NGO Melayu sebenarnya boleh memainkan peranan yang lebih besar lagi jika boleh bersatu padu dalam memperjuangkan semua isu yang memberikan kebaikan kepada negara dan rakyat.
NGO (Non-Governmental Organization) merujuk kepada organisasi yang beroperasi secara bebas daripada kerajaan dan tidak berasaskan keuntungan.
Ia ditubuhkan dengan tujuan untuk melaksanakan aktiviti kemanusiaan, sosial, alam sekitar, pendidikan dan pelbagai bidang lain yang bertujuan untuk kebaikan masyarakat.
Dalam konteks yang ditegaskan oleh Presiden BERJASA Zamani Ibrahim, NGO yang dimaksudkan perlu bersatu padu ini ialah satu kumpulan badan pertubuhan yang lantang memperjuangkan isu berkaitan politik dan kepentingan rakyat itu sendiri.
Besar Peranan NGO Melayu Di Malaysia
Zamani Ibrahim menegaskan NGO Melayu sekarang perlunya ada penyatuan bagi memastikan peranan mereka boleh dimainkan dengan lebih besar lagi.
Sungguh rugi apabila beliau melihat sekarang mereka ini kebanyakannya banyak bergantung kepada parti politik yang mempunyai kepentingan mereka tersendiri.
Beliau juga sebelum ini pernah berhubung dengan pegawai daripada YADIM yang bertanggungjawab menghubungkan kerjasama antara YADIM dengan NGO luar namun sayangnya mereka seakan telah menetapkan dengan NGO manakah yang mereka ingin lakukan kerjasama.
Beliau tegaskan YADIM sepatutnya memainkan peranan yang lebih besar dengan mengumpulkan semua NGO Melayu di Malaysia ini seterusnya menjadi induk dan payung untuk semua NGO ini.
“Semak imbang boleh dimaninkan oleh YADIM dengan berperanan sebagai satu badan yang boleh melihat mana yang betul dan salah kepada NGO-NGO ini.
“NGO Melayu ini boleh memainkan peranan yang lebih besar bukan sahaja di Malaysia malahan di kawasan Nusantara juga manfaat ini boleh dikongsi bersama”, tegas beliau.
NGO Melayu tidak perlu bergantung di bawah parti politik kerana ia akan mencacatkan peranannya sebagai kuasa pendesak kepada parti politik.
Tambah beliau lagi, NGO yang boleh bergerak secara sendiri boleh berkembang dengan lebih jauh kerana tidak mewakili kepentingan mana-mana pihak.
Oleh hal yang demikian, NGO-NGO Melayu perlu mengambil langkah segera menyantuni NGO lain untuk bergerak bersama atas dasar penyatuan.
Banyak isu yang boleh difokuskan dan diperjuangkan secara bersama antaranya tanah rizab Melayu, pendidikan dan ekonomi Bumiputera.