Petaling Jaya – Perikatan Nasional (PN) mendakwa Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid telah diugut dan berlaku intimidasi terhadap beliau.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ugutan itu dibuat bagi mendapatkan sokongan supaya kerajaan Madani kembali memperoleh sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen.
“Pada 1 Oktober, Ahli Parlimen Kuala Kangsar dibawa untuk bertemu dengan seorang pegawai tertinggi SPRM di sebuah hotel di Damansara dan diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah sekiranya enggan menandatangani kenyataan media yang telah pun disediakan lebih awal untuk menyokong kerajaan.
“Sebelum itu, pada 26 September, Ahli Parlimen Kuala Kangsar juga telah didatangi seorang taikun perniagaan bergelar Tan Sri yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri di sebuah lokasi sekitar Damansara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Hamzah mendakwa, Iskandar Dzulkarnain Beliau telah ditekan dan didesak untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta dijanjikan habuan wang ringgit dan kedudukan dalam beberapa syarikat.
“Dalam pertemuan bersama Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Datuk Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Kuala Kangsar juga kelihatan amat tertekan akibat intimidasi yang dikenakan terhadap beliau.
“PN pada masa yang sama kesal di atas kenyataan media yang dibuat secara terburu-buru oleh Ahli Parlimen Kuala Kangsar,” jelasnya.
Katanya, kenyataan dengan menggunakan hujah peruntukan pembangunan sebagai alasan amat berbeza dengan penjelasan yang diberikan kepada beberapa pemimpin parti.
“Perikatan Nasional mendesak Kerajaan Madani menghentikan tindakan salah guna kuasa dan intimidasi terhadap semua Ahli Parlimen.
“Amalan seperti ini amat bertentangan dengan prinsip demokrasi yang diamalkan dalam sebuah negara yang menjunjung tinggi Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang,” tambahnya.
Selain itu katanya, PN mengambil maklum ketetapan Mesyuarat Biro Politik Bersatu untuk memanggil Ahli Parlimen Kuala Kangsar untuk mendapatkan penjelasan sebelum mengambil tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE