Puchong – Pengumuman daripada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkenaan tawaran Skim Simen Rahmah yang diperkenalkan pada pertengahan April lalu.
Sebanyak 1 juta tan metrik simen pukal ditawarkan oleh Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia (C&CA) di bawah Inisiatif Skim Simen Rahmah.
Beliau menambah, harga setiap tan metrik simen yang ditawarkan ialah RM290 berbanding harga pasaran semasa iaitu RM410 setiap tan.
Untuk nilai harga kampit pula, nilai harga kampit simen di pasaran berjumlah RM22.50 sen sekampit dan akan diturunkan kepada RM17.50 sekampit.
Ini satu langkah yang baik bagi menurunkan harga rumah memandangkan punca utama kepada kenaikan harga jualan rumah adalah daripada bahan binaan rumah itu sendiri terutamanya simen.
Isu rumah yang tidak terjual di Malaysia sering dibincangkan oleh kerajaan daripada dahulu sehingga sekarang.
Terkini, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan mendedahkan sebanyak 27,746 unit rumah bernilai RM18.41 bilion masih tidak terjual setakat akhir Disember 2022 lalu.
Daripada jumlah itu, kediaman berharga RM500,000 hingga RM1 juta paling tidak terjual iaitu sebanyak 33.6 peratus atau 9,323 unit melibatkan RM6.29 bilion.
Dengan penurunan harga simen melalui Skim Simen Rahmah ini, isu rumah yang tidak terjual mungkin boleh dikurangkan dari semasa ke semasa.
Walaupun isu harga rumah tidak terjual ada sinar ia dapat diselesaikan namun saya jamin harga rumah yang mahal akan sentiasa berada di dalam pasaran rumah Malaysia.
Laporan berita baru-baru ini melaporkan bahawa berkemungkinan besar warga asing akan beralih ke pasaran hartanah dan rumah di Malaysia untuk membelinya sebagai aset mereka.
Hal ini berikutan langkah Singapura menggandakan cukai hartanah bagi bukan pemastautin pada minggu lalu.
Singapura menggandakan kadar cukai bagi warga asing yang membeli hartanah kediaman daripada 30 peratus kepada 60 peratus untuk mengelakkan daya apungan susulan permintaan hartanah mewah yang berlebihan daripada pembeli luar negara serta mengekalkan kemampuan memiliki rumah rakyat tempatan.
Juwai IQI meramalkan peningkatan kira-kira 15 peratus pembelian asing di Malaysia dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Melihat kepada situasi ini, saya beranggapan isu rumah tidak terjual agak sukar untuk diselesaikan.
Pemaju tetap akan menaikkan harga rumah mereka kerana mereka yakin pembeli daripada luar Malaysia akan membelinya.
Pengasas Transform Borders, Sulochana Uthirapathi, dia menyedari terdapat peningkatan pertanyaan daripada warga China yang merancang untuk berpindah ke Singapura bulan lalu.
Jika bukan Singapura sekalipun, Malaysia dan Thailand adalah pilihan mereka untuk membeli rumah dan hartanah.
Maka di sini timbulnya persoalan, adakah isu rumah yang tidak terjual ini akan selesai melalui Skim Simen Rahmah?
Rumah yang tidak terjual sememangnya tidak mampu dimiliki oleh rakyat tempatan namun ia mampu dibeli oleh warga asing yang kaya.
Isu ini tidak akan selesai kerana pihak pemaju hanya menginginkan pembeli yang mampu membayar harga yang telah ditetapkan oleh mereka.