Wakafkan Tanah Rizab Melayu Agar tidak terjual

BANGI – Kerajaan sepatutnya mewakafkan tanah rizab Melayu mengikut kadar yang telah sedia ada ditetapkan agar tidak terjual dan jatuh di tangan pihak lain.

Berikut merupakan cadangan yang dilontarkan oleh Presiden BERJASA, Haji Zamani Ibrahim mengenai isu tentang pengurangan peratus tanah rizab Melayu sekarang. Beliau mengambil contoh tentang perkara yang berlaku di Negeri Sembilan apabila tanah rizab Melayu di sana hanya tinggal berbaki 5.49% sahaja berbanding kadar peratusan 50% yang sepatutnya ada.

Tambah beliau lagi, isu ini perlu dipandang secara serius memandangkan amanat ini telah disampaikan oleh raja-raja Melayu dalam wasiat mereka bahawa wajib dikekalkan kadar 50% tanah di seluruh Malaysia sebagai tanah rizab Melayu dan selebihnya dibuka kepada pemilikan mana-mana kaum secara bebas. Agak menghampakan apabila melihat tanah rizab Melayu semakin mengecil peratusannya dan kerajaan masih memandang sepi mengenai isu ini.

“Dalam perlembagaan juga telah menetapkan mana-mana tanah rizab Melayu yang telah diambil oleh kerajaan untuk sebarang tujuan misalnya pembangunan perlu digantikan semula berdasarkan ciri-ciri, sifat dan nilai tanah yang telah ditetapkan mengikut kadar yang telah diambil. Ini menunjukkan untuk mengambil tanah rizab Melayu itu bukan satu yang mudah sebenarnya”.

“Namun tidak langsung dilakukan oleh kerajaan. Mereka langsung tidak menggantikannya semula dan tidak memikirkan kesan akibat pengambilan tanah itu. Pada saya, kerajaan telah pun melanggar perlembagaan itu sendiri. Jika benar kerajaan mematuhinya, mengapa tanah rizab Melayu di seluruh Malaysia hanya tinggal 12% berbanding 50% sekarang?”, soal beliau.

Selain itu, dengan memberikan contoh di Selangor apabila kerajaan mengambil tanah rizab sebanyak 12,000 hektar maka sepatutnya kerajaan sudah ada tanah ganti mengikut keluasan yang mereka ambil. Perkara ini mengikut kehendak undang-undang namun sebaliknya ia tidak berlaku apabila kerajaan negeri Selangor baharu sahaja menggantikannya sebanyak 7,000 hektar dan 5,000 hektar lagi masih lagi belum digantikan sehingga sekarang.

“Kerajaan sepatutnya ada satu pemikiran yang merasakan ini tanggungjawab yang besar untuk mereka menjaga keluasan tanah rizab Melayu. Selain di Selangor, perkara sama juga di Negeri Sembilan apabila Seremban 2 yang merupakan tanah rizab Melayu masih lagi belum digantikan hingga sekarang. Akhirnya setakat yang saya sedia maklum tanah rizab Melayu di Negeri Sembilan hanya tinggal 5.49% sahaja”.

“Sebab itu saya fikir isu ini perlu diselesaikan melalui penguatkuasaan undang-undang seperti mana-mana orang Melayu yang ingin menjual tanah perlu rujuk pada fatwa yang mengatakan haram hukumnya menjual tanah milik orang Melayu dan Islam kepada bukan Melayu dan Islam. Fatwa ini juga perlu diwartakan supaya ia jelas menjadi kesalahan bagi orang Melayu menjual tanah kepada orang bukan Melayu di sisi undang-undang”.

“Kerajaan negeri juga sepatutnya apabila membentangkan bajet belanjawan negeri perlu memperuntukkan bajet dan peruntukkan untuk menebus kembali tanah rizab Melayu yang lambat diganti. Bukan itu sahaja malahan tanah yang ingin diambil ini perlu mendapat perkenan raja mahupun sultan terlebih dahulu”, tegas beliau.

Beliau berpendapat tanah merupakan simbol kepada kekuasaan maka hilang tanah maka hilang kuasa bagi bangsa dan negara itu. Selain itu juga, beliau sempat mengutarakan pendapat yang beliau rasakan boleh diperincikan terlebih dahulu iaitu semua tanah rizab Melayu ini perlu diwakafkan dan dan menjadin tanah wakaf kerajaan. Boleh dimajukan namun kekal sebagai tanah wakaf dan beliau meminta agar pendapat ini boleh dikaji terlebih dahulu mengikut kesesuaiannya.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Akta Parlimen Berpenggal bakal jadikan kerajaan, PM tak kompeten

Next Post

Pemuda BERJASA perjuangkan kemandirian melayu

Related Posts