PUTRAJAYA – Kerajaan telah memberikan kelulusan kepada syarikat China Communication Construction Company (M) Sdn Bhd (CCCC) untuk membawa masuk pekerja asing daripada luar negara untuk menjadi tenaga buruh di dalam projek East Coast Rail Link (ECRL). Kerajaan juga bersetuju untuk memanjangkan lagi masa kepada CCCC membawa masuk pekerja asing ini.
Tegas Menteri Dalam Negeri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail bahawa keizinan ini diberikan oleh kerajaan memandangkan projek ECRL ini adalah projek berimpak tinggi dan amat menitikberatkan soal tempoh masa untuk menyiapkannya.
Pada Mac yang lalu, beliau mengatakan bahawa tempoh mendaftarkan pekerja asing akan dipanjangkan lagi tempohnya berbanding tarikh akhir asal pendaftaran yang sebenar pada 31 Mei.
Beliau juga berkata antara 17 Januari and 23 Mac tahun lalu, 58 peratus daripada 239,305 telah diberikan visa untuk datang bekerja di Malaysia.
Hal ini tidak selari dengan janji dan matlamat asal kerajaan untuk menyokong pembangunan pekerja tempatan dalam industri berkemahiran tinggi. Hal ini merupakan satu peluang yang besar kepada warga tempatan untuk terlibat sekali di dalam projek mega yang berimpak tinggi.
Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) sebagai pemilik ECRL berkata pada 2018 bahawa hanya 30 peratus daripada sumber manusia yang terlibat di dalam projek ini akan terdiri daripada warga asing dari China dan negara-negara Asia lain.
MRL berkata terdapat usaha berterusan sejak September 2017 untuk merekrut pekerja tempatan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan juga di Lembah Klang.
Pekerja berkenaan kemudiannya akan melalui program latihan yang meluas bagi memenuhi syarat mereka untuk pekerjaan oleh kontraktor induk atau subkontraktor.
“Program latihan kami akan menawarkan latihan kepada anak tempatan bagi mengendalikan beberapa jenis jentera yang akan dibawa masuk dari China,” kata MRL.
Dalam sumber yang lain pula, mengikut laporan kemajuan ECRL pada suku tahun ketiga 2022 yang dikeluarkan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) baru-baru ini, jumlah keseluruhan pekerja sehingga November 2022 adalah 13,767.
Daripada jumlah itu 4,839 adalah pekerja tempatan, manakala pekerja asing yang terdiri daripada warga China dan negara lain adalah 8,928 orang.
Angka ini menunjukkan peratusan pekerja tempatan pada tahap 35 peratus masih jauh daripada sasaran kuota 70 peratus pekerja tempatan ditetapkan oleh MRL Sdn Bhd.
Hal ini juga seakan membenarkan dakwaan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) mempersoalkan data berkaitan pembabitan kontraktor bumiputera dalam projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) seperti diumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada 10 Dis lalu.
Kerajaan sepatutnya lebih mengutamakan warga tempatan untuk bekerja di dalam projek mega ini memandangkan MRL adalah pemilik utama projek ini manakala CCCC hanya berperanan sebagai kontraktor utama sahaja. Penglibatan warga tempatan di dalam projek ini akan memberikan mereka pendedahan mengenai penggunaan teknologi baharu seterusnya dapat memperoleh ilmu baharu melalui pemindahan idea dan kemahiran.
Usaha lebih giat perlu dibuat untuk menggalakkan warga Pantai Timur dan Selangor merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan daripada peringkat pengurusan, kejuruteraan dan teknikal sehingga ke peringkat pekerja mahir dan separuh mahir pembinaan serta memberi jaminan perlindungan sosial dan manfaat-manfaat lain khusus buat warga tempatan.