Isu ancaman China terhadap Malaysia dilihat semakin panas apabila dilaporkan kerajaan China telah menghantar surat bantahan kepada Malaysia yang menggesa Malaysia agar menghentikan aktiviti penerokaan minyak dan gas di perairan berhampiran Sarawak kononnya didakwa melanggar sempadan maritim milik China.
China menggunakan tuntutan Nine Dash Line di perairan maritim Laut China Selatan bagi mengabsahkan kawasan sempadan laut milik Malaysia malahan negara Asia Tenggara lain sebagai miliknya.
Malaysia melalui aset ketenterannya telah pun bersiap siaga bagi mengekang kemaraan kapal milik China daripada masuk ke sempadan maritim Malaysia dengan menghantar kapal TLDM Kelas Keris Sundang, KM Arau dan KD Selangor untuk memintas kapal penyelidikan China, Ke Xue San Hao yang melaksanakan penyelidikan haram di kawasan ZEE Malaysia di 150 batu nautika dari Kota Kinabalu.
Bukan sahaja Malaysia malahan Indonesia melalui Pengawal Pantai Indonesia telah menghalau 5 buah kapal China yang memasuki kawasan perairan Indonesia secara haram di 22 Batu Nautika di Utara Tanjung Berakit, Batam.
Konflik antara China dan Filipina juga lebih teruk dalam isu ini apabila terdapat anggota Pengawal Pantai Filipina didapati cedera selepas kapal BRP Teresa Magbanua dilanggar oleh kapal Pengawal Pantai China di perairan Filipina pada akhir Ogos 2024.
China secara jelasnya membawa ancaman yang besar bukan sahaja kepada Malaysia malahan terhadap negara jiran yang lain juga.
Ancaman China Terhadap Malaysia Dikhuatiri Diserang Secara Dalaman
Kerajaan malahan rakyat Malaysia juga sepatutnya khuatir jika China mengambil langkah yang lebih berbahaya iaitu menghantar perisiknya ke Malaysia untuk melakukan tindakan pencerobohan keselamatan secara dalaman.
Malahan tidak mustahil China cuba merekrut orang berkepentingan yang terdiri daripada rakyat Malaysia untuk menggugat keselamatan negara.
Rancangan ini telah pun dilakukan oleh China terhadap Filipina apabila seorang bekas datuk bandar di Filipina iaitu Alice Guo telah dikehendaki oleh kerajaan Filipina kerana didapati bertindak sebagai perisik kepada China.
Beliau didapati bersalah kerana melindungi melindungi pusat kasino di Bamban yang memfokuskan untuk menarik pelancong daripada China untuk berjudi di Filipina.
Tindakan beliau yang bersubahat dengan China ini boleh mengancam keselamatan Filipina yang kini sedang pun berkonflik dengan negara tanah besar itu dalam isu Laut China Selatan.
Portal berita BBC Indonesia turut membangkitkan isu ini dengan mengatakan bahawa makin meningkatnya tindakan perisikan China terhadap negara lain.
Hal ini tidak mustahil Malaysia juga menjadi salah satu mangsanya ditambah pula wujudnya peningkatan kedatangan rakyat China ke Malaysia dengan tujuan untuk berniaga mahupun belajar.
Bukannya ingin mewujudkan tanggapan yang buruk namun kerajaan sepatutnya khuatir jika ada sebahagian daripada mereka datang ke sini dengan niat yang salah iaitu cuba menceroboh keselamatan negara dengan tinggal di Malaysia.
Malaysia Dan ASEAN Perlu Bersatu Padu Dalam Isu China
China yang merupakan negara kuasa besar dunia setanding dengan Amerika Syarikat (AS) memang agak sukar untuk disaingi oleh Malaysia.
Melihat kepada saiz ketenteraan dan aset milik tentera China, agak sukar untuk Malaysia berhadapan dengan China bagi memastikan keselamatan negara kita terjamin.
Memandangkan negara rantau lain juga berhadapan dengan masalah yang sama, seeloknya Malaysia bersama negara ASEAN yang lain bersatu padu dalam ‘melawan’ China daripada terus berani menceroboh sempadan laut masing-masing.
China sedar kekuatan laluan laut perdagangan dunia terletak pada Malaysia dan Indonesia yang masing-masing mempunyai daulat terhadap Selat Melaka maka China semestinya khuatir jika laluan ini digunakan oleh kedua negara ini untuk menyerang China.
Sudah masanya untuk ASEAN lebih berani bagi menjaga keamanan dan keharmonian rantau Asia Tenggara secara bersama.