Isu 3R di Malaysia yang melibatkan race, religion and royal sering dimainkan di dalam pentas politik nasional Malaysia.
Perdebatan mengenai terma penggunaan 3R ini sering dibahaskan kerana pihak pembangkang melihat ia sebagai satu bentuk penekanan politik terhadap pembangkang untuk menutup suara mereka dalam politik.
Kerajaan pula melihat 3R di Malaysia ini penting untuk mengelakkan isu perkauman daripada terus dimainkan oleh pihak pembangkang yang kononnya dikatakan cuba membawa imej Malay centric sehingga menepikan kepentingan kaum lain.
Namun demikian, salah laku penggunaan 3R oleh kerajaan boleh dibuktikan melalui tindakan Ahli Parlimen Kepong draipada DAP iaitu Lim Lip Eng yang membuat laporan polis terhadap kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man yang dituduh mencetuskan isu 3R dalam ucapannya.
Beliau menuduh Tuan Ibrahim Tuan Man cuba mencetuskan sentimen perkauman kerana menggesa semua kaum memperkasakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Satu tindakan yang tidak logik untuk dakwaan itu dibuat kerana mengajak semua kaum untuk memperkasakan bahasa kebangsaan bukannya satu tindakan yang perkauman.
Hal ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan sekarang ini sendiri tidak jelas apa yang dimaksudkan dengan 3R.
Apakah Yang Dimaksudkan Dengan 3R?
Secara spesifiknya, isu 3R ini merujuk kepada manipulasi atau eksploitasi tiga perkara sensitif dalam konteks politik di Malaysia yang mana ketiga-tiga elemen ini merupakan asas penting dalam identiti dan struktur sosial masyarakat Malaysia.
Namun ia sering kali dieksploitasi oleh pihak tertentu untuk meraih sokongan politik, menimbulkan ketegangan atau menyemai perpecahan dalam masyarakat majmuk Malaysia.
Dalam masa yang sama juga ia cuba dieksploitasi oleh pihak kerajaan untuk menutup suara pihak pembangkang dalam bersuara sedangkan ada sebahagian kenyataan yang diucapkan mereka adalah benar.
Isu kaum yang sering dibangkitkan dalam konteks 3R oleh kedua belah pihak ialah topik persoalan mengenai hak keistimewaan, peluang ekonomi, pendidikan dan politik antara kaum sering kali digunakan sebagai alat politik.
Konteks ini sering ditujukan kepada pembangkang kerana mereka sentiasa berada di dalam mood menyerang namun ada juga ahli politik kerajaan yang memainkan isu ini seperti yang dilakukan oleh Teresa Kok.
Hal ini sama juga dengan sikap yang tidak bertanggungjawab oleh beberapa ahli politik kerajaan yang cuba memainkan isu sentimen agama seperti yang dilakukan oleh Lim Guan Eng daripada DAP.
Beliau cuba menakut-nakutkan pengundi Cina di Pulau Pinang dengan menggelar pengundi Melayu dan Islam yang semakin kuat ini sebagai Gelombang Hijau dan menggelar kerajaan negeri Kelantan yang dipimpin oleh PAS sebagai Kerajaan Taliban.
Bukan itu sahaja malahan bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dalam kenyataannya pada Februari 2024 didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong dan seperti mahu cuba menghuru-harakan kestabilan politik negara yang telah dicapai di bawah Kerajaan Perpaduan.
Hal ini jelas menunjukkan sentimen 3R bukan sahaja dimainkan oleh pihak pembangkang malahan rakan politik di dalam blok kerajaan juga memainkan sentimen yang sama dengan cuba mengapi-apikan isu politik di Malaysia.
Walaubagaimanapun, kerajaan hanya berminat untuk menggambarkan pihak pembangkang sahaja yang bermain dengan isu 3R dengan harapan tindakan daripada pihak berkuasa dapat diambil terhadap mereka.
Wujudkan Dan Perkasakan Akta 3R Malaysia
Kekeliruan terhadap isu 3R ini boleh diselesaikan jika kerajaan bersikap jujur dan mempunyai political will untuk mewujudkan satu akta bagi mengekang isu dan disalahgunakan oleh kedua-dua belah pihak.
Walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman mengatakan bahawa undang-undang 3R sebenarnya sudah digubal sejak 7 dekad lalu namun kerajaan perlu juga untuk menggubal dan memperbaharui akta sedia ada seperti Akta Hasutan 1948, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Kanun Keseksaan.
Kerajaan perlu mengkaji semula kerelevanan undang-undang yang sedia ada untuk memastikan perundangan selaras dengan perkembangan semasa susulan peningkatan kes provokasi 3R sejak kebelakangan ini.
su politik 3R merupakan isu yang sangat sensitif di Malaysia kerana ia melibatkan tiga elemen utama dalam kehidupan masyarakat Malaysia: kaum, agama, dan institusi diraja
Walaupun ia merupakan komponen penting dalam struktur sosial dan politik negara, ia sering kali dieksploitasi untuk tujuan politik yang boleh menyebabkan ketegangan dan perpecahan dalam masyarakat.
Justeru, semua pihak perlu mengambil pendekatan yang bijaksana dan berhati-hati dalam membincangkan isu-isu ini agar perpaduan dan keharmonian masyarakat dapat dikekalkan.