum membantu mengelakkan perpecahan dan ketegangan etnik yang mungkin timbul akibat perbezaan bahasa.
Buktinya sudah jelas apabila berlakunya salah faham ramai pihak dalam mentafsir mesej yang ingin disampaikan oleh Teresa Kok akibat wujudnya perbezaan dan jurang penguasaan bahasa yang besar.
Dengan menjadikan bahasa ini sebagai bahasa harian, rakyat Malaysia dapat merasakan kebanggaan terhadap negara dan sejarahnya maka ia mendorong rakyat untuk lebih menghargai warisan kebangsaan dan mengambil bahagian dalam usaha-usaha memperjuangkan kepentingan negara.
Indonesia sudah boleh berbangga dengan menjenamakan bahasa Melayu sebagai bahasa Indonesia namun Malaysia masih lagi mengambil ringan tentang kepentingan bahasa Melayu itu sendiri.