Subsidi Diesel Bersasar: Agenda Tersembunyi Pihak Tertentu?

subsidi diesel bersasar

SHAH ALAM – Pelaksanaan subsidi diesel bersasar telah menyebabkan beberapa harga barangan mula naik daripada sebelum ini. Tinjauan di media sosial menunjukkan sudah ada kedai-kedai yang memberikan notis kenaikan harga barang susulan pengenalan kerajaan untuk melaksanakan subsidi diesel bersasar bermula hari Ahad malam yang lepas.

Nyatalah bahawa pelaksanaan langkah ini membebankan rakyat dan mendapat reaksi yang agak kurang popular daripada mereka.

Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan Mohd Sharif juga turut berkongsi pendapat yang sama yang mana beliau melahirkan rasa sangsi dengan pelaksanaan langkah ini. Beliau mengatakan agak susah untuk mempercayai ‘kejujuran’ kerajaan sekarang dalam perkara yang berkaitan dengan subsidi.

Beliau menegaskan “track record” mereka sangat buruk dalam menguruskan ekonomi apatah lagi untuk menguruskan berbilion ringgit yang kononnya hasil daripada penjimatan hasil daripada kenaikan harga minyak. Malah, beliau juga berpendapat beberapa perkara yang rakyat wajar khuatirkan.

“Saya berpendapat kerajaan lebih mendengar cakap pihak daripada luar. Saranan pemansuhan subsidi ini tidak lain dan tidak bukan datangnya daripada pihak luar iaitu Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Dua entiti antarabangsa ini sentiasa konsisten dengan saranan ini dan Perdana Menteri kita mempunyai sejarah hubungan yang baik dengan mereka”.

“Selain itu, soal angka penyeludupan yang agak merepek dan saya melihat ia hanya sebagai wayang dan rekaan kerajaan sahaja tanpa sebarang fakta yang jelas. Jika benar ada kegiatan penyeludupan, mengapa tidak perkasakan dahulu penguatkuasaan di sempadan? Adakah kegiatan ini hanya berlaku di Semenanjung Malaysia dan Sabah Sarawak tiada taikun yang menjalankan kegiatan haram ini di sana?”, tegas beliau.

Tambah beliau lagi, beliau juga khuatir jika wang dalam jumlah berbilion itu hasil penjimatan subsidi yang sepatutnya dibelanjakan kepada rakyat telah “dialihkan” kepada pemain-pemain kapitalis. Jumlahnya ini tidak sedikit kerana melibatkan perbelanjaan pembangunan untuk rakyat.

“Saya juga ingin bertanya kepada kerajaan apa perancangan mereka dalam menguruskan berbilion wang subsidi yang dimansuhkan tersebut? Saya pasti jawapannya tidak ada”.

“Jadi saya ingin mendesak kerajaan agar kembalikan semula subsidi diesel dan tingkatkan penguatkuasaan yang lebih ketat”.

“Saya yakin selepas ini juga kerajaan akan sasarkan petrol pula untuk dimansuhkan subsidinya atas alasan penjimatan”, kata beliau.

Beliau juga sempat menempelak pendokong kerajaan semasa yang mempertahankan tindakan ini dengan terus mendiamkan diri sedangkan dahulunya mereka yang menyertai demonstrasi anjuran parti mereka untuk menentang kerajaan terdahulu.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
diesel beras

Selepas Diesel, Beras Pula Dicadangkan Naik Harga

Next Post
pelaburan langsung asing

Pelaburan Langsung Asing: Kebergantungan Tinggi Yang Mengundang Padah

Related Posts