Prestasi nilai mata wang Ringgit yang terus mengukuh nyata mendapat reaksi yang positif dalam kalangan rakyat Malaysia sehingga dianggarkan boleh mencecah 3.55 berbanding dolar AS pada akhir 2025 namun amat menghairankan harga komoditi penting seperti harga ayam tidak menunjukkan penurunan.
Sepatutnya pengukuhan nilai ringgit ini memberi impak yang besar kepada pengusaha ayam kerana kos pengeluaran telah berkurang sehingga 70 peratus.
Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Dr Terry Tan sendiri mengakui perkara tersebut susulan harga import jagung dan kacang soya untuk makanan ternakan jatuh secara drastik iaitu sekitar 60 hingga 70 peratus ketika ini.
Namun demikian, beliau berkata pengukuhan ringgit tidak menjanjikan harga ayam akan turun kerana ia ditentukan oleh hukum ekonomi.
Hukum Ekonomi Tentukan Naik Dan Turun Harga
Beliau menegaskan naik dan turun harga tersebut ditentukan oleh penawaran dan permintaan yang bermakna jika bekalan kurang dan permintaan tinggi, harga ayam akan kekal seperti sekarang dan tidak akan turun.
Berbicara soal bekalan ayam di Malaysia, industri ternakan ayam sering mengalami masalah kekurangan bekalan ayam untuk memenuhi permintaan pengguna di Malaysia.
Berita Harian pada tahun lepas melaporkan industri ternakan ayam sedang berhadapan masalah 20 peratus kekurangan bekalan ayam.
Sebelum ini kenaikan harga ayam mentah di pasaran mungkin boleh diterima kerana kos makanan ayam yang diimport mahal akibat kelemahan nilai mata wang Ringgit namun kini harganya masih kekal disebabkan mengikut hukum permintaan dan penawaran.
Harga Ayam Tidak Akan Turun Jika Terus Mengikut Hukum Permintaan & Penawaran
Dalam kalangan negara Asia Tenggara, rakyat Malaysia paling banyak makan ayam iaitu purata 50.2 kg seorang dalam setahun diikuti Singapura (36 kg), Myanmar (29.9 kg) dan Filipina (15.9 kg) menurut Pertubuhan Makanan dan PBB (FAO).
Angka ini sentiasa meningkat saban tahun dan akan terus menjadikan rakyat Malaysia antara pemakan ayam yang paling ramai di Asia Tenggara.
Masalah bekalan ayam yang berkurang seakan tidak diberikan perhatian yang serius oleh kerajaan sedangkan permintaan terhadap sumber protein ini sentiasa meningkat.
Jika pembekal ayam ingin terus menggunakan alasan harga ayam tidak boleh turun mengikut hukum permintaan dan penawaran, sampai bila-bila pun harga ayam tidak akan turun walaupun nilai Ringgit terus naik.