KUALA LUMPUR – Isu kedatangan warga China yang masuk Malaysia menjadi semakin panas apabila dilaporkan jumlah warga China yang masuk dan menetap di Malaysia telah hampir dua kali ganda.
Menurut laporan yang sama daripada Financial Times, kemasukan warga China ini ke Malaysia dalam jumlah yang ramai didorong oleh kemasukan pelabur baru dan pelajar yang menjadikan Malaysia sebagai peluang untuk mereka dalam ekonomi mahupun pendidikan.
Pengarah Institut Kajian China di Universiti Malaya, Ngeow Chow Bing menyatakan kepada Financial Times bahawa kini terdapat 150,000 hingga 200,00 warga China di Malaysia, berbanding kira-kira 82,000 pada tahun 2022.
Kemasukan yang begitu ramai ini didorong oleh pelbagai faktor iaitu pertumbuhan ekonomi China yang semakin perlahan serta peraturan perniagaan yang lebih ketat mendorong mereka mencari peluang ekonomi di luar negara. Hal ini ditambah dengan potensi negara Asia Tenggara iaitu Malaysia yang dilihat lebih mampu milik untuk keluarga kelas pertengahan menjana ekonomi.
Selain itu, inisiatif kerajaan melalui program Malaysia My Second Home (MM2H) juga menarik minat rakyat China kelas pertengahan untuk datang menetap di sini dengan syarat membeli sebuah hartanah bernilai sekurang-kurangnya RM600,000, selain memasukkan USD150,000 (kira-kira RM710,000) dalam simpanan tetap, bererti komitmen kewangan minimum sekitar RM1.3 juta.
Dalam rekod peserta MM2H, rakyat China yang memegang pas aktif tertinggi iaitu seramai 24,765 orang.
Bukan itu sahaja malahan rakyat China juga datang ke Malaysia untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tertinggi di Malaysia berbanding di negara Eropah bagi mengelakkan sentimen anti- China di sana.
Menurut Kementerian Pendidikan, tahun lepas sahaja mencatatkan seramai 44,000 pelajar China memasuki institusi pendidikan tinggi di Malaysia.
Keadaan ini telah mengingatkan kepada isu tergempar yang berlaku pada 2022 apabila dilaporkan lebih 1.2 juta warga China dikesan tidak keluar dari Malaysia selepas tiba ke negara ini dalam tempoh di antara 2018 hingga 2021.
Kemasukan warga China ini juga seakan tidak terkawal ibarat kata wakil Persatuan Usahawan China yang mengatakan setiap minggu akan tiba orang baru dari China ke Malaysia.