Pelaburan Langsung Asing: Kebergantungan Tinggi Yang Mengundang Padah

pelaburan langsung asing

KUALA LUMPUR – Nama-nama firma gergasi seperti Microsoft, Amazon dan Google sering menitip di bibir menteri dengan mengatakan mereka berjaya membawa masuk pelaburan langsung asing daripada luar. Mereka berpendapat kemasukan pelaburan langsung asing daripada luar merupakan satu simbol kejayaan untuk kerajaan mahupun negara dalam menguruskan ekonomi.

Namun demikian, penganalisis dan pakar ekonomi mengingatkan kerajaan agar tidak terlalu bergantung kepada kemasukan pelaburan langsung asing dalam menunjukkan prestasi ekonomi negara.

Pakar ekonomi tidak menafikan aliran FDI memainkan peranan yang besar dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan penciptaan peluang pekerjaan, perniagaan dan industri baru.

Bagaimanapun, mereka menganggap adalah tidak mampan bergantung kepada FDI.

Amanda Yeo, felo kanan di Pacific Research Center, berkata FDI mengakibatkan ekonomi Malaysia bergantung kepada keputusan syarikat asing yang melabur, yang boleh dipengaruhi oleh keadaan pasaran global atau ketidakstabilan politik.

“Peralihan teknologi mungkin tidak lengkap, membataskan keupayaan Malaysia untuk mencipta teknologi sendiri dalam jangka masa panjang,” katanya kepada MalaysiaNow.

Menurut Yeo, syarikat asing sering mengalihkan sebahagian besar keuntungan mereka dan mengehadkan sumber yang ada untuk pelaburan domestik.

“Selain itu, FDI mungkin tertarik dengan gaji Malaysia yang rendah, sekali gus menghalang penciptaan industri bernilai tinggi,” tambahnya.

FDI sememangnya memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan pembangunan ekonomi Malaysia. 

Di bawah pemerintahan British, FDI digunakan untuk pemodenan ekonomi Tanah Melayu melalui pengembangan industri getah dan bijih timah. 

Selepas kemerdekaan, corak FDI di Malaysia berubah secara mendadak, mencerminkan peralihan dalam dasar tempatan dan sistem pengeluaran global.

Ia menjadi semakin penting selepas 1960-an yang menyaksikan perubahan dasar berorientasikan import kepada orientasi eksport. 

Peralihan ini disertai dengan aliran masuk FDI yang besar, yang membantu melonjakkan Malaysia ke status berpendapatan sederhana.

Bagi pakar ekonomi Doris Liew, kebergantungan berlebihan terhadap wang yang masuk daripada luar membawa kepada sikap mudah berpuas hati dalam membangunkan ekonomi negara. 

Menurutnya, syarikat asing tidak mempunyai kepentingan dalam membina daya tahan ekonomi Malaysia.

“Fokus mereka terletak dalam keuntungan jangka pendek, membawa kepada amalan-amalan ekstraktif,” katanya.

Dalam negara berdagang secara terbuka seperti Malaysia, para pelabur yang menarik wang mereka keluar mampu mengakibatkan ketidakstabilan ekonomi. 

Ini dapat dilihat semasa krisis kewangan Asia pada 1997 yang mana para pelabur membawa wang keluar daripada pasaran, sekali gus mencetuskan panik dan mengakibatkan negara Asia berdepan masalah ekonomi yang teruk.

Liew berkata kebergantungan membantutkan inovasi dan kepelbagaian ekonomi yang boleh mengakibatkan kurangnya penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam negara. 

Dia mencadangkan pendekatan lebih seimbang, dengan menggalakkan inovasi domestik dan terus menarik FDI secara strategik untuk ekonomi yang lebih mampan.

“Kewujudan syarikat berkait kerajaan berskala besar dan gergasi tempatan seperti Petronas dan Sime Darby, yang menyumbang secara signifikan kepada ekonomi, menunjukkan yang kita tidak hanya bergantung kepada FDI,” katanya.

Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim, yang mengetuai badan pemikir IRIS Institute berkata negara mesti merangka satu pelan nasional supaya industri tidak bergantung kepada syarikat multinasional.

Beliau memberi contoh amalan di Korea Selatan dan Jepun. 

“FDI yang ingin dibawa masuk pun mesti disusun supaya membawa pulangan jangka panjang dan bukan sekadar ‘menyediakan pekerjaan’.

“Misalnya perlu ada pemindahan teknologi dan pengetahuan yang sebenar sehingga rakyat kita sendiri boleh membangunkan industri tersebut tanpa bergantung kepada ilmu luar,” katanya, memberi contoh Turki yang berjaya membangunkan industri dron dan jet pertahanan.

SUMBER – Malaysia Now

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
subsidi diesel bersasar

Subsidi Diesel Bersasar: Agenda Tersembunyi Pihak Tertentu?

Next Post
korupsi

Pemimpin Korupsi: Imej Negara Tercalar

Related Posts